Pada minggu ini Thailand digemparkan dengan satu kes berprofil tinggi apabila satu rakaman video suspek pengedar dadah diseksa sampai mati di dalam balai polis tersebar di media sosial.

Menurut Bangkok Post, Kolonel Thitisan Utthanaphon atau lebih dikenali oleh rakannya sebagai ‘Jo Ferrari’ didakwa telah menyeksa dan cuba memeras ugut sejumlah wang daripada seorang suspek pengedar dadah di dalam balai polis.

Lebih malang lagi, suspek tersebut mati di tempat kejadian akibat sesak nafas akibat kepalanya disarung dengan beberapa keping beg plastik semasa ditahan pada 5 Ogos lalu.

https://www.youtube.com/watch?v=tz-pL5D2O24

Klip video itu telah menjadi berita sensasi dan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha memerintahkan polis untuk menyiasat kematian suspek yang berlaku di dalam balai polis tersebut.

Tambah Bangkok Post lagi, ‘Jo Ferrari’ telah menghilangkan diri tiga hari sebelum klip video itu mula tersebar di media sosial pada hari Selasa lalu. Ketua Polis Diraja Thailand, Jeneral Suwat Chaengyodsuk menghantar Pol Jeneral Noppasin Phoonsawat untuk mengesan ‘Joe Ferrari’ ketika waktu itu.

Pada hari Rabu lalu, polis gagal mengesan ‘Joe Ferrari’ semasa melakukan serbuan di rumahnya di Ram Inthra, Bangkok tetapi menjumpai hampir 30 buah kereta mewah yang terdiri daripada pelbagai model seperti Porsche, Lamborghini, Ferrari, Bentley dan Mercedes-Benz.

Nilai keseluruhan kereta-kereta mewah tersebut dianggarkan melebihi ฿100 juta Baht (RM12.8 juta), manakala rumahnya pula dianggarkan bernilai ฿60 juta Baht (RM7.7 juta)

vocket-joe-ferrari-korup-1
Senarai kereta mewah milik ‘Joe Ferrari’ | Sumber Gambar: Aseannow.com

Pada petang Khamis semalam, pihak polis mengesahkan akhirnya ‘Joe Ferrari’ telah menyerah diri dan ditangkap di wilayah Chon Buri di tenggara ibu negara Thailand, lapor Free Malaysia Today.

“Kami akan menunjukkan kepada masyarakat bahawa kami tidak akan melindungi sesiapa yang melakukan kesalahan.

“Setiap orang akan diperlakukan sama di bawah sistem perundangan. Organisasi polis mesti wujud dengan kepercayaan orang,” kata Ketua Polis Thailand, Suwat Jangyodsuk kepada wartawan dan menyatakan bahawa enam pegawai lain yang turut terlibat juga turut ditangkap.

vocket-joe-ferrari-korup-2
Sumber Gambar: Free Malaysia Today

Semasa sidang media berlangsung, ‘Joe Ferrari’ telah mengambil peluang untuk menjawab pertanyaan dari media melalui telefon yang dijadikan sebagai ‘mikrofon’ dan menafikan dia telah memeras ugut wang semasa kejadian tersebut berlaku.

“Saya tidak berniat membunuhnya. Itu adalah kemalangan.

“Ini tidak berkaitan dengan meminta memeras ugut wang. Saya menggunakan beg plastik hitam kerana saya tidak mahu dia melihat saya tetapi dia merobek beg plastik itu sehingga saya terpaksa mengikat tangannya di belakangnya.”

“Saya mengakui apa yang saya lakukan adalah salah,” kata ‘Joe Ferrari’ kepada media melalui telefon.

Di dalam rakaman penuh video kejadian tersebut, kesemua tertuduh yang terlibat cuba menyelamatkan suspek setelah menyedari suspek terbaring tidak sedarkan diri.

Setakat artikel ini ditulis, tiada pertuduhan rasmi diumumkan kepada kesemua pihak tertuduh dalam kes berprofil tinggi ini.

Seorang ketua Yakuza memberi amaran keras kepada hakim mahkamah setelah menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

‘Anda Akan Menyesal’ – Dihukum Mati, Ketua Yakuza Beri Amaran Kepada Hakim Mahkamah

Berang Dimaki Penyokong, Pengadil Bola Sepak Keluarkan Pistol