Berniaga. Kaya itu mulia.

Masih saya teringat kata-kata imam Masjid Sendai seusai solat Jumaat baru-baru ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Isma, we have to think how to expand our masjid.”

Beliau berkata demikian disebabkan Masjid Sendai boleh digambarkan ‘overloaded’ kerana tarikh 29 April yang lalu merupakan permulaan cuti ‘Golden Week’ di Jepun. Kebetulan juga jatuh pada hari Jumaat.

Oleh itu, seperti biasa di mana-mana tempat apabila cuti umum pada hari Jumaat, sudah menjadi kebiasaan masjid juga akan dipenuhi dengan jemaah yang datang dari pelbagai negara untuk bersolat Jumaat.

Khatib membaca khutbah kali ini adalah warga Pakistan. Beliau merupakan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan membeli dan memasarkan kereta dari Jepun ke luar negara. Beliau juga selalu menjadi imam rawatib di masjid kami.

Di Jepun ini, urusan keagamaan termasuklah pembelian tanah dan membangunkan sesebuah masjid adalah daripada sumbangan individu atau komuniti di tempat tersebut. Tiada langsung peruntukan dari kerajaan Jepun kerana agama dianggap sebagai keperluan individu.

Semenjak dilantik sebagai salah seorang wakil warga Malaysia di Masjid Sendai, banyak kisah suka duka dan mehnah serta tribulasi yang saya dengar dalam merealisasikan impian membina sebuah masjid di sini.

Sudah tentu saya memerlukan seorang ‘translator’ kerana selalu juga secara tiba-tiba sesi perbincangan bertukar daripada saluran ‘English’ ke ‘Japanese’.

Berdasarkan pemerhatian saya selama 1 1/2 tahun, kebanyakan golongan usahawan khususnya dari Pakistan dan Bangladesh yang banyak memberikan sumbangan dalam membangunkan dan meneruskan kelangsungan masjid di sini.

Ada sebuah lagi masjid di Kurokawa-gun yang terletak di daerah Ohiramura juga diusahakan oleh usahawan Pakistan. Namun, masjid ini agak jauh hampir 1 jam perjalanan dari tempat kami.

Anak-anak saya selalu bercerita keenakan kari kambing dan roti nan yang dijamu oleh keluarga usahawan Pakistan ini sewaktu kami singgah solat di situ pada tahun lalu.

Saya dan isteri begitu tersentuh dengan layanan yang diberikan kepada kami. Jika tidak, mana mungkin layanan mesra dan keenakan kari kambing masih segar dan terasa lembab di hati kami sekeluarga.

Penulis, Isma Addi Jumbri (berbaju hijau) bersama-sama rakan-rakan dari Malaysia dan Pakistan.
Penulis, Isma Addi Jumbri bersama-sama rakan-rakan dari Malaysia dan Pakistan.

Apabila melihat usahawan-usahawan Pakistan ini, saya lebih memahami doa dan kata-kata Saidina Abu Bakar R.A. iaitu, “Ya Allah, jadikan dunia di tangan kami, bukan di hati kami.” Mereka memiliki kekayaan dunia, tapi di hati mereka dipenuhi dengan kecintaan pada akhirat.

Kebetulan, khutbah kali ini turut menyentuh perihal zakat. Saya yakin, pastinya juga golongan usahawan-usahawan Pakistan dan Bangladesh inilah yang banyak mengeluarkan zakat kerana mereka juga memiliki premis perniagaan di Jepun. Saya boleh gambarkan mereka ini sebagai ‘orang luar yang kaya’ di bumi Nihon ini.

Sebelum berhijrah ke Jepun, selalu saya dengar kata-kata ‘Kaya Itu Mulia’. Namun, di Jepun ini saya lebih memahami kata-kata tersebut.

Alangkah beruntungnya jika kita kaya harta, dan dalam masa yang sama hati kita kaya dan dipenuhi dengan cita-cita menuju ke akhirat. Atas sebab itu, usah malu memasang impian untuk jadi kaya dengan berniaga.

Barangkali tidak keterlaluan untuk saya katakan cara terbukti untuk memiliki harta kekayaan adalah dengan berniaga atau menjadi usahawan.

Jika kita lihat sekarang, kebanyakan golongan hartawan yang dikenali majoriti merupakan ahli perniagaan. Begitu juga sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W. seperti Uthman bin Affan R.A., Abdul Rahman bin Auf R.A. dan ramai lagi merupakan peniaga yang berstatus ‘multi-billionaire’.

Bahkan, Rasullulah S.A.W. juga merupakan ahli perniagaan yang kaya. Sewaktu usia Baginda 25 tahun, Baginda telah mempunyai kekayaan yang melimpah.

Jika tidak, mana mungkin ada riwayat yang menyatakan Baginda memberikan mas kahwin kepada Saidatina Khadijah R.A. sebanyak 500 dirham (Sahih Muslim Juz 1 halaman 597).

Telah diceritakan hadis pada kami Abdul Aziz dari Yazid dari Muhammad dari Ibrahim dari Abi Salamah dari Abdur Rahman bahawa sesungguhnya dia berkata: Saya telah bertanya kepada Aisyah isteri Rasulullah S.A.W., berapa jumlah mahar Rasulullah S.A.W? Aisyah berkata: “Mahar Rasulullah S.A.W. kepada para isteri beliau adalah 12 auqiyah dan satu nasy”. Aisyah berkata: “Tahukah engkau apakah nasy itu?” Abdur Rahman berkata: Aku berkata: “Tidak!” Aisyah berkata: “Setengah auqiyah. Jadi semuanya 500 dirham”. Inilah mahar Rasulullah S.A.W. kepada para isteri beliau.

Ada juga riwayat yang menyatakan Baginda memberikan 20 ekor unta merah (unta terbaik dan termahal) sebagai mahar buat Saidatina Khadijah R.A. Namun, saya sendiri masih mencari hadis sahih berkaitan riwayat ini.

MasyaAllah, Subahanallah! Jika dilihat nilai 500 dirham dan 20 ekor unta merah pada masa ini, Baginda merupakan seorang jutawan sebelum dilantik sebagai Rasul.

Benarlah apa yang dikata, kita selalu mendengar dan didedahkan cerita selepas kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. Namun, kita jarang mendengar mahupun mendalami cerita empayar perniagaan Baginda S.A.W. sebelum dilantik menjadi Rasul.

Baginda seorang yang kaya sebelum berkahwin dengan Siti Khadijah R.A. Bahkan, kekayaan Baginda berganda-ganda selepas menikahi Khadijah R.A. yang juga ahli perniagaan tersohor.

Namun, Nabi S.A.W. dan isterinya Siti Khadijah R.A. banyak menghabiskan harta ke jalan dakwah.

Sesungguhnya benarlah apa yang dikatakan ‘Kaya Itu Mulia’ jika kita berazam untuk mencari kaya di sisiNya.

Bersamalah juga kita hayati bait-bait kata dan doa Saidina Abu Bakar R.A. iaitu “Ya Allah, jadikan dunia di tangan kami, bukan di hati kami.”

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

BACA: Lelaki Jepun Kongsi Bagaimana Muslim Dapat Jadi Lebih Dihormati Oleh Warga Jepun