Siapa sahaja yang tidak sedih apabila kehilangan ahli keluarga lebih-lebih lagi apabila punca kematiannya kekal menjadi tanda tanya hingga ke hari ini. Itulah yang tersemuat di hati keluaga arwah Amirul Nashriq, seorang penuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Selepas setahun, kakak kepada arwah, Norzulaikha Othman merasakan sudah tiba masanya untuk berkongsikan kisah sebenar kematian Amirul Nashriq di mana beliau berpendapat adiknya dibuli oleh pelajar senior universiti berkenaan sebelum ditemui lemas di air terjun. Baca perkongsian daripada Norzulaikha.

Maldives
HYPE
F&N SEASONS Mahu Taja Percutian Mewah Anda Di Maldives Dan Cherating. Biar Betul?
Baca lagi →

Assalamualaikum dan salam sejahtera, ada beberapa kenalan yang menghubungi saya dan bertanyakan tentang kes arwah adik…

Posted by Norzulaikha Othman on Sunday, 4 August 2019

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di sini saya kongsikan kronologi serba sedikit. Saya tidak akan kongsi secara terperinci kerana kes ini akan dibuka semula untuk kali kedua dan saya tidak mahu mengganggu siasatan pihak terbabit. Sebarang gambar berkenaan arwah dan nombor telefon pihak keluarga juga tidak akan saya kongsi atas faktor privasi. Harap kerjasama dari semua pihak, terima kasih.

1. 22/3/2018 (Khamis)

Arwah menghantar gambar badannya (ulu hati dan dada) lebam akibat dipukul oleh 3 orang senior akibat lambat melapor diri ke bilik senior terbabit melalui group WhatsApp keluarga kami pada pukul 8:20 malam. Seorang lagi rakan arwah telah dipukul terlebih dahulu oleh 3 senior tersebut di bilik yang sama.

Arwah cuba sorrokkan hal sebenar dengan mengatakan bahawa dia telah mendapatkan rawatan di klinik dan diberi ubat sapu oleh doktor kerana tidak mahu kami sekeluarga berasa risau. Kemudian, dia menambah bahawa pegawai telah ambush bilik tersebut dan telah mengambil tindakan ke atas 3 orang pesalah.

Manakala rakan arwah telah dihantar ke wad kecemasan kerana lebam teruk dan sesak nafas dan seterusnya pihak keluarga telah membawanya pulang ke rumah. Kami berpesan pada arwah untuk melaporkan hal tersebut kepada pegawai sekiranya kecederaan yang dialaminya teruk dan tidak mahu kes sebelum ini (kes arwah Zulfarhan) berulang lagi.

2. 23/3/2018 (Jumaat)

Bapa kami telah memasukkan wang ke akaun arwah dan menyuruh dia pulang ke rumah untuk kami membawa dia ke hospital bagi membuat pemeriksaan X-ray untuk memastikan tiada kecederaan dalaman.

Kali terakhir arwah membalas mesej dalam WhatsApp group keluarga adalah pada waktu malam dengan mengatakan, “Terima kasih ayah” kerana memberi wang belanja padanya. Arwah tidak menyebut sama ada dia akan pulang ke rumah atau tidak. Namun, kami mengharapkan dan menunggu kepulangan arwah.

Haih si buah hati, harap2 kau tersenyum kat sane macam ni sebab kes kau dah viral 😊 walaupun kita kena tunggu lama tapi…

Posted by Norzulaikha Othman on Monday, 5 August 2019

3. 24/3/2018 (Sabtu – hari kejadian)

Ayah saya telah menerima panggilan yang memberitahu bahawa arwah telah meninggal dunia kerana lemas di Air Terjun Chamang, Bentong, Pahang pada pukul 5:30 petang.

Ayah dan ibu saya telah dibawa ke Hospital Bentong oleh 2 orang pakcik saya. Dalam perjalanan, bapa saya telah menerima BEBERAPA panggilan dari pegawai UPNM dan mendesak agar diberi kebenaran untuk membuat post mortem ke atas arwah, namun ibu saya telah menegaskan untuk menunggu ketibaan mereka di hospital.

Setibanya ibu bapa saya di hospital, didapati jahitan adik saya sudah kering(dipercayai telah dijalankan post mortem ke atasnya beberapa jam sebelum). Bapa saya telah disuruh untuk menurunkan tandatangan ke atas satu borang (dipercayai untuk keizinan post mortem yang sepatutnya ditandatangan sebelum prosedur dijalankan).

Dalam kesedihan dan keserabutan tersebut, kad pengenalan dan barang peribadi arwah tidak dipulangkan kepada kami sebagai waris. Hingga ke hari ini, di mana kad pengenalan dan barang arwah (pakaian, kasut dan cermin mata yang dipakai untuk ke air terjun) berada masih menjadi tanda tanya.

4. 25/3/2018 (Ahad)

Selepas selesai urusan pengebumian arwah, satu laporan polis telah dibuat kerana kami tidak puas hati atas kematian arwah (cara dan jalan cerita bercanggah).

7 orang rakan lain yang turut ke air terjun tersebut tidak mengikut kami ke rumah untuk urusan pengebumian atas alasan pegawai UPNM melarang mereka berbuat demikian dan mereka telah diarahkan pulang terus ke UPNM.

Soalan netizen

1. Kenapa keluarga tidak membuat laporan polis?
Kami telah membuat laporan sehari selepas kematian arwah namun tiada tindakan lanjut yang diambil oleh balai. Polis Cheras yang menguruskan kes ini atas alasan UPNM mahu menjalankan siasatan dalaman dan kononnya akan membuang 3 orang senior tersebut.

Pihak keluarga telah berjumpa dengan 4 orang peguam sebelum ini namun tiada seorang pun yang berani untuk mengambil kes ini kerana risiko yang tinggi dan tiada bukti kukuh. InshaAllah kami akan membuat laporan kedua bagi membuka kes ini.

2. Status terkini rakan arwah yang turut dipukul pada hari kejadian.
Masih belajar di UPNM namun kami gagal menghubungi dia dan keluarganya.

Akhirnya, kami dari pihak keluarga berharap agar semua dapat berkongsi tentang kes ini dan sekiranya ingin menghulurkan apa-apa bantuan, boleh berhubung terus dengan saya dengan menghantar Personal Message (PM) di Facebook, sekian terima kasih.

Terima kasih banyak2 pada semua yang dah share psal arwah Mohd Amirul Nashriq, sama2lah kita berdoa yang terbaik untuk…

Posted by Norzulaikha Othman on Tuesday, 6 August 2019

Kemaskini: Di sini saya nak betulkan sedikit fakta kerana ada yang keliru:

1. Yang pukul arwah adalah 3 orang senior tapi yang ke air terjun (2 hari selepas dipukul) adalah 7 orang rakan sama batch dengan arwah. Pada hujung minggu tersebut, hanya junior Asasi yang diberi pelepasan untuk bercuti hujung minggu.

2. Keputusan post mortem adalah kesukaran bernafas dan menyebabkan lemas. Laporan yang kami peroleh adalah ringkas(tiada gambar) dan dinyatakan tiada langsung kesan lebam di badan arwah. Saksi kejadian(7 orang rakan arwah) memberi keterangan kepada Balai Polis Bentong bahawa arwah lemas selama 15 minit akibat termasuk di pusaran air.

Saya harap dapat kurangkan kekeliruan dan spekulasi yang timbul, terima kasih.

Anda Mungkin Suka