Setahun lebih sudah kita dihadapkan dengan wabak yang seperti tiada penghujung. Dunia berada dalam zaman gelap yang tiada siapa dapat jangka. Dengan ekonomi yang tidak menentu dan hidup dalam nafas yang berliku. Hanya ada tinggal satu jalan buat semua orang, iaitu terus berjuang untuk kekal hidup.

Bagi Rabbani Sujak, seorang Pereka Produksi dan Pengarah Seni yang berumur 28 tahun. Dia tidak menyangka bahawa akan melalui satu zaman huru hara. Katanya, kehidupan berjalan begitu baik sebelum ini, tetapi tiba-tiba kebebasan kita direntap dengan sekelip mata, “dan tiada siapa sangka kita akan diuji sekeras ini.”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dia seperti insan lain, sedang berjuang untuk hidup. Bekerja sebagai krew di belakang tabir dengan mengharapkan rezeki dari pengambaran filem. Dia  mengeluh nasib yang ditimpa olehnya dan kumpulan krew belakang tabir yang lain kepada sebuah institusi yang sepatutnya berjuang untuk kelangsungan hidup mereka.

https://www.instagram.com/p/CKv8ZN-pAME/

Pada 1 Februari 2021 yang lalu, dia ada menulis mesej panjang lebar kepada Perbadanan Pembangunan Filem Nasional Malaysia (FINAS) agar nasibnya dan beberapa pembikin filem yang lain didengar. Dia meminta agar mereka diberi kebenaran untuk menyambung kerja-kerja pengambaran yang tertangguh dengan prosedur operasi standard yang ketat (SOP).

Beberapa hari selepas itu, FINAS ada mengeluarkan kenyataan bahawa institusi itu sudah menghantar surat kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diberi ruang agar kerja-kerja produksi boleh dijalankan. Penulis terpanggil untuk mendengar secara dekat kisah Rabbani Sujak dan kesan yang menimpa krew belakang tabir yang jarang didendang.

Berikut adalah temubual yang dibuat secara atas talian bersama Rabbani Sujak.

Covid-19 telah menyebabkan beberapa orang risau dengan situasi mereka. Bagaimana anda melihat keadaan ini dari sudut pandang anda?

Pada pandangan saya, situasi ini membimbangkan semua pihak. Seperti yang kita maklum, kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak COVID-19. Perlaksanaan PKP menyebabkan hampir semua sektor ekonomi terjejas.

Ada yang tidak dibenarkan bekerja, ada yang disarankan bekerja dari rumah, ada yang dikurangkan waktu bekerja, diberhentikan kerja dan tidak lupa juga yang terpaksa menutup bisnes mereka. Hal ini membuntukan semua orang tentang masa hadapan yang bakal mereka tempuh.

Dalam kelompok mereka yang risau ini, terdapat juga penggiat filem dan anak seni. Adakah anda aktivis seni yang berada di kalangan mereka yang terkesan akibat COVID-19?

Ya, saya adalah salah seorang pekerja filem dan produksi yang terjejas dalam kalangan penggiat seni yang lain. Pada 11 januari lalu, kerajaan memutuskan untuk menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ke-2 dalam tempoh yang singkat dan perancangan yang separuh masak. Mengapa saya katakan ianya separuh masak? Kenderaan di atas jalanraya sesak seperti sediakala, gedung besar dan pasaraya masih dibuka dan sektor perkilangan dan pembinaan yang umum tahu menyumbang kluster penyebaran virus terbesar juga dibenarkan beroperasi.

IMG_2368

Ketika perlaksanaan PKP fasa ke-2  ini, saya masih dalam kontrak penggambaran filem tempatan yang sudah masuk hari ke-7 daripada jumlah 26 hari bekerja. Aktiviti penggambaran filem kami dihentikan serta merta dan sehingga ke hari ini, kami masih menunggu tarikh untuk bekerja kembali.

Kita selalu dengar masalah yang diutarakan daripada kumpulan pelakon/pengarah. Namun amat jarang yang bercerita mengenai krew filem. Bagi anda, apakah kesan besar kepada krew filem apabila pengambaran tidak dapat dijalankan?

Kesan terbesar bagi pekerja filem apabila penggambaran tidak dapat dijalankan dan kami hilang sumber mata pencarian. Kami pekerja filem dan produksi ini rata-ratanya bekerja ‘freelance’ dan makan gaji harian. Jika kami tidak dibenarkan untuk bekerja, tiadalah gaji bagi kami. Putus satu sumber mata pencarian bagi memenuhi kehendak bulanan dan menyara keluarga di rumah.

Tambahan pula, pekerja filem dan produksi yang bekerja ‘freelance’ ini sebahagiannya tidak mempunyai tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan jika ada pun, mungkin tidak sebanyak mereka yang bekerja makan gaji. Ini bermaksud, bantuan i-Sinar juga tidak ada untungnya buat kami. Hari demi hari kami setia menunggu berita gembira daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk kembali mencari rezeki.

Situasi COVID-19 sudah berada lama dengan kita dan sejak itu kita diterapkan dengan beberapa norma baharu atau cara kerja yang baharu. Bagaimana anda melihat situasi ini ditangani oleh FINAS dalam membantu penggiat seni di Malaysia?

