Bangladesh merupakan sebuah negara yang sangat padat dengan penduduk menjadikan negara ini berada di tangga ke-5 populasi penduduk terbanyak di Asia dan tempat ke-8 di dunia. Kebanyakkan kanak-kanak di negara tersebut tidak menerima nasib yang baik seperti di negara kita kerana mereka terpaksa menjadi buruh kanak-kanak kerana faktor kemiskinan keluarga.

Melalui perkongsian seorang jurugambar dari Bangladesh yang dikenali sebagai G.M.B Akash di laman Instagram, beliau bercerita tentang realiti hidup kanak-kanak di Bangladesh yang dunia tidak tahu. Kanak-kanak ini terlibat dalam sektor pekerjaan berat dan dapat dilihat di kawasan kilang, tapak perlombongan arang batu dan tapak perlupusan sampah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Namun gaji yang mereka perolehi langsung tidak setimpal dengan jumlah kerja yang mereka lakukan setiap hari. Kanak-kanak ini menerima bayaran sekitar 400 Taka (±RM20) hingga 700 Taka (±RM35) sahaja sebulan. Sebagai contoh, gambar berikut menunjukkan seorang kanak-kanak yang bekerja menjahit baju kanak-kanak dengan upah USD1 atau 84 Taka (±RM4.20) untuk 10 jam bekerja.

Disebabkan kesempitan hidup, kanak-kanak lelaki malang ini tidak berpeluang untuk bersekolah dan terpaksa membanting tulang dari usia yang amat muda demi mencari nafkah buat keluarga.

GMB Akash mengambil inisiatif dengan mengumpul dana melalui First Light Institute Photography untuk menampung keperluan pelajaran anak-anak ini.

Kesemua koleksi gambar mengenai kehidupan warga kota Bangladesh boleh didapati di dalam buku ‘Survivor’ hasil karya GMB Akash untuk membuka mata dunia mengenai kehidupan di negara tersebut. Bersyukurlah di Malaysia kebanyakkan anak-anak kita masih mampu untuk ke sekolah dan tidak perlu melalui kepahitan hidup seperti kanak-kanak di Bangladesh ini.