Nota Editor : Kisah benar ini telah dikongsikan di Facebook Group Autisme Malaysia oleh Ustaz Haidar Mahmud. Kami kongsikan semula di sini dengan izin dari penulis asal dengan harapan ia turut memberi manfaat dan pengajaran kepada kita. Benarlah, di sebalik kekurangan itu terselit suatu kelebihan yang tidak dimiliki oleh ramai manusia normal.

kanak-kanak-autisma-2

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Assalamualaikum dan salam sejahtera warga AM sekalian. Ini kisah saya dan seorang anak yang sangat istimewa. Istimewa di mata saya , istimewa di sisi tuhan.

Kisahnya bermula begini.

Januari 2015

Sesi persekolahan 2015 baru bermula. Saya memulakan tugas bagi tahun yang kedua di sebuah sekolah yang berkonsepkan aliran tahfiz dan akademik. Hari ini pelajar baru datang mendaftarkan diri bersama ibu bapa masing-masing. Sedang saya melihat dan membantu tugas pendaftaran. Mata saya tertumpu pada seorang pelajar yang sedang duduk di dalam dewan taklimat. Dari pemerhatian saya pada tingkah laku dan reaksi muka pelajar itu, saya dapat rasakan ada sesuatu yang lain pada diri pelajar tersebut.

Pertengahan Januari 2015

Ternyata telahan saya betul.petang itu, saya telah menerima sekeping kertas yang disampaikan kepada saya melalui seorang pelajar. Saya membukanya lalu terus melihat dan membaca. Surat akuan pelajar OKU. Surat yang mengesahkan bahawa pelajar tersebut menghidap penyakit autisme.Pihak sekolah juga baru maklum mengenai perkara ini.Timbul pertanyaan dan tanggapan yang pelbagai di kalangan kami guru-guru yang baru tahu mengenai hal ini. Bagaimana dia boleh lepas ujian kemasukkan? Dia tidak membahayakan orang lain kah? Boleh kah dia belajar di sini? Dan pelbagai lagi persoalan yang timbul.

Semenjak hari itu, saya mula memberi sedikit perhatian pada pelajar tersebut. Saya turut menasihatkan pelajar lain agar tidak mengganggu atau bergurau berlebihan dengan beliau. Adakalanya saya datang melihat beliau ketika waktu prep. Saya perasan pelajar-pelajar lain suka mengusik beliau dengan memanggil manggil nama beliau tanpa sebarang tujuan.

Namun,apa yang melegakan hati saya adalah ketika melihat dia begitu gembira bermain badminton di waktu petang bersama rakannya yang lain. Walaupun pukulannya tidaklah begitu betul namun jelas terlihat keseronokan di wajahnya.

kanak-kanak-autisma

25 Februari 2015

Saya telah dipanggil untuk bersama guru kelas yang lain bagi membincangkan status pelajar yang telah lulus untuk memasuki kelas hafalan al-quran.Dari 7 orang pelajar,5 orang telah lulus. Salah seorang daripadanya adalah pelajar tersebut. Saya masih hairan dan tertanya tanya bagaimana pelajar ini membaca quran. Ini kerana sewaktu ujian al quran, saya tiada di sekolah.

Oleh kerana kelas saya agak ramai pelajar berbanding kelas yang lain, maka guru guru lain terlebih dahulu memilih pelajar untuk masuk ke kelas mereka. Sampai kepada giliran pelajar ini, seorang guru telah dicadangkan untuk mengambil pelajar ini memasuki kelas beliau. Namun ditolak dengan lembut kerana khuatir tidak mampu membawa pelajar ini dengan baik. Lalu saya tergerak hati untuk tawarkan diri mengambil pelajar ini memasuki kelas saya.

Di dalam kelas, beliau hanya duduk di kerusi dan menghadap alquran di depannya. Tidak banyak bercakap dan suaranya juga agak perlahan. Saya memberitahunya untuk menghafal juzuk 30. Jika sudah hafal,esok boleh baca dengan saya.

26 Februari 2015

Seperti kebiasaan di waktu pagi, saya akan memasuki kelas seawal jam 7 pagi dan menunggu pelajar datang kepada saya untuk membaca hafalan yang telah dihafal pada malam tadi. Setelah beberapa orang pelajar membaca dengan saya, saya memanggil pelajar tersebut untuk membaca hafalannya jika dia sudah sedia. Tiada sebarang respon. Saya menganggap mungkin dia belum hafal, maklumlah baru sahaja masuk ke kelas tahfiz.

Selepas rehat. Pelajar-pelajar saya sudah kurang bersemangat untuk mengulang bacaan. Semuanya kelihatan letih kerana mereka berpuasa pada hari ini. Puasa sunat khamis. Setelah menunggu agak lama, saya memanggil pelajar istimewa ini untuk duduk di tepi saya. Saya bertanya sudah hafal ke? Dia menjawab sesuatu namun saya tidak dapat menangkap butir bicaranya kerana terlalu perlahan.

Lalu saya terus menyuruh dia membaca surah an-naba’. Surah pertama juzuk 30. Dia pun memulakan bacaannya tanpa melihat mushaf al quran di depan saya. Satu muka dia selesai baca. Boleh tahan kata hati saya. Muka surat kedua, dia telah selesai membaca surah an-naba’ secara hafalan. Hebat juga. Saya sangkakan dia hanya menghafal satu surah tersebut, ternyata saya silap. Pelajar ini meneruskan hafalannya dengan membaca surah an-naaziat . Saya mengambil keputusan untuk melihat dan membiarkannya meneruskan bacaan hafalannya. Dari satu surah ke satu surah, dia dapat menyambung dan meneruskan bacaannya dengan penun lancar. Sangat sedikit kesalahan bacaannya. Saya kira tidak lebih dari lima. Ada ketikanya dia tersangkut pada satu ayat, hati saya berkata mungkin sampai surah ini sahaja dia hafal. Sekali lagi telahan saya meleset. Dia membetulkan semula bacaannya dan meneruskan kembali hafalannya.

Waktu itu, pelajar lain sudah mula melihat-lihat ke arah beliau. Mungkin kerana mereka tertanya-tanya kenapa lama sangat atau mereka melihat reaksi saya yang tertunduk tunduk rapat ke mulut pelajar ini untuk mendengar bacaannya yang agak perlahan.

Di saat beliau membaca ayat terakhir dari surah an-nas, surah terakhir juzuk 30. Mata saya sudah mula berkaca kaca. Secara spontan saya terus mengambil tangannya lalu saya salam dan mencium tangan beliau. Hari ini perasaan saya bercampur campur. Gembira,teruja sedih dan insaf. Pelajar istimewa ini telah mengajar saya satu pengajaran hidup yang sangat bermakna. Jangan pernah sesekali kita menghina dan merendahkan seseorang kerana sifat luarannya, kerana kemungkinan insan yang kita hina itu amat istimewa dan mulia di sisi tuhan.

Saya membuka helaian juzuk 29. Saya kata pada beliau. Esok boleh mula hafal juzuk 29. Tanpa dipinta, beliau mula membaca surah al-mulk seperti sudah dihafalnya. Bertambah terkejut saya. Sudah hafal juzuk 29 juga ke? Saya memberhentikan bacaannya dan berkata.” Esok, insyaAllah.”

Like page The Vocket di Facebook untuk lebih banyak kisah menarik dan terkini.