Kementerian Luar Jepun mengeluarkan amaran kepada semua rakyat negaranya yang berada di Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Myanmar mengenai kemungkinan ancaman pengganas di sini, lapor BERNAMA.

Kedutaan Jepun semalam turut mengesahkan mengenai amaran terbabit yang meminta semua 31,000 warga Jepun yang tinggal di Malaysia untuk mengelak daripada berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan sesak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Seorang pegawai kedutaan yang dihubungi BERNAMA tidak memperincikan maklumat yang diterima olehnya, tetapi mengesahkan bahawa kenyataan itu dikeluarkan pagi semalam kepada semua warga Jepun yang berada di Malaysia selepas mendapat arahan dari Tokyo.

Thai Enquirer pula melaporkan bahawa cubaan untuk mendapat maklumat lanjut mengenai amaran terbabit turut dilakukan oleh Kementerian Luar Thailand, bagaimanapun jawapan sama diberikan, “Kementerian Luar Jepun tidak mengungkapkan sumber amaran ini dan kedutaan Jepun tidak memiliki informasi lebih lanjut,” kata Tanee Sangrat, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri.

Hal sama turut terjadi di Kementerian Luar Filipina seperti yang dilaporkan oleh AP News, di mana mereka mengatakan bahawa tidak ada maklumat lanjut mengenai ancaman terbabit. Manakala Kementerian Luar Indonesia pula menafikan bahawa ada amaran dikeluarkan kepada warga Jepun di sana.

Kenyataan Dari Bukit Aman

Pengarah Komando Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata setakat ini belum ada maklumat mengenai kemungkinan ancaman pengganas di negara ini. Memetik laporan The Star, beliau berkata amaran yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun kepada warganya di Malaysia adalah nasihat perjalanan.

Tambah beliau lagi, kemungkinan ada ancaman pengganas di rantau Asia Tenggara kerana amaran yang dikeluarkan oleh Jepun adalah berdasarkan penilaian ancaman yang dilakukan oleh negara terbabit.

Zamri turut menyatakan bahawa amaran tersebut adalah tindakan rutin dalam mengingatkan warganya untuk berhati-hati bersempena dengan ulang tahun ke-20 serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat dan mungkin juga berkaitan Taliban yang sudah kembali berkuasa di Afghanistan.

Setakat ini hanya Kedutaan Jepun yang mengeluarkan amaran buat warganya dan Cawangan Khas, melalui Unit Counter Terrorism, akan terus memantau perkembangan yang mungkin terjadi dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Anda impikan untuk kerja di Jepun? Ini 16 elemen yang anda perlu lulus. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Mahu Bekerja Di Jepun? Anda Mesti Lulus 16 Elemen Utama Ini Dahulu

Kamagasaki, Bandar Yang ‘Dipadam’ Daripada Peta Jepun

Khidmat ‘Kekasih Sewa’ Yang Normal Serta Sah Di Jepun