Sebelum Maharaja Meiji memegang tampuk pemerintahan di Jepun (1868-1912), Shogun Tokugawa telahpun memerintah Jepun selama hampir 200 tahun. Namun, semasa Shogun Tokugawa memerintah Jepun, sistem feudal masih berlangsung dan ketika itu jugalah Jepun dihimpit krisis kewangan dan inflasi akibat daripada kegagalan dalam sektor pertanian.

Emperor Meiji oleh Takahashi Yuichi, Imperial Collection.

Pada 1868, Maharaja Meiji menaiki takhta ketika berusia 27 tahun bagi menggantikan Shogun Tokugawa. Bermula episod-episod reformasi dari segenap segi yang diterajui oleh Maharaja Meiji yang masih muda. Perkara utama yang beliau lakukan adalah menukarkan ibu negara Jepun dari Kyoto ke Yedo (Tokyo).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Meiji juga cuba mengubah stigma lama Jepun yang mengamalkan dasar tutup pintu, dengan mengikis perasaan anti-Barat kepada bekerjasama dengan Barat. Harapan Meiji mudah, beliau ingin Jepun jadi negara baru yang kaya ekonominya dan kuat angkatan tenteran selaras dengan prinsip yang digenggam erat selama pemerintahan beliau: “Kuatkan Tentera, Kuatkan Negara”.

Satu lagi pendekatan drastik yang dilakukan Meiji pada 1871 adalah menghapuskan sedikit demi sedikit entiti sistem feudalisme yang telah sekian lama berlangsung di Jepun. Tanah-tanah daimyo (pemodal) harus diserahkan kepada kerajaan. Situasi ini menimbulkan sedikit perselisihan antara daimyo, kelas samurai dan pihak istana.

Namun, lama kelamaan keadaan kembali tenang dan daimyo-daimyo sedia menyerahkan tanah-tanah mereka atas dasar kesetiaan kepada negara dan Maharaja. Bagi Meiji, sistem kasta dalam era Shogun Tokugawa itulah yang membantutkan reformasi membina negara yang maju dan kerana itulah beliau menghapuskannya.

1. Ketenteraan

Struktur ketenteraan pada zaman Meiji turut mengorak langkah sama. Pada 1872, dianggarkan Jepun sudah memiliki 17 buah kapal maritim dan banyak lagi aset-aset lain yang canggih. Di samping merekrut beratus ribu angkatan tentera baru yang sihat mental dan fizikal, mereka juga telah membuat jalinan kerjasama dengan tentera-tentera asing dalam menstruktur semula ketenteraan di Jepun.

Malah, pemodenan membangunkan limbungan-limbungan kapal serta tentera-tentera mereka dilengkapi dengan peralatan yang canggih disamping dilatih dengan cekap sekali. Maka tidak hairanlah antara 1904 hingga 1905 Jepun mampu menundukan Rusia dalam merebut Manchuria.

Berikutan itu pihak Barat juga terkejut dengan perubahan ini kerana mereka (Barat) tidak menyangka Jepun sebuah negara baru mampu mereformasikan ketenteraan dalam masa yang amat singkat.

2. Ekonomi

Menyentuh soal ekonomi dan pertanian pula, dibawah pentadbiran Meiji pada 1868 matawang Yen mula digunakan menggantikan matawang Ryo. Pada masa itu nilai matawang Yen ini sama dengan Dollar. Kemudian, bank pertama di Jepun ditubuhkan iaitu Bank of Japan dan disusuli dengan Yokohama Special Bank pada 1887.

3. Pertanian

Lain pula kisahnya dengan sektor pertanian, Kerajaan Meiji telah menghantar para pelajar Jepun ke luar negara untuk memperdalami ilmu pertanian serta membawa masuk beberapa orang pakar pertanian yang khabarnya dari Barat untuk meningkatkan agroteknologi bagi menambahbaik kualiti dan kuantiti hasil pertanian.

4. Perindustrian

Terus meluncur kepada sektor perindustrian pula, dunia menyaksikan kemunculan Zaibatsu yang menjadi ejen-ejen penggerak ekonomi Jepun dari Zaman Meiji hingga masa kini. Zaibatsu ini sebenarnya merupakan golongan feudal kaya, di mana mereka memusatkan kekayaan bersama dan membentuk satu empayar perniagaan bagi membantu merancakkan lagi ekonomi Jepun.

Seperti yang diketahui ramai, Mitshubishi merupakan pembekal jentera serta pemberi dana untuk Perang Dunia ke-2. Selain itu, Zaibatsu-Zaibatsu yang terkehadapan yang lain ialah Mitsui, Sumitomo, Yasuda dan Mitsubshi. Industri seperti kilang meriam dan senapang juga telah dibangunkan sendiri oleh Jepun agar tidak terlalu mengharapkan kepada dunia Barat. Tokyo dan Yokohama menjadi saksi kilang-kilang ini berkembang pesat menyuburkan kegiatan ekonomi di Jepun.

5. Pendidikan

Dalam soal pendidikan pula, ketika itu sudah ada pasukan penterjemah buku-buku asing kepada Bahasa Jepun. Karya-karya besar dari Barat seperti William Shakespeare, Socrates dan banyak lagi sudah mula dibaca oleh kanak-kanak seawal usia 6 tahun lagi.

Kanak-kanak dari umur 6 tahun lagi sudah didedahkan dengan semangat sayang akan negara, bangsa, taat pada Maharaja dan diberi latihan akhlak dan akal.

Pada tahun 1877 kolej-kolej teknikal sudah mula wujud di Jepun bagi melahirkan pekerja profesional serta pada 1871, beberapa para pelajar Jepun sudah ke Britain untuk memperdalami ilmu ketenteraan, perdagangan dan ekonomi di sana.

6. Perhubungan

Berlainan pula dengan soal jaringan perhubungan. Perkhidmatan pos dan pengangkutan keretapi sudah wujud pada 1872 bagi memudahkan dan merancakkan lagi ekonomi dalam negara Jepun. Dan paling mengagumkan, pada 1880 sahaja, keretapi dari Tokyo ke Yokohama telah berjaya mengangkut 2 hingga 3 juta penumpang dalam satu-satu masa.

Pada tahun yang sama juga, keretapi tersebut sudah mula membawa muatan kargo sebanyak 848,000 tan. Ini menunjukkan pertumbuhan penduduk berkembang progresif dan hal ini juga memeranjatkan dunia Barat dengan kecepatan Jepun bangkit.

Gambaran kemodenan industri yang berlaku semasa pemerintahan Maharaja Meiji.

Berdasarkan apa yang dapat dicongak, kuncinya mudah. Sikap semangat nasionalisme, amanah, rajin, tidak mudah berasa selesa dan tidak mudah putus asa adalah resepi bagaimana Jepun mampu bangkit di bawah pemerintahan Meiji.

Menurut pandangan penulis pula, paling penting yang boleh dijadikan nilai iktibar ialah keikhlasan dan kebijaksanaan pemerintah yang mentadbir menjadi tonggak negara bagi membawa rakyat hidup lebih baik dan harmoni.

Rujukan:
1. Nota-nota kuliah Sejarah Asia Moden, Dr Ahmad Ali Seman bertarikh 3/12/2015.
2. Richard Story, A History of Modern Japan. 1991.