Rakyat Melaka akan keluar mengundi esok bagi menentukan kerajaan negeri yang baharu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada Oktober yang lalu.

Justeru ini, sekumpulan 30 sukarelawan remaja Architects of Diversity Malaysia (AOD Malaysia) telah melancarkan kempen #KamiNampak di laman sosial bagi memantau kempen yang telah dijalankan oleh setiap calon yang akan bertanding esok.

#KamiNampak dilancarkan untuk melihat ada atau tidak calon PRN Melaka yang masih menggunakan retorik kaum dan agama dalam meraih undi. Jawapannya tidak mengejutkan; ada calon yang telah diberikan bendera ‘kuning’ atau ‘merah’ kerana menggunakan isu kaum dan agama ketika berkempen.

Kempen #KamiNampak dilihat telus kerana tidak berpihak ke mana-mana parti yang bertanding dan siapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan retorik kaum atau agama, akan terus dikongsikan kepada umum.

“Kita tidak boleh melangkah ke hadapan dengan perpaduan kaum jika pemimpin kita terus menggunakan strategi tidak baik dalam meraih undi. Bayangan penjajah yang melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’ masih kuat dalam sistem politik kita,” kata pengasas bersama AOD Malaysia, Jason Wee.

Setakat 17 November 2021, lebih 17 retorik agama dan kaum telah direkodkan di PRN Melaka. Antara kesalahan yang telah dibuat adalah penyebaran maklumat salah, fitnah serta membuat dakwaan palsu terhadap parti lawan.

Kesemua kesalahan ini boleh dilihat di laman www.hackathonpolitik.xyz atau laman Twitter rasmi #KamiNampak. Jika anda salah seorang yang bakal mengundi esok, selamat memilih calon tepat yang dapat menabur jasa bakti buat rakyat dan negara.

Ini beberapa artikel lain berkaitan Melaka yang menarik untuk anda baca. Klik pada pautan di bawah.

Persis Seperti Di Santorini, Lihat Resort ‘Awesome’ Di Melaka Yang Bakal Jadi Tumpuan Pelancong

Belajar Sendiri Perisian, Kini Dapat Bangunkan Kota Melaka 3 Dimensi Yang Menarik

Lelaki Ini Kongsi Kisah Kegigihan Pemuda Pulang Ke Melaka Berbasikal Dari Bangkok