Ini adalah kisah saya dan rakan-rakan Malaysia di sini yang menjadikan aktiviti memburu barangan antik dan vintage sebagai hobi dan punca pendapatan sampingan.

Kebanyakan rakan-rakan saya di sini sama seperti saya iaitu menjadi Mr Mama. Selain menjaga anak dan menguruskan urusan rumah tangga yang lain, saya dan rakan-rakan menjadikan masa hujung minggu untuk mencari barangan antik.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Di UK, barang antik terlalu banyak dan kedai antik sangat mudah dijumpai. Setiap hujung minggu juga terdapat ‘carboot sale‘ yang pasti terdapat penjual barangan lama. Kerap kali juga diadakan ‘antique fair‘ yang menjadi tumpuan seluruh pemburu antik di England ni.

Memang sesuatu yang menarik bila lihat bagaimana antik adalah suatu perkara yang sangat dihargai di sini. Tidak hairanlah jika di televisyen juga banyak disiarkan rancangan bagaimana mencari dan menilai barang antik.

Maka wujud ruang dan peluang buat kami untuk memburu sebanyak mungkin barangan antik England. Yang pasti ianya adalah satu pelaburan berbaloi kerana nilai pasaran barangan antik dari England adalah tinggi di Malaysia.

Bagaimana ia bermula?

Kisah saya ini bermula dengan ajakan rakan saya di sini , Mohd Hasbullah yang lebih mesra digelar Pak Lah. Seorang usahawan hartanah Kelantan yang turut menjadi Mr Mama di sini.

Beliaulah yang mula mengumpul barangan antik sehingga penuh garaj dan ruang rumah. Pak Lah berjaya menjual barangan antik yang dikumpulnya di pasaran Malaysia sehingga mampu menjana pendapatan sampingan yang lumayan.

Saya tertarik dengan koleksi beliau. Bermula dengan melihat, mengikutnya ke kedai antik, minat mulai timbul di hati. Bermula dengan hanya sebuah jam lama, kini saya juga sudah mempunyai koleksi saya sendiri.

Ada yang saya sudah berjaya jual dan Alhamdulillah memang benar rezeki antik itu menguntungkan.

Lama kelamaan selepas melihat potensi bidang ini, ramai lagi rakan-rakan di sini yang terpengaruh dan melibatkan diri dalam hobi yang menarik ini. Kami juga sering bertukar-tukar pendapat dan saling belajar tentang sesuatu barang dan bagaimana membuat penilaian harga mengikut harga pasaran di Malaysia.

Boleh dikatakan kami ialah ‘Malaysian Antique Picker‘ di bumi England ini.

pemburu-barang-antik-england-1
Saya bersama koleksi yang berjaya dikumpul setakat ini. Ianya semakin bertambah.
pemburu-barang-antik-england-2
Sebahagian dari koleksi barangan antik sifu kami di sini, Pak Lah.
pemburu-barang-antik-england-3
Saya di Antique & Vintage Carboot Sale.
pemburu-barang-antik-england-4
Saudara Hairi bersama jam lamanya.
pemburu-barang-antik-england-5
Saudara Razak sedang tekun mencari barangan lama di carboot sale.
pemburu-barang-antik-england-6
Saudara Engku Muhammad bersama basikal lama.
pemburu-barang-antik-england-7
Pak Lah bersama motosikal lama ini. Ini memang rare!
pemburu-barang-antik-england-8
Suasana di carboot sale Henley on Thames, Reading, UK.

Contoh barangan antik dan nilai pasarannya di Malaysia

Jom saya tunjukkan beberapa contoh barangan antik yang saya dan rakan rakan ada serta nilai pasarannya di Malaysia.

Lihat seterika lama ini. Seterika ini dipanggil sebagai “Sad Iron”. Seterika zaman Victoria ini jika anda amati sebenarnya mengambil bentuk perisai ‘medieval shield‘ seperti mana kita pernah lihat dalam filem filem tentang kesatria Inggeris dan Eropah dahulu.

Seterika jenis ini memang sudah lama usianya , hampir seratus tahun dan lebih dari itu. Berbaloi memilikinya dan di Malaysia juga harga pasarannya antara RM500 ke RM1500 sebuah. Bergantung kepada kualiti dan bentuknya. Tak usahlah ditanya berapa kami beli, pendek kata harga istimewa.

pemburu-barang-antik-england-9
Sad Iron. Sad bererti solid.
pemburu-barang-antik-england-10
Pelbagai kamera lama. Folded camera Kodak nilai pasarannya di Malaysia di antara RM450 ke RM600 sebuah.

pemburu-barang-antik-england-11

Mesin jahit lama. Mesin Jahit jenama Singer adalah yang paling terkenal. Harga di Malaysia boleh mencecah RM700 ke RM1500. Monopoly yang boleh dilihat dalam gambar adalah monopoly lama era perang dunia.

pemburu-barang-antik-england-12
Telefon lama. Pasaran di Malaysia di antara RM400 ke RM650.
pemburu-barang-antik-england-13
Jam mekanikal lama menggunakan kunci. Harga bermula dari RM700 sehingga RM2000.
pemburu-barang-antik-england-14
Koleksi kotak mancis lama. Harga setiap satu boleh dijual RM5 ke RM20 bergantung kepada jenis.

