Sebanyak 343 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan kepada warga asing yang memandu kenderaan di negeri ini dan terbabit dengan kesalahan jalan raya pada tahun lalu, lapor Harian Metro.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, angka itu dilihat semakin meningkat berikutan ada dalam kalangan mereka yang bertindak menyewa atau membeli kenderaan terpakai malah setakat ini sebanyak 30 kenderaan sudah disita.

Baca Juga:

“Bilangan warga asing yang memandu kenderaan tempatan tanpa memiliki lesen semakin meningkat terutama di daerah Kota Bharu dan kebanyakannya adalah dari etnik Rohingya.

“Kami memberi peringatan tegas kepada rakyat tempatan agar tidak memberi kebenaran kepada mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menggunakan kenderaan mereka kerana menjadi tanggungjawab mereka jika kenderaan yang dipandu terbabit dalam kemalangan atau kesalahan jalan raya,” katanya kepada pemberita.

Selain mengeluarkan notis saman kepada warga asing, tindakan juga dikenakan kepada majikan yang membenarkan kenderaan itu dipinjam atau dipandu dengan menyerahkan notis untuk hadir ke mahkamah bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, secara keseluruhan, JPJ Kelantan merekodkan kira-kira RM6.1 juta jumlah kutipan kompaun sepanjang tahun lalu membabitkan 29,636 notis dikompaun.

Jumlah itu juga membabitkan 31,031 bilangan kenderaan yang diambil tindakan dengan 71,025 notis saman yang dikeluarkan.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Sumber