Penemuan elektrik dari pokok Kedondong, Naufal Raziq, 14 tahun, anak kelahiran Aceh, Indonesia ini sekali lagi mendapat perhatian media sekaligus menjadikan topik ini viral semula. Apa pun, tahniah di atas pencapaian hebat pada usia muda sebegini.

Buat pengetahuan anda, berita ini sudah tersebar sejak tahun lepas lagi dan ianya pernah disiarkan dalam rancangan popular National Geographic. Penemuan awal ini bermula selepas beliau mendapat tahu bahawa buah yang mengandungi asam mampu menghasilkan elektrik.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Mempelajarinya dalam subjek ilmu alam, pelajar kelas 2 MTSN Langsa Lama, Kota Langsa, Aceh, Indonesia ini nekad untuk melakukan eksperimen. Sebelum berjaya menemukan tenaga elektrik dari pokok kedondong, eksperimen pertama yang dilakukan adalah pada pokok mangga, namun tidak berhasil.

Namun demikian, Naufal mengakui selain mendapat ilmu di sekolah, antara faktor besar kejayaannya adalah kerana mendapat bantuan dan sokongan daripada ayahnya sendiri.

“Kebetulan ayah saya seorang juru elektrik, jadi sedikit-sebanyak saya tahu alat-alat elektronik” katanya.

Dalam pada itu, Naufal turut menyatakan sebelum ianya berjaya, beliau telah menghabiskan berjuta-juta rupiah sebelum dapat mencari pokok yang sesuai untuk menjana elektrik. Ternyata usaha beliau selama ini berbaloi, bukan sahaja untuk dirinya malah orang lain turut mendapat manfaatnya sekali.

Hasil penemuan sederhana ini, kira-kira 60 rumah mendapat bekalan elektrik dari pokok kedondong. Apabila ditanya tentang alatan yang digunakan, Naufal memberitahu beliau hanya menggunakan bahan seperti tembaga, batang besi dan kapasitor.