Buat peminat siri Fantastic Beasts, Johnny Depp tidak lagi akan membawa watak ikonik Gellert Grindelwald dan mengesahkan perkara tersebut semalam.

Pengunduran Depp daripada siri spin off Harry Potter itu hadir selepas beliau tewas dalam kes saman fitnah tabloid The Sun mengenai artikel (dikeluarkan pada 2018) yang mendakwa dirinya sebagai ‘kaki pukul’. Depp menjelaskan bahawa dia merancang untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

“Saya ingin memberitahu anda bahawa saya telah diminta oleh Warner Bros. untuk mengundurkan diri daripada peranan saya sebagai Grindelwald dalam Fantastic Beasts dan saya telah menghormati dan menyetujui permintaan itu.”

“Saya akan kekal kuat untuk membuktikan segala pertuduhan terhadap saya adalah salah. Hidup dan karier saya tidak berlandaskan apa yang terjadi ketika ini. Terima kasih kerana membaca,” tulis Depp dalam kenyataan rasmi beliau di Instagram.

Warner Bros. mengesahkan perkara tersebut dan pelakon baru akan disaring untuk watak Gellert Grindelwald sebelum ia kembali ditayangkan di pawagam. Sepatutnya filem ini ditayangkan pada November 2021 tetapi telah ditolak ke musim panas 2022.

“Johnny Depp akan meninggalkan Fantastic Beasts. Kami mengucapkan terima kasih kepada Johnny atas sumbangannya dalam filem ini. Kami bakal membuat carian pelakon untuk watak Gellert Grindelwald tidak lama lagi,” kata wakil daripada Warner Bros.

Ini artikel berkaitan kes saman fitnah antara Johnny Depp dan The Sun. Klik pada pautan untuk bacaan lanjut.

Hari Sedih Untuk Johnny Depp, Tewas Kes Fitnah Dan Dituduh ‘Dera Isteri’

Selepas Dibuang Oleh Disney, Peminat Mahu Lihat Johnny Depp Dalam One Piece

Sumber