Kedai makan Melayu lazimnya mempunyai banyak menu. Pergi sahaja restoran Melayu, kita akan dihidangkan dengan 1001 lauk pauk yang memukau hati. Pada malam hari pula, pelbagai jenis nasi goreng dijual.

Mahu tidak mahu, hal ini memerlukan kos peralatan dan tenaga kerja yang tinggi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kos membuka kedai makan mencecah 6 angka bukanlah sesuatu yang pelik didengari.

Kisah Nasi Kak Wok

Saya tertarik kepada cerita yang ditulis oleh Puan Reni Rahmat ini:

“Beberapa bulan lepas, selang 2-3 buah dari #breadkitchen, ada kedai makan yang baru dibuka.

Nama kedai – Nasi Kak Wok.

Saya puas fikir, Kak Wok ni nama orang ke? Kenapa pelik sangat.

Bila sudah buka, saya pun teruja singgah makan di sana.

Impresi pertama – kedai yang biasa-biasa.

Menu berat cuma ada satu sahaja. Serius!

Nasi Kak Wok itulah menu utamanya.

Saya singgah makan pagi, jadi saya cuma memesan roti canai dan beberapa jenis kuih yang lain.

Nasi Kak Wok? 2-3 kali singgah pun, saya tetap tidak mencuba untuk beli.

Selang beberapa hari selepas saya singgah di situ, suami pula bercerita, “Nasi Kak Wok sedap juga. Pemilik dia Datin.”

Saya, “Wah! Dah cuba?” Sambil membulatkan mata.

Selepas dari cerita suami itu, saya mencuba juga untuk membeli Nasi Kak Wok tersebut.

Tetapi – bukan itu, yang saya nak cerita.

Saya tertarik dengan bagaimana kedai makan ini mula dibuka.

Tiada renovasi gempak-gempak.

Tiada kerusi meja yang canggih-canggih.

Tiada benda fancy-fancy.

Semuanya nampak biasa.

Menu pun memang fokus pada Nasi Kak Wok sahaja. (Apabila balik dari Kelantan, baru saya tahu, nasi ini dari Kelantan rupanya.)

Tetapi, sekarang selepas beberapa bulan beroperasi, perlahan-lahan kedai tersebut dinaik taraf.

Sudah mula letak penghawa dingin.

Sudah mula ubah suai sikit-sikit.

Sudah mula tambah kerusi meja.

Sudah mula tambah menu – nasi kerabu, nasi berlauk.

Sudah mula tambah variasi kuih muih.

Dan setiap hari kedai Kak Wok ini penuh.

Pukul 5 petang tutup. Bukan sengaja tutup awal, tetapi, memang makanan mereka sudah habis.

Ini kerana setiap hari mereka cuma hasilkan makanan yang pasti akan habis.

Tiada pembaziran.

Sesungguhnya, fakta yang tidak boleh disangkal lagi – ore kelate meme terer niago!”

Kelebihan 1 menu

Kisah Nasi Kak Wok di atas menarik perhatian saya.

Ada kelebihan berbuat sedemikian.

Perniagaan lebih fokus. Jenama lebih senang diingati pelanggan. Kos lebih rendah. Pembaziran pun kurang.

Kebanyakan restoran di pusat membeli belah pasti mempunyai 1 menu signature yang membuat orang mengingati mereka. Secret Recipe dengan keknya, KFC dengan ayam goreng dan McDonald’s dengan burger.

Bercakap tentang pembaziran, konsep Warung Bunian Kajang juga menarik perhatian. Pelanggan tidak boleh memilih makanan. Akan tetapi terdapat 1 set nasi, pelbagai lauk pauk dan minuman disediakan. Menariknya, tiada pelanggan merungut disebabkan makanan mereka yang sedap, lauk beraneka jenis dan berpatutan.

Bagaimana bermula dengan 1 menu?

Konsep ini sesuai dibuat di bandar-bandar besar yang mempunyai ramai pelanggan berduit. Faktor familiarity menjadikan ianya tidak kelihatan asing di bandar-bandar besar.

Menu yang dipilih hendaklah sesuai untuk semua warga Malaysia tanpa mengira bangsa – Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Menu juga hendaklah kelihatan ‘ringan’ di mata pelanggan. Makanan ‘bergoreng’ kelihatan ringan di mata pelanggan Malaysia (walaupun hakikatnya kalori lebih tinggi, tetapi inilah persepsi di mata orang ramai).

Antara menu yang sudah berjaya adalah Nasi Ayam, Nasi Ayam Penyet, Nasi Kak Wok dan Kedai Makan Asam Pedas.

Makanan ‘berat’ seperti nasi lemak atau makanan ‘pelik’ seperti ikan sungai tidak diterima baik oleh orang ramai.

Menu-menu Malaysia di gedung membeli-belah lazimnya dijual pada harga mampu milik.

Apabila berjaya dengan satu menu, dan mula menerima pelanggan secara tetap, menu-menu baru sudah boleh mula diperkenalkan.

Konsep begini juga lebih mudah dikembangkan, lihat sahaja beberapa jenama seperti Dapur Penyet, Johnny’s dan Nasi Ayam Pak Tam.

Bermula ringkas

Nasi Kak Wok So Fast. (Ja Sazni)

Dalam perniagaan makanan, walaupun juadah sedap itu penting, pengurusan bisnes agar berkembang jauh lebih penting.

Selain daripada idea di atas, anda boleh membeli juadah dari central kitchen lalu menjual semula. Konsep ini banyak diguna pakai di kedai-kedai mamak tetapi masih belum cukup meluas di kedai-kedai makan Melayu.

Buat mereka yang bermodal ‘semut’, tidak mengapa bermula kecil.

Berniaga gerai adalah pilihan pertama yang baik.

Atau, anda boleh menghantar makanan siap masak ke pejabat-pejabat untuk bermula pada kos lebih rendah.

Ianya OK untuk bermula kecil, asalkan anda punya cita-cita berakhir besar.

Semoga catatan ini memberi sedikit idea. Tulis komen di bawah untuk bertukar-tukar maklumat dan buah fikiran dengan kami dan pengguna-pengguna Vocket yang lain.

Saya doakan anda semua berjaya.

BACA: Belajar 5 Jam, Bagaimana Lelaki Ini Kembangkan Pasaran Roti Ke Seluruh Malaysia