Ketika menonton video oleh Coconuts TV ini di YouTube, kami sebenarnya sangat terkejut dengan pendedahan yang dibuat. Di Jakarta, ianya menjadi semakin normal golongan ‘Muslim Liberal’ untuk makan babi tanpa was-was.

Salah satu restoran atau kafe yang popular yang sentiasa menjadi tumpuan untuk menu babi di Jakarta adalah Panggangin. Ianya diusahakan oleh dua orang sahabat yang mahu kafe mereka tampil berlainan dengan menyediakan menu babi untuk muslim.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Lebih mengejutkan adalah salah seorang pemilik Panggangin, Derra merupakan seorang yang beragama Islam. Manakala rakan niaganya, Sulung adalah seorang vegetarian. Secara dasarnya, Derra dan Sulung tidak makan babi tetapi menu di kafe mereka menyajikan menu berasaskan babi antara yang terbaik di Jakarta.

Menurut Derra, mereka tidak memaksa orang Islam untuk makan babi di sini. Tetapi jika pelanggan mahu, mereka tidak akan menghalangnya. Bagi Sulung pula, pengunjung yang pergi ke kafe mereka bebas untuk membuat pilihan makanan yang mereka mahu dan semuanya bergantung kepada individu tersebut untuk makan babi atau pun tidak.

Coconuts Tv
Kredit gambar: Coconuts TV

Antara pelanggan Muslim yang biasa makan di cafe ini, Aryo berkata rasa ingin tahu membuatkan beliau mencuba makan babi buat kali pertama. Tetapi kerana keenakkannya, beliau terus makan babi sehingga ke hari ini.

Derra mempunyai logik beliau sendiri apabila ditanya mengapa makin ramai Muslim yang makan babi di Jakarta pada ketika ini. “Muslim ketika ini ada yang minum alkohol, ambil dadah dan berzina. Itu semuanya haram bukan? Jadi apa salahnya makan babi. Ianya hanya makanan. Apa bahaya yang akan timbul kan?” jawab Derra.

Video ini baharu sahaja dimuat naik hujung minggu lalu dan nampaknya ramai yang mengecam video ini kerana memberi gambaran buruk kepada orang Muslim lain di Jakarta. Laman Instagram kafe Panggangin juga pada ketika ini telah dipadam; mungkin kerana mereka menerima pelbagai kecaman daripada netizen.

Makan Babi 2
Chef di ‘Panggangin’ sedang menyediakan makanan untuk pelanggan

Begitulah perbezaan pandangan segelintir penduduk Muslim di Jakarta. Dalam Islam sendiri sudah termaktub bahawa daging itu memang haram untuk di makan. Pengharaman daging babi disebutkan dengan begitu jelas di dalam al-Quran. Bukan hanya satu ayat tetapi Allah berfirman mengenainya pada empat ayat di dalam al-Quran iaitu ayat 173 surah al-Baqarah, ayat 3 surah al-Maidah, ayat 145 surah al-An’am dan ayat 116 surah an-Nahl.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan haiwan yang disembelih disebut nama selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa memakannya sedang ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampau, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (al-Baqarah ayat 173).

Anda boleh tonton di sini video penuh temubual antara Derra dan Sulung. Berhati-hatilah jika anda ke Jakarta kerana kafe yang pemiliknya Islam sekalipun, tidak semestinya halal.