Sejak tular rakaman video ahli kelab Honda Civic FC buat ‘gathering di lorong kecemasan Jalan Temiang-Pantai pada akhir bulan lalu, pihak JPJ mula memperketatkan pemantauan di laluan tersebut yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk bergambar sempena musim cuti dan hari minggu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, tindakan pemantauan berkenaan bertujuan memastikan tiada pengguna jalan raya yang berhenti di lorong kecemasan dan bergambar terutama dalam jumlah kenderaan yang banyak melalui laluan itu, sekaligus meningkatkan risiko untuk kemalangan berlaku.

“Sebelum ini tular di media sosial berkaitan sekumpulan pemandu kenderaan berkumpul dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di kedua-dua arah di lokasi berkenaan untuk bergambar.

“Tindakan berkenaan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain yang mungkin panik kerana secara tiba-tiba terdapat banyak kenderaan berhenti di bahu jalan dan berkemungkinan besar juga akan mengganggu kelancaran trafik,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, tindakan pemandu yang berhenti di lorong kecemasan tanpa alasan yang munasabah adalah satu kesalahan dari segi undang-undang.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan menegaskan mana-mana pemandu yang melakukan kesalahan ini boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan boleh diletak di mana-mana lorong kecemasan kecuali kes kecemasan.

Jika disabit kesalahan, pemandu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semoga selepas ini tiada lagi pemilik kenderaan berkonvoi memberhentikan kenderaan untuk bergambar beramai-ramai sehingga boleh membahayakan pengguna lain di lokasi yang mendapat jolokan ‘New Zealand’ Malaysia ini.

*Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Baca kronologi bagaimana ahli kelab Honda Civic FC buat ‘gathering‘ di Jalan Temiang-Pantai sehingga menarik perhatian ramai dan JPJ terpaksa mengetatkan pemantuan di jalan raya tersebut.

Buat ‘Gathering’ Di Jalan Pintas Temiang, Netizen Tegur Geng Konvoi Honda Civic

Berhenti Di Lorong Kecemasan, Polis Akan Rekod Keterangan Ahli Kelab Kereta

Selepas Geng Civic FC Dicari Polis, Kelab Kereta Lain Mula Padam Gambar ‘Gathering’ Di Temiang