Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pada petang Ahad semalam, seorang lelaki berusia 24 tahun memakai kostum ‘Joker’ telah menyerang penumpang di laluan kereta api Tokyo. Menurut laporan Reuters, insiden itu telah menyebabkan 17 orang awam tercedera ketika para pengunjung parti dalam perjalanan menuju ke pusat bandar untuk perhimpunan Halloween.

Seorang warga emas berusia 60 tahun dijumpai dalam keadaan kritikal selepas ditikam oleh ‘Joker’ tersebut. Salah seorang saksi menyatakan penyerang itu telah menikam 10 orang penumpang secara rambang sebelum menuang cecair dipercayai minyak di sekeliling dalam gerabak sebelum menyalakan api.

Semasa serangan itu berlaku di laluan ekspres Keio menuju ke Shinjuku, stesen kereta api paling sibuk di dunia, dilaporkan lelaki berusia 24 tahun itu turut melemparkan asid hidroklorik.

Dalam beberapa video dan gambar yang dimuat naik pada platform Twitter, kelihatan orang ramai bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri apabila serangan berlaku dan kereta api mula terbakar.

“Saya ingatkan ia cuma ‘stunt’ untuk Halloween. Kemudian, saya ternampak lelaki memakai pakaian ‘Joker’ berjalan ke arah kami dan ‘melambai-lambai’ pisau panjang yang mempunyai kesan darah,” kata salah seorang saksi yang berada semasa kejadian.

Jabatan Bomba Tokyo berkata 17 penumpang cedera, termasuk tiga parah. Tidak semua daripada mangsa ditikam dan kebanyakan kecederaan tidak serius, tambah pegawai yang bertugas.

Setelah melakukan serangan tersebut, suspek ‘Joker’ itu dirakam sedang duduk sambil menghisap rokok dengan tenang seperti tiada apa-apa yang terjadi. Pihak polis telah menahan suspek serta-merta di tempat kejadian.

Media tempatan melaporkan suspek memberitahu pihak polis dia melakukan perkara tersebut kerana ‘mahu membunuh orang supaya dia boleh dijatuhkan hukuman mati’.

Pada pertengahan bulan Oktober lalu, seorang lelaki telah menyerang orang awam menggunakan busur dan panah sehingga meragut lima nyawa. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Lima Orang Awam Mati Kena Panah Dalam Serangan Rambang Di Norway

Kamagasaki, Bandar Yang ‘Dipadam’ Daripada Peta Jepun

Anda Mungkin Suka