Adakah anda dapat bayangkan hidup anda terancam kerana alat permainan dan orang yang anda sayang bakal dibunuh oleh alat permainan tersebut? Child’s Play merupakan filem reboot Child’s Play tahun 1988 dan pastinya filem reboot kali ini boleh dikatakan berjaya mengetengahkan jalan cerita yang lebih masuk akal berbanding filem sebelum ini.

Sedikit sinopsis filem Child’s Play ini adalah Chucky merupakan robot anak patung Andy yang dihadiahkan oleh ibunya. Akan tetapi, Chucky yang menjadi sahabat kepada Andy bersikap terlalu over-protective dan jika dia tidak boleh menjadi kawan Andy, tiada siapa yang boleh.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kami tidak mahu membuat ulasan panjang tentang filem Child’s Play ini kerana kami rasakan ianya lebih baik jika kami hanya sekadar bercerita tentang pengalaman kami menonton filem ini dan menyentuh hanya beberapa aspek dalam filem ini sahaja. Jangan risau, tiada spoiler yang akan dicampak dalam penulisan ini.

Filem Child’s Play ini digarap dengan sangat rapi dan padat dengan penceritaan sehingga anda berasa tidak puas menonton berikutan masanya yang sekejap iaitu 1 jam 30 minit sahaja. Plot filem ini dari sebelum Chucky berubah menjadi alat permainan yang membunuh dan pengakhiran filem ini disusun dengan baik. Malah, filem ini tidaklah terlalu penuh dengan adegan pembunuhan tetapi turut menyelitkan humor yang just nice sepanjang filem ini.

Malah, watak Chucky yang bertukar menjadi alat permainan pembunuh ini sedikit sebanyak dipengaruhi daripada apa yang dilihat dan dilakukan oleh Andy. Antara kemahiran yang dipelajari Chucky adalah melalui filem Texas Chainsaw Massacre apabila beliau menyebut “This is for Tupac” ketika menikam mangsa. Jadi di sini, terselit pengajaran bahawa apa yang anak-anak tonton di television jika tidak dikawal boleh membentuk peribadi anak anda sendiri.

CP

Bagi kami, filem ini berada dalam kelas seramnya tersendiri. Dalam babak-babak pembunuhan yang dilakukan sedikit sebanyak membuatkan kami berasa ngeri seperti menonton babak dalam filem Final Destination. Jika anda seorang yang penakut, anda digalakkan membawa teman untuk menonton kerana ketakutan anda mungkin boleh dapat dikurangkan jika berteman.

Kemajuan teknologi dalam filem ini dapat dilihat apabila Chucky mampu mengawal peralatan eletronik dan alat permainan yang lain. Motif pembunuhan Chucky ini berbeza dengan motif pembunuhan filem terdahulu apabila motif pembunuhannya adalah untuk menjadi satu-satunya kawan Andy.

Jika dibandingkan penampilan Chucky dengan filem terdahulu, Chucky sekarang berterampilan sangat comel dan tidak menakutkan. Akan tetapi, yang menjadikannya menakutkan adalah perbuatannya.

Kami memberikan rating 7.5/10 bintang untuk filem ini dan jalan cerita yang dipersembahkan adalah menarik tetapi masih lagi ada kurangnya dari segi gaya pembunuhan yang tidak terlalu kejam. Jadi, anda harus menonton Child’s Play di pawagam dan melihat sendiri dimana kurangnya.