Baru-baru ini tular di media sosial dengan perkongsian keadaan semasa di New Zealand di mana penduduk di sana telah dapat berhimpun beramai-ramai tanpa perlu mengamalkan penjarakan sosial serta tidak memakai pelitup muka.

Pemilik ciapan tersebut, Tengku Zahaslan, 37 tahun telah memuat naik beberapa gambar serta video menunjukkan rakyat negara tersebut sedang berkelah bersama-sama ahli keluarga sambil menyaksikan persembahan dan menjelaskan ianya merupakan antara aktiviti kemasyarakatan yang terkenal di negara tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dengan keadaan pandemik yang sedang berlaku dan masih mencatatkan jangkitan yang tinggi di seluruh dunia, situasi dan gambar berkenaan sudah pastinya menimbulkan persoalan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

Mahu mengetahui apa sebenarnya yang ‘berlaku’ di New Zealand ketika ini, kami kemudiannya menghubungi beliau dan bertanyakan mengenai perkara itu.

Ketika dihubungi The Vocket, Tengku Zahaslan yang sedang menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Monash University menjelaskan situasi di New Zealand ketika ini berada di Peringkat 1 di mana mereka tidak diwajibkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

“Seluruh New Zealand sekarang di Peringkat 1 maksudnya sudah tiada penyebaran di kalangan masyarakat.

“Apabila berada di Peringkat 1, kerajaan tidak wajibkan penjarakan sosial dan pelitup muka, mereka hanya galakkan untuk menggunakan aplikasi pengesanan kenalan untuk COVID-19 apabila memasuki mana-mana premis,” jelas beliau.

Menurut beliau, sebenarnya mereka berada di Peringkat 1 sejak bulan Jun lagi tetapi disebabkan terdapat penyebaran COVID-19 di kalangan masyarakat pada bulan Ogos, rakyat New Zealand terpaksa berkurung serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Namun, selepas bulan September, negara tersebut berjaya kembali ke Peringkat 1 semula dan perkara tersebut berjaya dikekalkan sehinggalah sekarang.

Turut memberi komen mengenai keadaan semasa di New Zealand adalah Ahmad Hazwan Ramli yang baru sahaja menamatkan pengajian sedang bekerja di negara berkenaan ketika ini.

Beliau menjelaskan bahawa di tempat beliau iaitu Wellington, tiada kes baharu yang dicatatkan malah boleh dilihat setiap Ahad, majlis dibuat seperti biasa malah ada yang menjemput sehingga 300 tetamu.

“Konsert boleh dijalankan seperti biasa, anda juga boleh lihat ramai yang menganjurkan majlis setiap ahad dengan menjemput kira kira 300 orang.

“Jika dilihat di tempat saya, memang kami tidak laksanakan penjarakan sosial kerana tiada kes baharu dicatat di tempat saya iaitu di Wellington,” jelas beliau.

Semakan kami mendapati apabila berada di Peringkat 1 (Alert Level 1), pemakaian pelitup muka bagaimanapun masih mandatori kepada beberapa kumpulan.

Ini termasuklah orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam yang keluar masuk ke Auckland, pemandu perkhidmatan kenderaan seperti teksi dan e-hailing serta orang ramai yang menggunakan pesawat penumpang di seluruh New Zealand.

Hasil usaha kerajaan dan rakyat

Menjawab persoalan mengenai negara lain patut mencontohi keberkesanan negara New Zealand dalam menangani wabak COVID-19, Tengku Zahaslan menjelaskan bahawa perkara tersebut bukan mustahil untuk dicapai.

“Rasanya dah ada beberapa negara lain yang sudah pun jadi seperti New Zealand, jadi bagi saya perkara tersebut bukan mustahil.

“Selain daripada menutup sempadan, pihak kerajaan telah bertindak tegas sewaktu melaksanakan lockdown dan rakyat juga memberi kerjasama dengan mematuhi segala arahan jadi perkara ini merupakan usaha sama dari pihak kerajaan dan rakyat,” komen beliau sebelum mengakhiri perkongsiannya bersama kami.

Oleh sebab inisiatif pihak kerajaan dalam memutuskan rantaian COVID-19 serta rakyat yang patuh akan arahan yang diberi, kehidupan mereka sekarang diibaratkan seperti pre-covid (sebelum COVID-19) kerana mereka tidak perlu risau akan penularan wabak COVID-19.

Jika rakyat dan semua pihak di negara kita juga mengamalkan saranan yang telah ditetapkan pihak berkuasa sebelum ini, tidak mustahil kita juga boleh menikmati apa yang mereka sedang lakukan di New Zealand dan kembali pulih seperti sediakala (atau sebelum berlakunya COVID-19) di negara kita.

Baca juga perkongsian kami sebelum ini mengenai PM New Zealand sendiri yang tidak dapat memasuki kafe selepas melebihi had dibenarkan melalui pautan di bawah.

Perdana Menteri New Zealand ‘Dihalang’ Daripada Memasuki Kafe Selepas Cukup Kuota

Kenali Perdana Menteri New Zealand Yang Berjaya Mencuri Perhatian Dunia

Sumber