Pada penghujung tahun lepas, sekumpulan anak muda telah menganjurkan Karnival Geng Masjid di Masjid Puncak Alam, Selangor. Ia memberi alternatif kepada masyarakat untuk melakukan aktiviti-aktiviti menarik di masjid sebelum sambutan Tahun Baru.

IMG_4797

Kurang dari tempoh 6 bulan selepas event itu, mereka sekali lagi bergabung tenaga mengadakan Karnival Geng Masjid kedua sempena cuti sekolah pada hujung minggu ini di Masjid Kota Damansara dari 11 hingga 13 Mac 2016. Ia menarik perhatian saya untuk mengenali lebih dekat tim anak muda ini.

Kebetulan sewaktu saya menemubual Ayi Dizon untuk artikel ‘Bagaimana Pemuda Ini Cipta Lagu ‘Mira Filzah’ Hanya Menggunakan Aplikasi Telefon Pintar‘, dia memberikan nombor telefon Ashraf Alam kepada saya.

Ashraf Alam merupakan rakan kerjasama untuk klip video Ayi Dizon dan Mira Filzah di bawah syarikat 114studios. Dia juga merupakan pengasas bersama untuk Karnival Geng Masjid ini. Maka, saya mengambil peluang ini untuk menemubualnya berkenaan Geng Masjid.

1. Siapakah yang memulakan Geng Masjid?

IMG_4660

Idea asal Geng Masjid adalah gabungan saya Ashraf dan sahabat saya Mahmud Fahrurrazi. Kemudian kami disertai oleh 7 lagi anak muda iaitu Amirul, Syaifuddin, Nasrul, Basyir, Tijah, Mariah dan Ezaura.

Buat pengetahuan anda, kami 9 orang ini datang dari pelbagai latar belakang. Kami bertemu dan memberi komitmen yang tinggi untuk menjayakan Geng Masjid. Malah ada yang mengeluarkan duit sendiri dengan niat ini sedekah kepada kejayaan sebuah program agama.

Kami ada impian untuk buat satu karnival Islam yang dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat. Walaupun karnival Islam sudah wujud sebelum ini namun kami ingin menambah kemeriahan ini dengan sedikit suntikan moden.

2. Bolehkah jelaskan apakah maksud suntikan moden yang mahu diketengahkan oleh Geng Masjid?

IMG_4327

Suntikan moden yang kami cuba bawa ke perkarangan Masjid adalah tentang perbincangan isu semasa ketika Forum. Ustaz atau penceramah yang dijemput akan diberikan tajuk yang lebih dekat dengan permasalahan masyarakat ketika ini.

Dengan huraian yang mudah dan santai kami harap ia dapat menarik minat remaja dan orang luar mendekati masjid. Selain itu, terdapat elemen baru yang di bawa oleh Geng Masjid di mana para ustaz bersama-sama datang ke masjid untuk beriadah bersama jemaah. Antaranya, bermain futsal, mengayuh basikal dan aktiviti memanah.

InsyaAllah Geng Masjid akan cuba membawa aktiviti berkuda untuk menjadi satu aktiviti zaman lampau yang dimodenkan semula untuk generasi sekarang. Malah kelas-kelas ilmu yang melibatkan kemahiran juga akan diadakan seperti bengkel Photoshop yang bertujuan memupuk minat anak muda menjadi lebih kreatif.

Kami memilih untuk mengajar Photoshop kerana ia adalah satu kemahiran yang sangat penting pada zaman sekarang untuk membantu memberi kualiti kepada penerbitan grafik-grafik Islamik yang kreatif dan bermanfaat.

3. Apakah terdapat kerjasama antara Geng Masjid dan pihak lain?

IMG_4895

Pada mulanya kerjasama kami bersama Usrah Imam Muda dan Masjid Puncak Alam untuk Geng Masjid pertama. Kebetulan kami memang berada dalam kumpulan Usrah dan kami berniat untuk membuat satu aktiviti bersama-sama.

Apabila kami mencari lokasi yang baru untuk Geng Masjid kedua, alhamdulillah pihak Masjid Kota Damansara berbesar hati menerima kertas kerja dan kunjungan kami semua untuk sambungan projek tahun baru.

4. Apakah yang mendorong kewujudan Geng Masjid?

IMG_4257

Penganjuran Geng Masjid ini pertama sekali adalah untuk kami merasakan nikmat ukhuwah bersama sahabat. Alhamdulillah, bila kami mula hebahkan kepada rakan-rakan, ramai yang bagi sokongan untuk bersama-sama menjayakannya.

Kedua, kami bersemangat untuk melakukannya kerana mendapat sokongan dan kerjasama dari pihak pengurusan masjid dan pihak-pihak terlibat walaupun kami hanya ada 2 minggu untuk menguruskan Geng Masjid pertama.

Ketiga, karnival di masjid boleh mengubah sesetengah tanggapan masyarakat. Kami mahu masyarakat tahu bukan hanya orang baik dan beragama sahaja boleh lepak santai di Masjid. Ini kerana mereka yang diamanahkan menjaga institusi Masjid setiap hari menunggu kehadiran masyarakat dari semua latarbelakang.

Pada kami, sesiapa sahaja adalah Daie dan wajib untuk menyampaikan agama walau satu ayat, gunalah pelbagai cara sekalipun tapi jangan sampai melanggar syariah agama. Moga-moga kita ada sedikit simpanan untuk bekal di sana.

