Dalam pelbagai hal isu semasa yang berlaku dalam negara ketika ini, ‘isu petrol’ antara topik utama paling menjadi bualan ramai. Sama ada dari segi peningkatan harga ataupun keberkesanannya.

Melalui perkongsian ciapan terbaharu Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal, atau lebih dikenali sebagai ‘Dr. Aid Fawzal’, beliau menjelaskan lebih lanjut mengenai petrol RON yang sering kali menjadi perdebatan di antara warganet.

Kali ini beliau telah berkerjasama dengan ‘Jurutera Analisa Prestasi Enjin’ yang juga seorang pensyarah; Ir. Fadzil ZA untuk merungkai lebih mendalam dan teknikal mengenai persoalan-persoalan petrol RON yang ditanya orang ramai.

Apa itu RON?

RON adalah singkatan daripada ‘Research Octane Number‘. Ia adalah ukuran kebolehrintangan minyak petrol terhadap ‘knocking‘.

Knocking‘ pula adalah satu kejadian letupan tidak terkawal yang terjadi di dalam kebuk pembakaran dan kejadian iu tidak memberikan kuasa yang positif malah boleh membawa kecelakaan kepada enjin.

Perbezaan RON 95/95/100

Nilai tenaga (calorific value) yang ada pada petrol RON 95 atau RON 97 atau RON 100 mempunyai nilai yang lebih kurang sama, yang membezakan antara ketiga-tiga jenis petrol itu adalah ‘kualiti melawan sifat knocking‘ (anti-knock quality).

Dengan itu, tiada isu RON yang mana satu lebih ‘power‘, ini kerana kandungan  tenaganya sama sahaja. Lebihan kuasa itu bergantung bagaimana enjin dapat menggunakan kelebihan bahan bakar tersebut secara efektif.

Kaitan RON dengan enjin

RON merupakan berkadar langsung dengan nisbah mampatan (compression ration) dan ianya bukanlah berkenaan dengan saiz enjin kereta (cc, cubic centimetres atau L, liter).

Satu masa dahulu penggunaan RON 95 atau RON 97 memang berkait rapat dengan nisbah mampatan enjin. Sebagai contoh; nisbah mampatan rendah, perlu pakai RON 95. Manakala nisbah mampatan tinggi, perlu pakai RON 97/RON 100.

Bagaimanapun, oleh kerana perkembangan teknologi yang semakin kompleks dan canggih, enjin kereta pada hari ini sudah mampu mengubah talaan mengikut RON yang digunakan. Jadi, nilai RON sudah kurang perkaitan dengan nisbah mampatan.

Seperti contoh, enjin Mazda SKYACTIV-G mempunyai enjin jenis natural-aspirated dengan nisbah mampatan setinggi 14:1. Secara amnya, ia perlu menggunakan RON 100, namun dengan kecanggihan reka bentuk combustion chamber dan talaan, ia boleh beroperasi dengan baik hanya menggunakan RON 95 tanpa sebarang masalah.

Sumber Gambar: Mazda USA

Sebab enjin moden kurang sensitif dengan RON

Antara sebab utamanya ialah ekoran kemajuan Engine Control Unit (ECU) yang ada pada model-model kereta terbaharu. ECU moden membenarkan enjin beroperasi di antara julat RON berbeza; bermula daripada RON 85 sehingga RON 100.

ECU moden dapat mengadaptasi nilai semburan bahan api dan ignition berdasarkan kualiti pembakaran bagi mengelakkan knocking berlaku.

Jenis enjin sesuai guna RON yang tinggi

Petrol yang mempunyai RON yang tinggi lebih sesuai untuk digunakan pada enjin yang menggunakan induksi paksaan (forced induction) seperti Supercharger (SC) atau Turbocharger (TC).

Ini kerana enjin yang mempunyai SC/TC lebih terdedah untuk berlakunya knocking disebabkan angin yang masuk bertekanan dan bersuhu tinggi. Jadi, RON yang tinggi lebih sesuai digunakan kerana ia dapat mengurangkan atau mengelakkan berlakunya kejadian knocking yang akan merosotkan prestasi dan juga bagi mengelakkan kerosakan pada komponen enjin.