Nota: Harga adalah berdasarkan anggaran dan pengalaman penulis sahaja.

Itu adalah sebahagian sahaja dari barangan yang kami perolehi. Banyak sangat jika hendak dikongsi. Dari sekecil kecil benda sehingga yang besar. Semuanya berharga. Yang penting mempunyai trademark buatannya dan masih elok.

Barangan ini kami beli dengan harga pasaran di sini dan biarlah ianya rahsia buat kami. Proses tawar-menawar adalah sangat penting dalam urusan jual beli memandangkan semuanya ini adalah bersifat subjektif.

Bagi kami, biarpun kami melabur sekarang dan tiada pembeli mahu membelinya, ianya makin lama makin berharga. Bayangkan harganya kelak suatu hari nanti. Mengumpul barang antik adalah pelaburan yang bijak.

Kami juga belajar banyak perkara dan sejarah sesuatu barang yang kami perolehi. Mengumpul barang antik ni bukan semata mata demi wang, tetapi ianya mempunyai nilai sejarah dan sentimental yang hanya difahami oleh para peminatnya seperti kami.

Bonus buat kami kerana ianya berjaya menjana sumber pendapatan sampingan.

Baca: Bagaimana Saya Dan Rakan Tukar Tempat Lepak Kami Menjadi Satu Perniagaan

Cabaran memburu barangan antik

Dalam memburu barang antik, terdapat beberapa cabaran yang kami semua hadapi. Antaranya ialah :

1. Persaingan dengan para pengumpul tempatan dan Eropah. Mereka juga mempunyai minat yang sama. Maka siapa cepat dia dapat. Kalau minat pegang terus barang itu dan tawar harga. Jika tidak, alamatnya melepaslah kepada pemburu yang lain.

2. Mengenal pasti lokasi paling berbaloi untuk dikunjungi. Pada setiap minggu terdapat 3 atau 4 carboot sale pada hari yang sama, dan tidak semua tempat itu terdapat jualan barangan antik. Jika salah percaturan dan bukan nasib kita, memang pulang hampa.

3. Suhu sejuk. Nak memburu kena datang awal ke lokasi. Katakan carboot buka pada jam 8. Jam 7 kita sudah berada di sana untuk menjadi yang pertama. Sejuk atau tidak memang diredah sahaja yang penting ada barang dibawa pulang.

4. Ditipu oleh peniaga yang tidak jujur. Ada barang yang rosak dikatakan elok. Contohnya seperti radio. Atau mungkin juga sebenarnya barang itu adalah barang ‘reproduction‘ yang dibuat seakan akan tampak lama. Di sini pengalaman dan kemahiran diperlukan.

Tulen atau Palsu?

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, ada juga barangan antik ini sebenarnya palsu. Jadi, terdapat beberapa faktor perlu diambil kira sebelum membeli.

1. Kenalpasti logo atau trademark. Lazimnya barang antik memang mempunyai jenama, keluaran negara mana, tahun buatan yang boleh kita lihat. Sebagai contoh gambar di bawah ini.

pemburu-barang-antik-england-16

pemburu-barang-antik-england-17

2. Untuk barangan tembaga dan tembikar, kadangkala tiada sebarang tanda untuk mengenalpasti ketulenannya. Oleh itu, lebih baik bertanya kepada tuan kedai atau bincang dahulu dengan rakan yang berpengalaman.

Justeru, pentingnya networking sesama pemburu antik. Untungnya di UK ini, majority 95% peniaga jujur dalam berniaga. Mereka sendiri akan memberitahu sekiranya mereka tidak punyai info mengenai barangan itu, lama atau baru, rosak atau sebaliknya.

pemburu-barang-antik-england-18
Cikgu Hazim bersama ‘Punch Card Clock 1920’.

Akhir kata, jika lakukan sesuatu itu lakukan dengan minat pasti mencapai kejayaan. Jika anda mempunyai barangan lama, janganlah dibuang, ianya berharga. Menceburi bidang ini suatu pelaburan yang bagus. Inilah kisah saya dan rakan rakan dari bumi UK. Semoga dapat memberikan manfaat pada semua. Itulah karat England!

Untuk lihat lebih banyak koleksi barangan antik hasil buruan kami, boleh lah ke Facebook page Gerobok Lama British : Vintage & Antique dan Antiques UK&Malaysia.

Baca lagi: Jutawan Muda Beli Anak Lembu Setiap Kali Terima Gaji