Selepas melancarkan trailer pertama sempena penukaran nama daripada Pro Evolution Soccer pada Jun lalu, eFootball PES 2020 mengumumkan mereka telah menandatangani perjanjian bersama juara Serie A musim 2018/2019, Juventus.

Kerjasama antara kedua-dua pihak diumumkan oleh pembangun permainan tersebut iaitu Konami dimana eFootball PES 2020 akan menjadi satu-satunya konsol permainan video yang memaparkan stadium, lambang serta nama kelab yang berpangkalan di kota Turin itu.

Kerjasama antara eFootball PES 2020 bersama Juventus ini nyata memberi kesan kepada pesaing utama eFootball PES iaitu FIFA yang dibangunkan oleh EA Sports. Kelab yang sinonim dengan julukan The Old Lady itu kini dikenali dengan nama Piemonte Calcio di FIFA 20. Selain itu, Stadium Allianz juga akan diganti dengan penggunaan ‘stock stadium’.

Juventus PES
Sumber Gambar: Hypebeast.com

Pada masa yang sama, Konami turut mengumumkan seramai 17 pemain Juventus termasuk bintang utama pasukan, Cristiano Ronaldo akan dimasukkan dalam permainan tersebut. Bekas pemain, Pavel Nedved turut disenaraikan dimana beliau akan muncul sebagai ‘Legend Player’.

eFootball PES 2020 dijangka menemui peminat pada 10 September mendatang dan kerjasama antara eFootball PES dan Juventus dilihat mampu untuk meningkatkan lagi pengguna khususnya dari kalangan peminat bola sepak untuk bermain permainan video tersebut setelah dibayangi oleh FIFA sebelum ini.