Itulah antara penyebab yang memberi kami inspirasi dan kekuatan untuk merealisasikan hasrat kecil kami ini.

5. Geng Masjid yang akan dibuat pada 11 Mac ini merupakan event kali kedua. Boleh terangkan kepada kami tentang perkara ini?

IMG_4920

Kami 9 orang sebenarnya sangat gembira kerana percubaan kali pertama berjaya dan pihak Masjid sangat berterima kasih dengan kerjasama yang telah dijalankan.

Tambahan pula selebriti dan jemputan juga banyak memberi bantuan. Ada di antara mereka tidak mengambil bayaran atas penglibatan dalam karnival.

Kami hanya membuka tapak sehari sahaja pada 31 Disember tahun lepas dan alhamdulillah, peniaga banyak berpuas hati kerana kami cuba sedaya upaya untuk menghebahkan karnival ini.

IMG_4324

IMG_4177

Walaupun pada waktu itu kami tidak mempunyai dana atau tajaan dari mana-mana pihak, alhamdulillah kami berjaya melakukan yang sehabis terbaik untuk Geng Masjid. Segala cabaran itu kami anggap ia sebagai satu cabaran untuk menguatkan lagi semangat kami.

Jadi, kami mahu teruskan usaha ini dengan harapan kami akan bergerak ke setiap masjid dalam sebulan sekali.

6. Apakah program yang akan ada di Geng Masjid 2.0 ini? Adakah ia sama seperti tahun lepas?

IMG_4439

Geng Masjid 2.0 ini adalah satu percubaan baru kami kerana ia berlangsung selama 3 hari. Kami telah menyusun jadual yang padat untuk para pengunjung yang akan hadir ke Masjid Kota Damansara. Geng Masjid bermula pada hari Jumaat ini dan tamat pada hari Ahad.

Antara aktiviti yang ada ialah Forum Dhuha, Solat Dhuha Perdana, pertandingan memasak, derma darah, Ceramah Perdana, street soccer, mewarna, memanah, Fun Ride bersama jemaah masjid, Santai Selebriti dan Konsert Islam pada kemuncak 12 Mac Sabtu ini.

7. Siapakah para jemputan yang akan hadir memeriahkan Geng Masjid?

IMG_4274

Antara 27 jemputan hebat yang kami panggil mengikut 3 hari aturcara ialah, Fara Fauzana, Heliza Helmi, Ustaz Asyraf, Ustaz Nazrul, Ustaz Fakhrul, Ustaz Jay, Ustaz Aran, Ustaz Dr. Izhar Ariff, Ustaz Shahrizan Daud, Ustaz Nasir, Ustaz Fattah, Ustaz Megat, Ustaz Najdi, Daie Luqman, Ustaz Hafiz, Ustaz Faris, Ustaz Muhadir Joll, Ustaz Azhar Ghazali, Noorkhiriah, Syifa Melvin, Adiela Ridzuan, Hafiz Hamidun, InTeam, Ammar Hamdan, Bell Ngasri, Encik Mimpi dan Dr. Nik Salida.

8. Bagaimana pula aktiviti yang melibatkan kanak-kanak?

IMG_4504

Untuk kanak-kanak, kami percaya melukis dan mewarna adalah satu aktiviti yang dinanti-nantikan. Jadi kami ada sediakan satu waktu yang panjang untuk aktiviti ini beserta kemunculan superhero.

Kita akan membawa dua watak superhero yang popular untuk menghiburkan kanak-kanak selepas pertandingan mewarna pada hari kedua karnival.

Idea memanggil superhero ini tercetus apabila kami nampak ia bakal memberi satu pembaharuan dalam karnival islamik. Secara tak langsung membantu bisnes orang Islam yang menyediakan servis ini.

9. Apakah harapan Geng Masjid dalam menjayakan event ini?

IMG_4387

Tentu sekali matlamat besar dalam penganjuran Karnival Geng Masjid ini adalah untuk menjadikan Masjid sebagai lokasi untuk segala aktiviti berfaedah. Kita mahu orang suka kepada Masjid dan datang tidak kira masa. Masjid ini boleh jadi sebagai tempat beriadah, berehat dan beribadat.

Manfaat utama daripada program ini tentu sekali Imarahnya. Apabila ia menjadi lokasi yang seronok untuk dikunjungi, pasti fungsinya akan kian bertambah dan kemeriahan sesebuah Masjid itu akan bercambah.

10. Apakah pelan masa depan Geng Masjid?

IMG_4907

Bukan niat kami untuk mengubah apa yang Masjid telah lakukan selama ini tapi niat kami nak bersama-sama Jemaah Masjid memberi peluang kepada generasi baru ini memahami fungsi Masjid sebenar dan tidak berasa kekok untuk hadirkan diri.

Teringat seorang Nazir pernah berkata “kalau nak harapkan kami buat, tak tahu bila..” Itulah antara ayat yang menyemarakkan lagi semangat kami untuk membantu.

Akhir sekali, kami juga berharap akan ada sumbangan dan kerjasama dari pelbagai pihak yang merasakan ini satu tanggungjawab sosial dan menyokong apa yang diusahakan oleh 9 jiwa muda ini.

Tonton temubual Ashraf Alam di RTM berkenaan Geng Masjid: