“Nak makan mana?”

Mengapa soalan yang popular ini seringkali sukar untuk mendapat jawapan? Ini satu kajian daripada perspektif Psikologi. Pada zaman kini pilihan itu terlalu banyak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Mahu beli telefon? Banyak jenama yang ada.
Mahu beli kereta? Penuh di pasaran.
Mahu makan mana? Terlalu banyak kedai di luar sana.

Pada zaman dahulu, zaman sebelum tercetusnya era teknologi dan internet, pilihan produk yang ada hanya terhad pada yang tercapai oleh pandangan mata kita.

Saya masih ingat zaman dahulu, kalau nak tonton televisyen, channel yang ada hanyalah TV1, TV2, TV3 dan NTV7. Kemudian baru diperkenalkan Channel 8. Itu pun sudah rasa banyak dan bahagia. Dan saya membesar okay saja, mudah nak memilih nak tengok mana satu.

Zaman kini merupakan zaman yang penuh dengan capaian internet. Semuanya mula menjadi banyak. Pilihan yang ada dalam hidup kita bertambah-tambah. Rancangan televisyen yang dahulunya kurang 10 channel, sekarang sudah mencapai beratus-ratus, daripada pelbagai jenis kategori.

Astro, HyppTV, dan iFlix pula. Penuh!

Seiring dengan perkembangan teknologi, minda kita semakin ‘tenat’ dengan daya untuk membuat pilihan kerana ada terlalu banyak.

Ya, memang seronok apabila mengetahui banyak pilihan yang ada, tetapi ini ada had. Sebenarnya dalam Psikologi, keadaan yang menyebabkan kita tidak mampu memilih, kita panggil ini sebagai “Paradoks Pilihan” atau “The Paradox of Choice.”

Kerana pilihan kedai makan yang ada itu terlalu banyak, menyebabkan soalan ini seringkali tak dapat dijawab. Seorang ahli Psikologis, Barry Schwartz menerangkan konsep ini dengan tiga faktor penting:

1. Pilihan Yang Terlalu Banyak Membawa Kepada Kelumpuhan Minda

Dalam eksperimen di sebuah pasar raya, pemiliknya membuka booth jualan yang mempunyai 24 jenis jeli yang berbeza perisa. Pelanggan yang datang, dibenarkan untuk makan sampel seberapa banyak yang mereka mahu, dan boleh beli dengan harga diskaun.

Keesokan harinya, pemilik pasar raya itu membuat konsep booth jualan yang sama, tetapi kali ini, hanya 6 perisa jeli sahaja (pilihan yang lebih sedikit). Hasilnya, jualan pada hari kedua jauh melangkaui hasil jualan hari pertama (10 kali ganda!).

Mengapa begitu?

Kerana pilihan yang terlalu banyak (24 jenis), membuatkan pelanggan tidak mampu untuk membuat pilihan, lalu mereka membuat keputusan untuk tidak membeli (kerana berlaku kelumpuhan minda/inner mind paralysis).

Eksperimen ini diulang beberapa kali dengan menggunakan produk lain seperti minuman gas, sabun mandi, yogurt dan sebagainya. Namun, hasilnya tetap sama.

Apabila ditanya nak makan mana, minda manusia yang bertanya/ditanya itu, akan membayangkan banyak pilihan kedai makan di luar sana, sehinggalah akhirnya, keputusan tak dapat dicapai kerana berlakunya kelumpuhan minda itu.

Rasa tak dapat nak pilih sebab banyak sangat. Akhirnya, makan kat kedai yang hari-hari pergi selama ini. Ceh.

2. Pilihan Yang Lebih Banyak Membawa Kepada Keputusan Yang Lebih Lemah

Sekiranya kita bertanya kepada seseorang bujang, apakah kriteria calon pasangannya, biasanya beliau akan memberi beberapa senarai seperti baik hati, hormati orang tua, pandai ambil hati kanak-kanak, cantik/kacak, tinggi dan banyak lagi.

Namun, adakah benar kriteria ini yang akan difikirkannya apabila mereka berjumpa dengan seseorang itu?

Kajian menunjukkan mereka yang mempunyai banyak kriteria sebegini, akhirnya akan kembali kepada beberapa kriteria sahaja (mungkin 2-3 kriteria), walaupun pada asalnya mungkin mereka mampu senaraikan lebih daripada 10 kriteria. Mereka akan fokus kepada 2-3 kriteria yang utama di minda mereka sahaja.

Begitu juga situasi apabila kita bertanya pada seseorang, mahu makan mana? Lalu jawapan tidak dapat disepakati, kerana terlalu banyak pilihan kedai yang ada di luar sana, yang akhirnya, membawa kepada kedai yang dah biasa makan hari-hari sebelumnya.

Tak ada guna bertanya rupanya.

3. Pilihan Yang Banyak Lebih Mudah Membawa Kepada Ketidakpuashatian Minda

Bagaimana kita nak pastikan yang pilihan kedai makan kita itu ialah pilihan yang terbaik, apabila kita tahu yang ada berbelas-belas lagi kedai makan lain di luar sana, yang mungkin pilihan yang lebih baik?

Baru nak pilih kedai A, teringat B mesti lagi sedap. Nak pilih B, terbayang pula C ada menu itu dan ini. Dan proses ini pun berterusan (dalam minda). Jawapannya, memang takkan pasti mana yang terbaik.

Semakin banyak pilihan yang ada, semakin tidak pasti kita dengan pilihan yang kita buat, dan akhirnya, membawa kepada perasaan tidak puas hati terhadap pilihan kita itu.

Sebab kita berterusan rasa macam pilihan kita ini silap. Terutama apabila kita alami sesuatu yang tak seronok di kedai yang kita sudah pilih itu.

Contoh: Dah ada di kedai A, dan apabila dapat waiter yang tak mesra, kita pun bandingkan, “Kalau pergi kedai B tadi, kan lagi bagus, tak adanya jumpa waiter macam ni.”

Jadi, apa solusi kepada masalah pilihan terlalu banyak ini? Dalam erti kata lain, bagaimana nak capai keputusan nak makan kat mana?

Pertama, senaraikan semua kriteria makanan yang kita mahu. Nak fast food? Restoran masakan Melayu? Barat? Senaraikan juga faktor lain seperti suasana bagaimana, pemandangan apa, tempat parking banyak atau tidak, dan sebagainya.

Kedua, kenali kedai makan mana yang menepati ciri-ciri yang kita mahukan tadi, dan maksimum TIGA SAHAJA. Ini penting, supaya selepas ini, mudah nak memilih. Masih ingat kisah pasar raya dan 24 jenis jeli itu?

Ketiga, fahami yang kita takkan sesekali dapat membuat pilihan yang terbaik. Tetapi apa yang kita boleh buat, ialah bersyukur dan redha dengan pilihan yang telah dibuat itu (walaupun berlaku benda tak best nanti).

Dalam era dunia yang penuh dengan pelbagai pilihan sekarang, terutama budaya rakyat Malaysia yang sangat menggemari makanan (sehingga selalu digelar syurga makanan oleh mat saleh), mungkin ada benar kata-kata yang kita selalu dengar ini,

“Less is more.”

Nota: Penulisan ini diinspirasi daripada isi kandungan buku “The Art of Thinking Clearly”, oleh Rolf Dobelli.

Sumber rujukan: Buku Rolf Dobelli, The Art of Thinking Clearly dan Buku The Paradox of Choice by Barry Schwartz