Ramadhan semakin tiba ke penghujungnya dan Syawal bakal diraikan dan seperti kebiasaannya apabila tiba musim perayaan Aidilfitri, warga di kota dan bandar akan berpusu-pusu pulang ke desa kampung halaman masing-masing.

Seperti kelaziman juga, jumlah kenderaan di jalan raya akan membuatkan bertambah sesak dan padat trafik terutama sehari dua sebelum Hari Raya.

Sudah menjadi lumrah juga apabila setiap kali tibanya musim perayaan kita akan disajikan berita-berita kemalangan jalan raya yang tragis serta menyayat hati.

Fenomena ini membimbangkan dan seringkali bermain dalam fikiran kita semua: adakah jalan raya di negara ini masih selamat digunakan terutamanya pada musim perayaan?

Aduhai, bayangkan ketika kita sedang gembira menyambut Syawal bersama keluarga tersayang, menikmati juadah enak seperti ketupat, lemang, dodol dan sebagainya, tiba-tiba kita disajikan dengan berita tragedi kemalangan jalan raya.

Sampai bila kita hendak biarkan kemalangan jalan raya menjadi pembunuh nombor satu di negara ini? Siapa yang harus dipersalahkan? Apakah faktor keadaan jalan raya, atau kenderaan, atau sikap kita sendiri semasa memandu menjadi punca?

Saban tahun pelbagai kempen dan iklan mengenai kepentingan keselamatan termasuk penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa, namun kemalangan maut tetap berlaku. Dimanakah silapnya?

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menyatakan sepanjang tahun 2016 sebanyak 82 peratus kemalangan maut berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.

Menurut Miros lagi, kebanyakan kemalangan yang berlaku bukan disebabkan keadaan jalan raya, sebaliknya berpunca daripada sikap dan emosi pemandu sekaligus mempengaruhi gaya pemanduan.

Antaranya, sikap tidak sabar pemandu yang ingin cepat sampai ke destinasi. Sikap tidak sabar dan memandu secara emosional boleh mendatangkan pelbagai keburukan.

Kesesakan jalan raya yang berlaku juga dilihat boleh membangkitkan perasaan marah dan stres sekiranya tidak ditangani dengan betul. Sebagai pengguna jalan raya kita perlu bijak mengawal emosi dan merancang perjalanan lebih awal.

Kegagalan mengawal psikologi diri menjadikan diri mudah marah dan cenderung bertindak agresif seperti memandu laju, memotong barisan, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat dan banyak lagi semata-mata untuk cepat sampai ke destinasi.

Antara panduan untuk kawal emosi anda ketika memandu di musim perayaan:

1. Rancang perjalanan anda dan cuba cari jalan/laluan alternatif yang tidak sesak untuk sampai ke destinasi. Pemanduan yang lancar akan membantu mengurangkan tekanan emosi. Biar lambat asalkan selamat.

2. Pastikan badan anda mendapat rehat secukupnya. Lebih-lebih lagi selepas berbuka puasa. Perut kenyang, mata pun makin berat. Mulakan perjalanan apabila tubuh berasa segar dan bersedia memandu.

3. Jangan memandu jika letih dan mengantuk. Apabila berasa penat memandu, sila berhenti dan keluar dari kereta. Lakukan senaman ringan untuk menyegarkan badan.

4. Sentiasa berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R). Jika perlu dapatkan secawan kopi atau teh tarik. Pastinya ia membuatkan anda lebih segar. Lakukan sedikit senaman dan regangan otot untuk hilangkan mengantuk.

5. Bagi perjalanan jarak jauh, gunakan masa yang ada untuk berborak/berbual dengan keluarga terutamanya dengan anak-anak. Jadikan memandu itu satu aktiviti yang menyeronokkan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.

6. Dengar saluran radio kegemaran atau muzik pilihan anda. Rentak lagu yang rancak dan perlahan mampu memperbaiki mood, menstabilkan emosi serta mengurangkan tekanan. Bagi yang ada anak, ajaklah mereka menyanyi bersama-sama.

7. Pastikan segala urusan berkaitan tugasan pejabat telah diselesaikan terlebih dahulu supaya anda dapat memandu dalam keadaan yang tenang.

8. Patuhi Jadual Pemanduan yang telah dikeluarkan oleh pengendali lebuhraya bagi mengelakkan kesesakan dan patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

9. Sentiasalah ingat insan atau ahli keluarga tersayang seperti ibu-bapa setiap kali kita memandu terutama ketika musim perayaan.

10. Tanam dan pupuk sifat kesabaran dan toleransi dalam diri kita agar menjadi contoh kepada orang lain terutamanya di kalangan kanak-kanak. Pemanduan yang agresif dan berbahaya turut akan memberikan kesan psikologi yang tidak baik kepada anak-anak.

Semua pengguna jalan raya perlu sedar, kesesakan yang berlaku ketika musim perayaan ini turut dihadapi oleh pengguna jalan raya yang lain.

Sekiranya anda mahu guna lorong kecemasan atau memotong barisan agar lebih cepat sampai, ketahuilah ia tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan itu. Ia akan menimbulkan masalah yang lebih besar.

Ingat, apabila kita berada di jalan raya, kita semua sama sahaja tanpa mengira status mahupun kedudukan. Kita semua memandu dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk sampai ke destinasi dengan selamat.

Pandu Cermat Jiwa Selamat.