Nama Marcel Radhival atau Pesulap (ahli silap mata) Merah sangat dikenali di Indonesia kerana sering membongkarkan penipuan atau trik bomoh, tok guru dan dukun popular di Indonesia.

Ada antaranya memiliki ribuan pengikut setia di Indonesia tetapi ia bukan penghalang untuk Marcel mendedahkan mereka kerana beliau tidak mahu penduduk di Indonesia terus ditipu.

Dalam perkembangan terkini, Persatuan Dukun Indonesia dikatakan telah membuat laporan polis terhadap Marcel kerana menghina profesion ahli bomoh.

https://www.youtube.com/watch?v=lE5hEMzTXsE

Laporan itu dibuat oleh wakil persatuan, Agustiar di Balai Polis Metro Jakarta Selatan selepas beberapa bomoh tiada pendapatan akibat kandungan media sosial yang dimuat naik terutamanya di YouTube oleh Marcel.

Ketua Polis Wilayah, Yandri Irsan mengesahkan menerima laporan polis daripada persatuan tersebut. “Berdasarkan laporan yang dibuat, mereka merasakan periuk nasi mereka telah diganggu. Mereka hadir untuk melaporkan kandungan video di YouTube dan Instagram yang menurut mereka mengandungi kandungan tidak tepat terhadap mereka,” kata Yandri.

Dalam kandungan laporan polis tersebut, persatuan terbabit merasakan kandungan yang dihasilkan oleh Marcel Radhival di media sosial adalah satu perbuatan untuk memburukkan nama dukun dan bomoh dimana mereka dilabel sebagai penipu. Mereka juga berkata mereka telah kehilangan ramai pelanggan selepas modus operandi mereka didedahkan oleh Marcel di YouTube.

Menurut Yandri lagi, individu yang membuat laporan tersebut turut menyerahkan sejumlah bukti dan pihaknya akan meneliti laporan tersebut sebelum tindakan susulan diambil.

Sebelum ini, seorang bomoh berpangkat diploma meminta bantuan dunia ghaib untuk sama-sama menentang Marcel. Baca pada pautan di bawah.

Bomoh Indonesia Dengan Tauliah ‘Diploma Sihir’ Minta Bantuan Mahu Lawan Ahli Silap Mata

Dakwa ‘Perisai Halimunan’ Kebal, Guru Ini Tewas Dengan Tumbukan YouTuber Indonesia

Sumber