Johor merupakan salah satu negeri yang sedang giat dalam membangunkan kemudahan pengangkutan awam mesra alam kepada orang ramai.

Terbaharu, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi tempoh tiga tahun kepada kerajaan negeri Johor untuk pelaksanaan perkhidmatan myBAS menerusi Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan bas di negeri itu.

Memetik hantaran Facebook Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjangkakan sebanyak 6.4 juta penumpang setahun bakal menerima manfaat daripada penambahbaikkan perkhidmatan bas berhenti-henti di kawasan bandar dan kawasan luar bandar menerusi SBST.

“Untuk program SBST di Johor, laluan sepanjang 1,052 kilometer melibatkan 19 laluan di lima koridor iaitu Koridor Kota Tinggi, Koridor Masai, Koridor Kulai, Koridor Gelang Patah dan Koridor Pontian,” kata beliau.

Program ini bakal dijayakan dengan 128 buah bas yang disediakan untuk myBAS Johor Bahru. Kesemua bas itu turut dilengkapi dengan kemudahan pembayaran secara tunai dan tanpa tunai.

Manakala purata kekerapan bas pula adalah dari 20 hingga 30 minit ketika waktu puncak manakala 30 hingga 60 minit ketika waktu luar puncak.

“Program ini amat baik kerana ia sudah dilaksanakan di Kangar, Ipoh, Seremban dan Kuala Terengganu untuk bantu (rakyat) dan satu sistem terbaik digunakan serta lebih dinamik untuk perkasakan program perkhidmatan awam darat khususnya bas.

“Antara keunikannya ialah buat kali pertama, kita perkenalkan kenderaan elektrik (EV) untuk Johor Bahru ini, kita ada lapan bas EV khusus untuk kawasan pusat bandar raya. Sebab itu kita lakar sejarah, perkenalkan SBST dan dalam konteks Johor Bahru, kita telah perkenalkan sejenis bas yang memang diterima pakai di seluruh dunia, ia satu trend dunia,” kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, lapor Harian Metro.

Pada masa sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata negeri itu mempunyai perancangan projek pengangkutan berskala besar termasuk Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru dan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link). Bagaimanapun, sistem bas berhenti-henti masih perlu diperkasakan terlebih dahulu.

Tambah beliau lagi, Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang akan digabungkan ke dalam satu sistem pengangkutan yang lebih baik dan terkini, dengan ketepatan masa perkhidmatan dan kawasan liputannya yang semakin meluas.

*Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Pada awal tahun lalu, selama tiga bulan Johor membuat ujian rintis bas elektrik buatan tempatan dan luar negara. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Johor Laksanakan Ujian Rintis Bas Elektrik Buatan Tempatan Dan Antarabangsa Selama Tiga Bulan

Sudah 3 Bulan Dipandu Uji, Bas Elektrik Di Johor Berjaya Curi Tumpuan Orang Ramai