Sudah bertahun-tahun isteri saya mengurus dan memandi jenazah perempuan. Secara purata 8 jenazah diurus mandi pada setiap bulan.

Soalan yang kerap saya tanya kepada isteri saya ialah:

  1. Muda atau tua
  2. Di mana (taman atau kampung)
  3. Sakit apa
  4. Mati bila
  5. Mati di mana
  6. Anak berapa orang
  7. Agak-agak berapa umur anak yang sulung

Semua ini menjadi penanda aras/bancian kepada saya apa punca mati, bagaimana si mati diurus jaga sebelum – selepas mati dan sikap waris kepada si mati.

Berdasarkan umur dan bilangan iaitu 8 orang yang mati dalam seminggu:

  1. Bawah 55-an hampir 70% mati kerana barah.
  2. Atas 56-an hampir 30% mati kerana kencing manis, buah pinggang, jantung, tua dan lain-lain.

90% keadaan jenazah yang mati di kampung terurus bersih kerana ada orang-orang tua tempatan yang selalu tunggu berada disisi si sakit hingga di saat mati, ada pengtahuan apa perlu dibuat ke atas jenazah sebaik sahaja mati dan kebetulan ada talian saudara.

60% keadaan jenazah yang mati warga taman di taman perumahan terbiar keseorangan, semua sendi tulang 4 kerat keras menyebabkan sukar semasa mandi, kurang terurus bersih.

Ini kerana tiada orang-orang tua sebaliknya majoriti warga taman generasi muda yang siang malam kerja, tidak ingat mati, renggang jiran, renggang surau/masjid, tidak pernah hadapi suasana kematian, tidak tahu nak buat apa ke atas jenazah sebaik berlaku kematian dan langsung tiada keperluan barangan asas untuk jenazah. Walaupun disuruh dan diminta, anak-anak takut nak urus mandi jenazah ibu bapa sendiri.

Sekarang ini telah ada waris “TIDAK SUKA” bawa balik, urus, mandi dan kapan jenazah di rumah. Mereka lebih suka segalanya dibuat di masjid atau sekiranya mati di hospital mereka lebih suka segalanya dibuat di hospital.

Lebih tragis ada waris melepas cakap “tidak mahu menyusah” rumah. Jadi mereka mahu semua urusan di hospital atau masjid/surau dan terus ke kubur.

Bagi jenazah yang sakit lama sebelum mati, jenazah ini lebih tidak terurus, berbau menyesak hidung, kulit mengelupas dan banyak luka.

Kesimpulannya:

  1. Keadaan jenazah memberi gambaran siapa warisnya.
  2. Ingat kembali bagaimana kita jaga urus ibubapa kita semasa mereka sakit dan bagaimana kita urus jenazah mereka sebaik saja mereka mati.
  3. Lebih tragis bagaimana anak-anak kita nanti akan jaga urus semasa kita sakit dan selepas kita digelar jenazah.
  4. Bacaan al-quran, solat, doa dan semuanya boleh diupah kerana anak-anak kita BERJAYA KAYA tapi HANYA DOA DARI ANAK YANG SOLEH diterima di sisi Allah SWT walaupun anak kita hanya seorang tukang sapu.

Nota: kisah sebenar sahabat dari JKKKK kampung sebelah