Pada awal bulan Februari 2021, berita Tesla menghantar ‘pelan pelaburan’ di Indonesia telah menggempar warganet daripada negara-negara jiran. Dalam pelan tersebut, Tesla berminat untuk membangunkan ‘Energy Storage System‘ (ESS) atau sistem penyimpanan tenaga dalam skala yang besar.

Setelah hampir satu tahun berlalu, perkembangan terkini ‘pelan pelaburan’ itu mendapati Tesla disahkan tidak akan membina kilang di Indonesia kerana rundingan dengan kerajaan negara tersebut gagal, lebih-lebih lagi berkaitan syarat-syarat pembekalan bahan mentah untuk membuat penjana kuasa.

Sumber Gambar: Coconuts Jakarta

Berita tersebut disahkan oleh dua pegawai kerajaan Indonesia yang bercakap secara berasingan dengan The Straits Times, dengan syarat nama mereka berdua tidak disiarkan.

Memetik Tempo.co pula, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan menyatakan wakil Tesla ada menghubunginya pada 25 Mac baru-baru ini dengan sekali lagi menyatakan minat untuk melabur di Indonesia selepas rancangan sebelumnya dibatalkan.

“Saya berkata, ‘Dua tahun lalu anda menghubungi saya, mahu menghasilkan bateri litium.’ Anda semua mahu menekan kami [Indonesia]. Anda tidak boleh melakukan seperti ini. Hari ini berbeza. Kita perlu sama rata’.

“Kata saya lagi, ‘Anda [Tesla] tidak boleh melakukannya lagi. Negara ini bukan republik pisang! Negara ini adalah negara yang hebat!” tegas Luhut.

Luhut memberitahu ketika Tesla mahu memasuki negara tersebut dan syarikat itu perlu mematuhi syarat yang diberikan oleh kerajaan Indonesia, syarat yang sama juga dikenakan kepada pelabur lain, termasuk China.

Antara beberapa syarat yang diminta oleh kerajaan Indonesia untuk pelabur asing termasuk menjalankan pemindahan teknologi, menggunakan teknologi mesra alam, melatih pekerja tempatan dan memberikan nilai tambah sepanjang mereka berkerjasama.

“Saya tidak mahu awak [Tesla] beri syarat kepada kita [Indonesia]. Saya yang buat syarat untuk awak,” kata Luhut.

Sumber Gambar: The News Market

Tahun lalu, selain Tesla, Indonesia turut membuat rundingan dengan beberapa pihak antarabangsa yang berminat untuk membangunkan teknologi kereta elektrik di negara tersebut.

LG Energy Solution Korea Selatan, anak syarikat LG Chem, telah memulakan pembinaan loji bateri kenderaan elektrik bernilai USD1.1 bilion (RM4.2 bilion) di Karawang, Jawa Barat.

Sementara itu, Contemporary Amperex Technology (CATL) dari China telah komited untuk membelanjakan kira-kira USD5 bilion (RM21.1 bilion) menjelang 2023 dan USD15 bilion (RM63.16 bilion) lagi menjelang 2028 di Indonesia. Memorandum persefahaman antara CATL dan sebuah syarikat negara Indonesia telah ditandatangani pada November 2020.

“Rancangan CATL masih diteruskan, tetapi terdapat sedikit kelewatan,” kata seorang pegawai kerajaan Indonesia kepada The Straits Times pada 24 Mac, tanpa mengulas lanjut.

Sebelum ini Tesla telah menghantar ‘pelan pelaburan’ kepada Indonesia bagi pembangunan sistem penyimpanan tenaga elektrik gergasi. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Tesla Mahu Bangunkan ‘Power Bank’ 100MW Gergasi Di Indonesia

TIMOR, Jenama Kereta Nasional Pertama Indonesia Yang Dilupakan Dunia

Bangga Ekonomi Indonesia Pulih Lebih Cepat, Media Jiran ‘Sindir’ Malaysia Dan Thailand