Iran, negara yang sangat best untuk diteroka keunikkannya. Iran pasti akan berikan anda pengalaman yang berbeza dan menyeronokkan. Mengikut pengalaman saya, selain dari terpukau dengan kecantikan ukiran senibinanya, layanan mesra penduduk Iran terhadap pelancong asing memang sangat baik. Silap hari bulan anda boleh jatuh hati terus dengan orang-orang di sini.

Kecantikan senibina di Iran seolah-olah menampar kuat perasaan ingin tahu di hati setiap pengembara untuk jejak kaki ke sana. Lihat sahaja ukiran warna-warni yang dihasilkan dengan tangan, siling dan dinding berkaca, itupun sudah cukup buat anda kagum. Memang artistik sungguh.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Yang paling terkesan di Iran mungkin rekaan senibina yang unik berwarna-warni, ditambah pula kesan dari pencahayaan buat ia nampak lebih mengagumkan. Tidak dinafikan, itulah yang buat ramai orang ingin memburu di Iran.

Selain daripada itu, ada satu lagi destinasi yang saya kira sangat antik dan unik yang mesti anda pergi. Memang sangat disyorkan untuk dimasukkan dalam senarai bakul anda jika pergi ke Iran. Tempat yang dimaksudkan ini ialah perkampungan purba Abyaneh.

Sebab paling kuat adalah perkampungan ini merupakan perkampungan terpencil yang sudah wujud berabad tahun lamanya dan masih berpenghuni sehinggalah sekarang. Tidak boleh digambarkan dengan kata-kata, anda mesti lihat sendiri betapa lawanya perkampungan ini. Dijamin!

instagram: @arephd

Perkampungan Abyaneh ini terletak di kaki gunung Karkas wilayah Isfahan, jika menaiki bas dari Tehran ia mengambil masa sekitar 4 jam perjalanan. Mempunyai bilangan penduduk yang terhad, dianggarkan dalam jumlah 250 keluarga sahaja yang tinggal di sini, dan majoriti daripadanya adalah yang sudah berusia.

Ketika kami ke sini, cuaca bermusim sejuk. Pada musim sejuk, kebanyakkan penduduk di kampung ini berpindah ke tempat yang lain kerana pada musim sejuk, suhu di sini boleh mencapai tahap sejuk yang teruk manakala pada musim panas ia bersuhu nyaman. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Ini antara faktor perkampungan ini jadi lebih unik untuk dilawati.

Jadi, jika anda merancang untuk ke sini pada musim sejuk pastikan kelengkapan pakaian musim sejuk anda sebaiknya. Tiupan angin di kaki gunung boleh bikin rasa tulang membeku dari dalam. Ini baru betul-betul cool!

Menurut apa yang telah terukir dalam sejarah, perkampungan ini asalnya merupakan tempat pelarian pada abad ke 7 dahulu. Rumah di perkampungan ini dibina dengan bata lumpur, rekabentuknya pula berupa senibina yang digunapakai pada zaman Purba Parsi. Hasilnya, seolah-olah anda dicampak semula kembali ke zaman silam.

Suasana di perkampungan ini sangat damai, anda boleh berjalan-jalan sambil menghayati setiap keunikan yang terdapat di sini tanpa rasa jemu. Meskipun ia merupakan perkampungan purba, tapi jangan risau. Di sini juga terdapat kedai untuk anda berhenti minum kopi atau membeli beberapa kraf tangan hasil seni orang tempatan. Boleh lah buat cenderahati bawa pulang ke Malaysia nanti.

Mereka di sini masih lagi mengekalkan budaya yang diwarisi sejak turun-temurun, orang tempatan di sini juga sangat ramah dan mengalu-alukan kedatangan pelancong buat anda rasa mahu tinggal terus di kampungan aman ini. Kalau mahu luangkan masa lebih lama, di sini juga terdapat hotel untuk anda menginap. Boleh la rasa makanan tradisional orang Parsi yang sedap-sedap.

Melihat keseluruhan perkampungan Abyaneh dari jauh, anda boleh berjalan memanjat kaki gunung sekitar dalam masa 20 minit. Memang lawa betul, tak puas mata memandang. Oh ya, di atas kaki gunung ini terdapat satu lagi tempat yang dianggap suci oleh penduduk kampung di sini. Banyak rahsia sejarah yang ada di perkampungan Abyaneh yang mesti anda teroka sendiri.

Semenjak AirAsia membuka kembali penerbangan ke Tehran dengan harga serendah RM600+ pergi dan balik, saya rasa ini peluang anda untuk jejak kaki ke sini. Masih mencari destinasi gempak untuk travel pada tahun hadapan? Jangan buang masa, kami cadangkan anda terbang terus ke Iran. Kredit kepada jurugambar hebat Ariff Sopian untuk gambar-gambar awesome di atas!

Serius, perkampungan Abyaneh buat anda rasa mahu melompat sebaik sahaja jejak kaki ke sini.