Sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia mari dapatkan sedikit maklumat bersejarah untuk hari ini.

Tugu Peringatan Negara (atau juga dikenali sebagai Tugu Negara) telah disiapkan pada 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960). Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.

Pada setiap tahun, 11 November, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara. Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang. Setiap patung gangsa tersebut melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan.

Tapi tahukah Tugu Negara ini pernah di bom satu masa dahulu?

Oleh kerana bencikan kerajaan, ingin melumpuhkan agenda mewujudkan keamanan dan cintakan negara di kalangan rakyat, pengganas komunis bertindak mengebom Tugu Negara pada 26 Ogos 1975. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 pagi yang memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh dari kedudukan asal. Pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF).

Antara penduduk yang mendengar letupan itu adalah Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran. Unit Pemusnah Bom Polis menemui dua butir bom yang belum meletup di tempat kejadian serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera, tetapi masih sempat melarikan diri. Sebaik sahaja letupan itu berlaku, polis terserempak dengan dua orang dipercayai komunis menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Traves dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Namun pihak komunis telah menafikan penglibatan mereka dan menuduh ianya angkara perbuatan kerajaan sendiri sengaja merosakkan tugu tersebut yang dikatakan patung-patungnya menyerupai mirip wajah orang-orang barat seperti mempunyai hidung yang mancung supaya mempunyai alasan untuk mengubah-suai semula wajah patung tugu itu menyerupai rakyat Malaysia tanpa dituduh bersifat perkauman dengan menyalahkannya kepada pihak komunis.

Itu dia antara sejarah yang mungkin tidak diketahui umum. Mari doakan agar Malaysia kita sentiasa aman di bawah lindungan Rahmat Ilahi.