Mungkin ramai lebih tahu tentang kisah pesawat mendarat di Sungai Hudson sehingga ia dijadikan filem berdasarkan autobiografi Highest Duty oleh Captain Chesley “Sully” Sullenberger dan Jeffrey Zaslow.

Kali ini saya ingin mengetengahkan tentang seorang juruterbang mata satu yang menerbangkan pesawat baru Boeing 737-300 dari Belize ke New Orleans. Kejadian ini berlaku pada 24 Mei 1988 melibatkan syarikat penerbangan TACA Airlines.

Ia adalah satu penerbangan antarabangsa yang biasa antara San Salvador, El Salvador ke New Orleans, Louisiana dengan en route stop di Belize. Pada waktu itu 38 penumpang dan 7 anak kapal berada di dalam pesawat TACA 110.

carlos-dardano

Captain Carlos Dardano berusia 29 tahun pada waktu itu mempunyai masa penerbangan 13,410 jam. Dia buta mata kiri ketika dalam cubaan menerbangkan pesawat kecil selepas ditembak oleh guerila semasa perang di El Salvador. Walaupun penglihatan terjejas, dia berjaya menjadi juruterbang komersil.

Selain itu, turut berada di dalam kokpit ialah First Officer Dionisio Lpez dengan masa penerbangan lebih 12,000 jam dan Captain Arturo Soles, jurulatih juruterbang yang memantau prestasi pesawat baru 737.

Pertengahan perjalanan menghampiri New Orleans, pesawat menghadapi hujan lebat dan hujan batu berserta kilat yang ganas menyebabkan kedua-dua enjin mati. Krew cuba menghidupkan semula enjin pesawat dengan menggunakan emergency backup generator dan ia berjaya.

Pada ketinggian 4,000 kaki, kejayaan itu dilaporkan kepada menara kawalan di mana mereka akan teruskan perjalanan ke Lapangan Antarabangsa New Orleans. Tapi itu semua hanya sementara apabila kurang seminit dari itu, enjin tidak beri apa-apa kuasa pada kelajuan pesawat dan suhu enjin makin meningkat.

Melihatkan keadaan itu juruterbang terpaksa mematikan enjin bagi mengelakkan pesawat meletop di udara kerana enjin turbin dalam keadaan terbakar. Dan situasi itu dimaklumkan kepada menara kawalan di New Orleans agar mereka dapat melakukan pendaratan cemas.

Juruterbang dinasihatkan mendarat di Lapangan Terbang New Orleans Lakefront yang jaraknya lebih dekat berbanding destinasi asal. Walau bagaimanapun, juruterbang menolak cadangan tersebut kerana mereka berada pada aras 2,000 kaki dan kehilangan altitud.

Dengan keadaan kedua-dua belah enjin tidak boleh dihidupkan semula dan dalam masa yang sama pesawat tidak berupaya meluncur ke kedua-dua lapangan terbang, juruterbang memutuskan untuk mendarat di atas air seperti mana dilakukan oleh Captain Sully pada Airbus A320 yang mendarat di Sungai Hudson selepas 21 tahun kemudian.

Apabila makin menghampiri sungai, salah seorang nampak ada tetambak rumput berhampiran Fasiliti Michound Nasa di tepi sungai itu. Ia kelihatan lebih selamat berbanding mendarat di dalam air.

Tambahan pula, itu adalah pesawat baru bagi sebuah syarikat penerbangan yang kecil. Jadi, juruterbang mahu meminimakan kerosakan dan kejadian buruk.

Pesawat terpaksa membuat satu lencongan kecil (sideslip) ke kanan yang agak berisiko untuk terhempas bagi pesawat yang besar dan tiada kuasa enjin. Dia terpaksa berbuat demikian agar boleh mendarat di tetambak rumput itu.

Akhirnya, pesawat itu berjaya didaratkan oleh Captain Carlos Dardano, juruterbang mata satu dengan hanya meluncur seperti sebuah pesawat kecil. Semua penumpang dan anak kapal selamat. Tiada kerosakan teruk pada pesawat.

Pihak Boeing perlu menggantikan enjin dan buang minyak agar dapat menerbangkan semula pesawat tersebut memandangkan tetambak rumput itu makin mendap, tak dapat tahan berat pesawat yang besar itu.

Selepas penyiasatan, pesawat itu digunakan sehingga tahun 2016 dengan nombor N697SW di bawah syarikat penerbangan Southwest Airlines.

Tonton dokumentari ini untuk dapatkan gambaran penuh kejadian ini:

https://www.youtube.com/watch?v=aIkzzbNRQlA