Bagi mengelakkan insiden sama berlaku, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengetatkan pemeriksaan jentera dan syarat kelulusan untuk perlumbaan drag terutama aspek mekanikal serta spesifikasi bagi memastikan keselamatan pemandu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pihaknya juga akan memastikan setiap pelumba menitikberatkan aspek pemeriksaan teknikal jentera sebelum menyertai perlumbaan, lapor Harian Metro.

Baca Juga:

“Sekarang sudah ada kelulusan standard terhadap sukan drif dan drag termasuk spesifikasi kenderaan. Sebelum ini kita tidak pernah dengar kes kenderaan drag terbabit kemalangan sebegini.

“Bagi kes berlaku di Terengganu itu kita akan semak dengan PDRM yang menyiasat dari segi pemanduan pemandu dan keadaan jalan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya tidak pernah melonggarkan syarat permohonan berkaitan sukan permotoran tersebut atau memandang ringan soal keselamatan yang perlu ada pada kenderaan terlibat.

“Setiap masa JPJ perketatkan aspek pemanduan kenderaan drag dan tidak pernah kita longgar syarat kelulusan, kerana kita memang tidak melihat benda itu sebagai satu benda yang ringan memandangkan pemanduan itu sendiri sudah berbahaya.

“Spesifikasi, enjin dan kerangka dalaman kenderaan ini yang diubah suai sebenarnya perlu mendapat kelulusan JPJ, jika tidak kenderaan terbabit dilarang sama sekali menyertai perlumbaan drag.

“Setiap kenderaan yang ingin menyertai perlumbaan drag, penganjur perlu menghantar permohonan kepada JPJ bagi kita melihat daripada aspek teknikal, tayar dan brek yang perlu mengikut syarat-syarat ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Akademi JPJ di Tiang Dua, Ayer Molek.

Terdahulu Muhamad Hafez Jamal Jamaluddin, 40, maut sewaktu menyertai perlumbaan drag Battle Of The Kings (BOTK) 2022 apabila kereta lumba dipandunya hilang kawalan lalu terbabas. Susulan insiden itu, semua aktiviti sukan permotoran dan kereta di Terengganu ditangguhkan serta-merta.

Mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, Zailani berkata, JPJ masih menunggu laporan penuh daripada polis untuk mengetahui punca kemalangan, sama ada disebabkan faktor kecuaian manusia atau masalah mekanikal kenderaan.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.