Hampir 1 bulan dari hari pertama PKP fasa ke-2 ini, masih belum kedengaran apa-apa berita untuk kami kembali bekerja. Jika pada PKP fasa pertama dahulu, saya faham bahawa kita semua pertama kali melalui situasi sebegini rupa. Pertama kali juga buat FINAS untuk mengatur langkah yang sesuai untuk mengendali masalah ini. Akan tetapi, setelah hampir 11 bulan berlalu, masih tiada jalan bagi mengatasi masalah ini, isu dan hal yang sama berulang kembali.

IMG_0066

Di tengah kesempitan yang pekerja filem dan produksi hadapi, FINAS pula sibuk tentang hal pentauliahan para pekerja hadapan dan belakang tabir yang saya tidak lihat keutamaannya jika dibandingkan dengan situasi pekerja filem dan produksi ini yang tidak dapat mencari rezeki. Saya melihat perkara ini sebagai tidak bertanggungjawab dari satu badan yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi tempat kami berlindung dan berteduh.

Merujuk kenyataan FINAS pada 2 Februari lalu, mereka menyatakan bahawa sudah mengambil langkah proaktif dengan memohon pertimbangan MKN agar pengambaran dibenarkan berjalan dengan SOP yang terperinci. Pandangan anda?

Sepanjang 2 helaian muka surat kenyataan tersebut yang berisi lebih 400 patah perkataan hanya untuk hebahkan pada khalayak bawa mereka sudah buat kerja mereka. Bagi kami, masih tiada berita gembira buat kami untuk menyambung semula aktiviti penggambaran.

Merujuk sidang media Dato’ Sri Ismail Sabri pada 4 februari 2021, Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN) meminta agar FINAS membentangkan semula SOP yang lebih terperinci untuk persetujuan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Soalan saya, sudah hampir 11 bulan dari PKP fasa pertama pun FINAS belum mampu untuk hasilkan SOP yang terperinci seperti yang diminta?

Merujuk jawapan anda di atas, adakah anda rasa perlunya perubahan sikap dari FINAS dalam menangani isu yang sedang berlegar kini?

Tentu sekali. ‘Proaktif’ itu bukan hanya sekadar di kenyataan rasmi yang disebarkan supaya kami yang di bawah tanggungjawab mereka ini berasa sedap hati. Akan tetapi ‘proaktif’ yang kami harapkan ini mengambil jelas maksud satu langkah di hadapan dalam apa jua kebarangkalian dan menyelesaikan masalah.

IMG_0878

Perkara yang telah berlaku, pastinya kita harus ambil teladan dan perbaiki sekian hari. Jika hanya mengambil resmi paku dan penukul, sampai ke generasi cucu cicit kita pun belum tentu punya penyelesaian. Jika kita merasakan satu organisasi ini fungsinya seperti satu tubuh, pasti sakit yang dirasakan suatu anggota itu turut dirasai anggota lain dan akan segera diambil tindakan.

Apakah cadangan yang anda rasa relevan boleh dibuat oleh FINAS sewaktu pandemi yang tidak nampak hujung pangkalnya?

Kita boleh ambil panduan SOP yang dikeluarkan di negara luar yang terlebih dahulu melangsungkan bidang kerja ini walaupun dalam situasi pandemik secara selamat seperti British Film Commission, COVID-19 production guidance sebagai contoh.

Setelah bentangkan SOP kepada pihak bertanggungjawab, janganlah tunggu sahaja. Seperti kita semua maklum bila berurusan dengan badan kerajaan, haruslah bertanyakan status. Kalau tidak, sampai bila-bilalah permohonan kita itu tidak ke mana. Mungkin saya seolah-olah mengajar mereka etika dan prosedur kerja yang mereka sudah tahu, tetapi anggaplah ini sebagai peringatan. Saya andaikan situasi ini seperti air yang mengalir menuruni bukit. Jika kita tahan aliran itu, ia pasti melimpah. Alirkanlah air itu ke mana yang kita mahu. Seperti setiap permasalahan, pasti ada jalan penyelesaiannya.

Apakah harapan anda buat kawan-kawan yang sedang berjuang dengan COVID-19 dan juga nasib hidup mereka?

Meminjam kata teman seperjuangan saya, Idham Mad Din, “takkan nak bertabah sahaja? Nanti rebah.” Ayuh kita bangkit memperjuangkan nasib kita sendiri jika ‘rumah’ yang selama ini kita anggap tempat berteduh pun tidak lagi berfungsi selayaknya. Semoga ada sinar di hujung jalan buat kita semua.

‘Dekat kampung pun belum tentu jaguh lagi’ – artis sindir FINAS mahu bawa filem Malaysia ke Oscar. Klik pautan di bawah untuk membaca.

‘Dekat Kampung Pun Belum Tentu Jaguh Lagi’- Artis Sindir FINAS Mahu Filem Malaysia Ke Oscar

Tindakan FINAS Padam Data Angka Kutipan Tayangan Undang Persoalan Netizen

Finas Umum Filem ‘Roh’ Terpilih Wakili Malaysia Untuk Bertanding Di Anugerah Oscar