Sejak akhir-akhir ini, ramai pengguna perkhidmatan e-Hailing meluahkan rasa kecewa apabila tambang e-Hailing yang selama ini murah telah meningkat berkali ganda berbanding teksi bermeter.

Terbaharu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyatakan Lesen pengendali e-hailing boleh dibatalkan atau digantung jika mereka melanggar jumlah surcaj yang dibenarkan yang ditetapkan pada 200% daripada tambang asas.

Tambahnya lagi, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarah menyiasat perkara itu memandangkan kadar surcaj seperti berikut telah dipersetujui pada tahun 2019 lalu.

“Mengenai tambang asas yang dipersetujui, pengendali e-hailing mengenakan caj antara 70 sen dan 90 sen bagi setiap kilometer.

“Mereka juga diberi kelonggaran untuk mengenakan surcaj mengikut peraturan, berdasarkan permintaan dan harga dinamik,” katanya sambil menambah tambang bagaimanapun tidak boleh melebihi 200% daripada tambang asas.

Datuk Seri Dr Wee juga menegaskan syarikat e-hailing tidak harus terus menekan kerajaan dengan pelbagai tuntutan dan permintaan atau Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terpaksa mengambil tindakan dengan mengawal selia industri e-hailing.

“Jangan paksa saya, satu hari nanti saya mungkin perlu mengawal (industri e-hailing). Saya tidak mahu sampai mengganggu ekonomi gig, sebab itu kita perlu selesaikan perkara ini secara harmoni,” katanya.

Beliau mengecam pengendali e-hailing yang mendakwa kenaikan tambang e-hailing baru-baru ini disebabkan oleh skim pengeluaran RM10,000 khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kekurangan pemandu, berkata alasan yang diberikan tidak masuk akal.

Tambah Datuk Seri Dr Wee lagi, beliau berasa sangat kecewa apabila dakwaan pengendali e-hailing bahawa kementerian tidak membantu industri e-hailing. Walhal, kerajaan telah telah memudahkan mereka mengambil pekerja.

Bagaimanapun, pengendali mahu kerajaan memansuhkan pelesenan kenderaan perkhidmatan penumpang (PSV) untuk pemandu e-hailing.

Beliau turut menggesa orang ramai yang dikenakan bayaran tambang empat kali ganda lebih tinggi daripada tambang biasa supaya membuat laporan rasmi, kerana kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya laporan itu terbukti benar.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 28 syarikat e-hailing beroperasi di Lembah Klang, yang membolehkan penumpang memilih, lapor The Edge Markets.

Baca lagi beberapa artikel berkaitan e-Hailing yang pernah kami kongsikan sebelum ini.

Pemandu ‘e-Hailing’ Tanpa Lesen PSV Bakal Dikenakan Saman Dan Hukuman Penjara

Rugi RM6,500 Disebabkan Lalamove, Butik Ini Dakwa Beg Jenama LV Dibawa Lari Pemandu Penghantaran

Pelanggan Terkejut ‘Abang GrabFood’ Hantar Makanan Naik McLaren 720S