Dengan bilangan kes yang dijangkiti COVID-19 meningkat sehingga lebih 400 kes sejak semalam, ramai dalam kalangan rakyat kita terutama mereka yang berada di media-media sosial mula membincangkan tentang lockdown untuk membendung penyebaran wabak COVID-19.

Langkah berkurung atau lockdown ini telah pun diambil di beberapa negara seperti Itali dan Sepanyol memandangkan kes-kes yang berada di negara mereka berada di tahap yang sangat tinggi dan semakin sukar untuk dikawal.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Walaupun kes di Malaysia sudah mencapai angka ratusan mangsa yang dijangkiti wabak itu, namun jika dibandingkan dengan negara-negara ini kes yang dicatatkan di negara kita masih terkawal.

Pandangan KKM dan PDRM

Malah pihak berkuasa juga masih belum memberikan apa-apa bayangan tentang kemungkinan untuk mengadakan lockdown di negara kita.

Selepas tular poster dengan #MalaysiaLockdown yang menyeru untuk rakyat di negara ini mengambil pendekatan untuk ‘berkurung’ di media sosial, pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia tampil menafikan arahan tersebut.

palsu
Poster palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sejak semalam

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada malam semalam dalam satu kenyataan di Facebook miliknya menjelaskan tiada sebarang perintah ‘lockdown’ di Malaysia akibat COVID-19.

Manakala hari ini, giliran Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula mengeluarkan kenyataan menafikan perkara tersebut. Malah menurut laporan Malaysiakini, pihaknya kini juga sedang mengesan individu yang menyebarkan maklumat palsu tersebut.

“Kami akan mencari siapa individu yang tidak bertanggungjawab itu yang menyebarkan maklumat palsu dan menimbulkan kegusaran awam.

“Fikirkanlah kesannya kepada orang ramai sebelum menyiarkan sesuatu maklumat kepada umum,” katanya kepada Bernama seperti dipetik Malaysiakini.

Malah, kita juga tidak seharusnya panik kerana pihak KKM melalui Dr Adham juga menjelaskan mereka kini sedang berusaha keras dan sudah pun berada dalam fasa pembendungan akhir COVID-19.

Melalui fasa ini juga, pihak mereka akan menggunakan undang-undang “di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ia dipercayai untuk mengesan individu-individu yang berisiko seperti mereka yang menghadiri himpunan tabligh di Sri Petaling di Kuala Lumpur.

“Kita akan ambil tindakan. Pasti. Saya nak kata perkataan menjejaki – memburu mereka,” jelas beliau.

Jika tindakan-tindakan yang akan diambil dan kenyataan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa di negara ini masih belum meyakinkan anda kenapa belum tiba masanya untuk kita berada dalam keadaan lockdown, mungkin penjelasan berikutnya akan membantu untuk menenangkan anda.

Hindari perhimpunan dan amalkan social distancing

Mufti negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada hari ini dalam satu laporan mendedahkan Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM) sudah bersetuju untuk menutup masjid selama 10 hari.

Sudah pasti, jika cadangan tersebut dilaksanakan, ia akan sedikit sebanyak dapat mengurangkan risiko penularan wabak berbahaya itu dalam kalangan masyarakat di negara kita.

Tidak cukup dengan itu, bagi anda yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, anda boleh menarik nafas lega kerana seperti yang anda sedia maklum, sekarang adalah musim cuti sekolah selama semnggu bermula hari ini.

Malah,bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye turut mencadangkan agar semua institusi pembelajaran seperti universiti dan sekolah ditutup selama sebulan bagi membendung wabak itu sebelum ia menjadi lebih parah.

“Sekolah, kolej, universiti, tadika perlu ditutup selama sebulan.

“Hentikan perhimpunan selama sebulan, termasuk semua aktiviti kegiatan keagamaan, sosial, sukan,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Sudah pasti cadangan beliau yang sebelum ini pernah bertugas sebagai orang kuat di KKM harus diberikan perhatian. Daripada mencadangkan lockdown beliau sebaliknya menggesa agar masyarakat mengambil pendekatan seperti social distancing yang disarankan pakar kesihatan di seluruh dunia.

Pandangan netizen

Masih panik dan berasa masih ada keperluan untuk lockdown? Apa kata anda baca pula pendapat dalam kalangan netizen ini pula.

Mereka ini bukanlah mewakili mana-mana badan berkepentingan dan sudah pastinya hanya mahukan yang terbaik untuk semua pihak terutama masyarakat di negara kita.

Melalui semakan kami di laman Twitter menggunakan kata kunci ‘kesan lockdown’ berikut adalah beberapa pendapat dalam kalangan netizen berhubung isu ini yang semakin hangat diperdebatkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

photo_2020-03-16_16-24-24 photo_2020-03-16_16-24-20 photo_2020-03-16_16-24-16 photo_2020-03-16_16-24-13

Jadi, selepas membaca penjelasan yang telah diberikan KKM, PDRM, mufti dan juga netizen sendiri, apa pula pandangan anda mengenai kemungkinan untuk mengadakan lockdown di negara kita.

Adakah ia sesuatu yang patut dilakukan atau kita seharusnya membiarkan pihak bertanggungjawab menjalankan tugas mereka dalam mengawal situasi yang berlaku di negara kita?

Bagi penulis, apa yang paling penting adalah kita tidak seharusnya panik dan mengeruhkan lagi situasi yang berlaku sekarang dengan berita-berita dan teori yang tidak sepatutnya.

Apa yang boleh kita lakukan adalah mematuhi segala larangan dan nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak KKM dalam memastikan penularan wabak ini terkawal. Dan kepada mereka yang berisiko dan mempunyai gejala-gejala COVID-19, dinasihatkan agar segera mendapatkan pemeriksaan di klinik-klinik berdekatan.

Baca perkongsian kami sebelum ini mengenai pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini. Klik pautan di bawah untuk membaca. 

Kesan COVID-19, Pakar Jangka Lebih Ramai Muflis Berbanding Maut

Wabak Merebak Terlalu Pantas, WHO Isytiharkan COVID-19 Sebagai Pandemik

Situasi Sebenar Khemah Saringan COVID-19 Di Malaysia Yang Ramai Tidak Tahu