Bila saya lihat dalam Facebook, Youtube yang kecoh pasal wang hantaran kahwin sampai 20, 30 ribu ringgit, saya jadi kurang seronok.

Awat mahai sangat na? Juai anak ke apa?” getus saya sendirian.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tapi zaman la ni, tak ada yang mustahil.

Orang kampung saya kata, “nothing is impossible”.

Cerita pasal wang hantaran tinggi buat saya teringat satu kisah di sebuah mahkamah di ibu negara. Masa itu saya kebetulan ada kes lain di situ. Jadi sempatlah saya ikuti apa yang berlaku.

Seorang jejaka macho masuk ke dalam kandang selepas nama dipanggil.

Muka dia, saya nampak macam nervous sahaja.

Dibacakan pertuduhan kepada beliau.

Antara lain berbunyi;

“Bahawa kamu… pada tarikh… di sebuah… di Kampung… telah menggunakan wang palsu dalam note RM100 sebanyak… keping sebagai tulen bagi satu hantaran mas kawin.

Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh 20 tahun dan denda.”

Alahai… heavy-nya hukuman, bisik saya.

Kalau dengan hukuman lagu tu, sah lepas ni pesalah terus taubat nasuha. Tak kahwin pun tak apa.

Mengikut fakta dikatakan bahawa bapa pengantin perempuan terkejut apabila melihat semua wang kertas note RM100 yang dimasukkan dalam album gambar hanya mempunyai cetakan bahagian hadapan manakala belakangnya kertas putih.

Penipuan disedari oleh bapa pengantin perempuan ketika mengira wang hantaran selepas majlis akad nikah oleh imam.

Dalam hati saya… alahaiii bertuah betul dapat menantu macam ni.

Saya juga berfikir, macam ni punya hantaran, bukan setakat 20 ribu ringgit yang lelaki mampu sediakan, 200 ribu malah 20 juta pun mampu disediakan.

Apa yang perlu ialah sebuah mesin salinan warna (tak kena beli, pergi kedai sahaja), kertas yang berkualiti tinggi dan pemotong untuk potong kasi ‘ngam ngam’ macam saiz duit betul.

Hanya tekan butang mesin fotostat saja, terus ‘wang’ kertas keluar.

Cakap, berapa bapa mentua mau?

Dua Puluh Ribu, Dua Ratus Ribu, Dua Juta pun menantu boleh sediakan.

Bagi saya pengajaran cerita ini ialah kefahaman bahawa menantu lazimnya baru habis belajar, baru dapat kerja, yang belum berkerja pun ada, bukan kaya pun lagi nak di ‘cekau’ duit oleh keluarga perempuan. Maaf, bahasa saya gunakan mungkin agak kasar sedikit.

Wang hantaran tu biarlah berpada-pada.

Ukur baju di badan sendiri. Jangan pula besar pasak dari tiangnya.

Kalau jadi macam kes wang palsu digunakan, siapa yang susah?

Yang si lelaki sah-sah masuk ‘dalam’, jika tidak Penjara Pengkalan Chepa mungkin Machang. Penuh Machang, Marang pun kosong lagi.

Si perempuan pula ‘makan hati berulam jantung’.

Yang bapa mentua pula seperti ‘nyamuk mati gatal tidak hilang’.

Apa-apa pun, ukurlah baju di badan sendiri. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.