Menghasilkan dan memulihkan kembali motosikal lama bukanlah satu tugas yang mudah. Perkara itu diakui sendiri pemuda dari Paka, Terenganu yang membuat hantaran RX-Z bernilai RM70,000 yang tular di media-media sosial baru-baru ini.

Walaupun harga yang dikongsikannya menerima kecaman daripada netizen, namun beliau menegaskan harga tersebut sememangnya berpatutan dengan usaha dan wang ringgit yang telah dilaburkannya sebelum ini. 

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Harganya memang relevan, bukan rekaan.

“RM70,000 itu murah jika dibandingkan dengan kesukaran saya menghasilkan RX-Z Millenium mengikut spesifikasi asal motosikal itu,” kata Tuan Putera Amirul  kepada Harian Metro.

Bercerita mengenai perjalanannya membaik pulih motosikal tersebut, Putera Amirul berkata dia telah membelanjakan lebih RM50,000 dan terpaksa melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan alat ganti yang dimahukannya.

Jelasnya, semua komponen yang kini digunakan pada motosikal itu adalah asli dan baru serta dihasilkan sama seperti unit yang baru dikeluarkan dari kilang.

“Saya menjelajah ke bengkel alat ganti motosikal di seluruh Malaysia untuk mendapatkan pelbagai komponennya, dan sebahagiannya dibeli dari luar negara melalui laman e-bay.

“Komponen yang dibeli mesti menepati piawaian termasuk mempunyai tag, atau dengan kata lain, barang baru tetapi stok lama (NOS),” katanya.

Biarpun harga yang ditetapkannya sebelum ini dikatakan tidak masuk akal, namun jelasnya ia adalah bersesuaian memandangkan komponen yang dibeli seperti ‘cover set’ sahaja sudah berharga RM10,000.

Malah, motosikal yang dibelinya pada tahun 2017 itu dengan harga RM10,000 juga menurutnya pernah menerima beberapa tawaran sehingga mencecah RM65,000 sebelum video tersebut tular.

“Sebelum video motosikal itu menjadi tular, ada peminat RXZ dari Johor menawarkan harga RM55,000 tetapi selepas tular di media sosial, seorang individu dari Kuala Berang ingin membelinya dengan harga RM65,000.

“Tetapi saya belum bersedia untuk menjualnya kerana masih sayangkannya.

“Selain itu, saya ingin menyertai Pertandingan Restore Original RX-Z Millenium pada Program RX-Z Members tahun hadapan,” katanya.

Justeru itu, beliau jelasnya tidak menyalahkan netizen yang mengecamnya kerana mereka mungkin tidak mengetahui nilai dan usaha yang telah dicurahkan bagi menghasilkan motosikal tersebut.

Malah dia juga menjelaskan mereka yang memiliki tersebut kebiasaannya tidak akan menggunakannya untuk berkonvoi tetapi sebaliknya mereka hanya akan menyertai pertandingan ‘restoration’ dalam kalangan peminat RX-Z dan ada yang akan menyimpannya untuk dijual dengan harga yang lebih tinggi.

Baca perkongsian kami sebelum ini yang membicarakan reaksi netizen terhadap harga tidak masuk akal RX-Z milik beliau sebelum ini di pautan di bawah. 

Pemuda Ini Dikecam Selepas Iklankan Motosikal RX-Z Dengan Harga Mencecah RM70,000

Jenama Thailand Hasilkan Helmet Mobile Suit Gundam Edisi Terhad

Kereta Ikonik ‘Knight Rider’ Sedia Untuk Dijual Dengan Harga RM650,000

 

Sumber