Minggu lalu, Kedutaan Besar China di Amerika Syarikat menerusi laman Twitter telah memanggil wanita Uighur di Xinjiang sebagai “mesin membuat anak”. Kenyataan ini turut disokong oleh media China Daily yang mengatakan bahawa dasar ekstremis Parti Komunis China berjaya membebaskan wanita Uighur dari status ini.

Kenyataan ini bagaimanapun telah dipadam oleh Twitter kerana menimbulkan kritikan yang meluas di media sosial, lapor VICE.

“Kajian menunjukkan, usaha untuk membasmi ekstremisme telah membebaskan pemikiran wanita Uighur di Xinjiang, dan membawa kesetaraan jantina dan kesihatan pembiakan. Mereka bukan lagi mesin membuat anak,” kata kenyataan yang dikeluarkan dari akaun rasmi Kedutaan Besar China. “Mereka menjadi lebih yakin dan berdikari.”

Menerusi kajian yang dijalankan oleh Associated Press pada Jun 2020, para penyelidik telah menemukan bukti bahawa terdapat usaha untuk mengurangkan kadar kelahiran kaum Uighur dan kumpulan minoriti lain dengan memaksa wanita untuk menjalani pembedahan membuang rahim dan pengguguran.

Polis juga dilaporkan telah menyerbu kediaman kaum Muslim Uighur dan menahan keluarga yang memiliki lebih dari tiga anak. Mereka akan dimasukkan ke kem tahanan jika mereka tidak membayar denda yang dikenakan.

Melalui wawancara dengan 30 bekas tahanan, ahli keluarga dan bekas pengajar kem, Associated Press mendedahkan realiti mengerikan yang dihadapi oleh ibu bapa, terutama wanita, dari agama minoriti di China.

Laporan itu menyebut bahawa terjadi kadar penurunan kelahiran di Xinjiang pada 2019. Sebilangan pakar memandang kawalan populasi ini sebagai bentuk “demografi genosida”.

Twitter dalam kenyataan mereka menyatakan bahawa kedutaan China telah ‘melanggar dasar’ yang ditetapkan oleh platform tersebut. Ciapan itu dibuang selepas beberapa hari akaun rasmi Presiden AS Donald Trump disekat secara kekal selepas dianggap berisiko menghasut orang kepada keganasan.

Terdahulu, kerajaan Malaysia tidak akan melayan permintaan China untuk membawa pulang pelarian Uighur. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Malaysia Tidak Layan Permintaan China Untuk Mengekstradisi Pelarian Uighur

Kerajaan China ‘Jual’ Kaum Muslim Uighur, Dihantar Jadi Buruh Paksa Untuk Jenama Besar

Wanita Uighur Dakwa Kerajaan China Jalankan Program ‘Rogol Secara Besar-Besaran’

Sumber