Bukan semua enjin SC/TC perlu pakai RON yang tinggi

Seperti dimaklumkan di atas, ECU moden mempunyai talaan untuk beroperasi dalam julat RON yang berbeza; bermula di antara RON 87 ke RON 100.

Pun begitu, kadar prestasi optimum dan penggunaan bahan api yang terbaik akan terhasil pada tahap RON yang disarakan seperti yang ada dalam buku manual/buku spesifikasi pada setiap model kereta.

Kesan guna RON luar dari julat dibenarkan

Jika sesebuah enjin itu ditala untuk menggunakan julat RON 87 ke RON 100 sahaja, namun diisi dengan RON 80, ECU kereta itu akan hanya mampu gunakan mapping untuk RON 87 sahaja.

Dengan itu, kemungkinan besar enjin kereta itu akan mengalami knocking teruk kerana ECU tidak dapat mengawal sebaiknya.

Begitu juga jika enjin standard menggunakan petrol jenis perlumbaan seperti RON 110. ECU hanya akan gunakan talaan yang sesuai untuk RON 100 sahaja. Maka, tiada kelebihan yang akan dapat jika menggunakannya.

Kesesuaian guna RON 97/100 untuk kereta cc rendah

Jika mampu, tiada masalah. Bagaimanapun, rujuk pada persoalan di atas, pemilihan pengunaan jenis RON bukan berdasarkan atas dasar saiz enjin; cc. Tetapi ia sangat bergantung pada reka bentuk enjin dengan landasan nisbah mampatan sesebuah kereta.

RON rendah atau RON tinggi lebih jimat?

Persoalan ini perlu merujuk kepada unit ukuran. Kebanyakannya orang ramai membuat kiraan penjimatan hanya secara ‘agak-agak’ atau melihat berapa jauh jarak perjalanan.

Dalam satu hantaran Dr.Aid Fawzal sebelum ini, beliau pernah berkongsi bagaimana cara menisbahkan jarak perjalanan dengan harga isian petrol untuk mendapatkan kepastian adakah sesuatu kereta jimat apabila menggunakan RON yang berbeza.

Sebelum Dr.Aid Fawzal menutup perkongsiannya, beliau menyarankan setiap pemilik kereta agar menggunakan RON yang sesuai dengan enjin kereta mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Namun, jika pengguna mahu guna RON yang berbeza, ini tidak akan merosakkan enjin anda secara langsung.

Ini kerana enjin yang direka untuk menggunakan RON yang rendah, boleh berfungsi dengan baik apabila gunakan RON tinggi. Manakala enjin yang direka untuk gunakan RON yang tinggi, tidak boleh berfungsi dengan baik dengan RON rendah.

Terima kasih diucapkan kepada Ir. Fadzil kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama mendidik masyarakat berkenaan isu yang menjadi bualan para netizen di media sosial.

Di bawah ini gambar sewaktu beliau menjalankan uji kaji bersama Ricardo, di Shoreham-by-Sea, UK. Kini beliau berkhidmat di UTHM dan beliau boleh dihubungi beliau melalui laman Facebook CAPT, UTHM.

Bagi yang berminat dengan perkongsian teknikal automotif, anda boleh ikuti perkongsian lanjut Dr.Aid Fawzal di Facebook dan Twitter rasminya.

* Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Pada beberapa tahun lalu, Dr.Aid Fawzal berjaya menghasilkan sistem penyejukan yang diguna pakai pada beberapa model supercar dengan menggunakan formula ciptaannya, ‘Fawzal Number’.

Lelaki Malaysia Ini Berjaya Mengolah Sistem Penyejukan Model ‘Supercar’ Dari Itali

Pakar Jelaskan Kenapa Reka Bentuk ‘Steering’ Seperti Ini Bahaya Untuk Kereta Kegunaan Harian

Sumber