Kehadiran Bella ke mahkamah hari ini membuatkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Abd Razali tidak dapat menahan perasaannya sehingga menangis teresak-esak ketika melihat kelibat Bella bersama-sama dengan lima anak-anak lain dibawa masuk ke dalam mahkamah bagi sesi pengecaman.

Menurut laporan Utusan Malaysia, sesi pengecaman yang dijalankan di sebalik skrin penghadang bagi melindungi identiti kesemua kanak-kanak yang hadir ke mahkamah itu dilakukan oleh tiga saksi pendakwaan iaitu Suhana Zam, 40; Zurianty Sudin, 39; dan Yasmin Nahar Mahmood, 19.

Harian Metro pula menyebut ketika sesi tersebut, kelihatan Bainun melambai-lambai ke arah kanak-kanak tersebut yang dahulunya pernah berada di bawah jagaan beliau.

Sebelum ini, peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun memohon supaya anak guamnya bersemuka dengan enam individu terbabit untuk melihat reaksi mereka. Beliau juga meminta agar sesi itu tidak melibatkan orang ramai sekiranya identiti kanak-kanak itu mahu dirahsiakan.

Namun permohonannya ditolak oleh Hakim Izralizam Sanusi yang berkata bahawa sesi itu akan menumpukan pada pengecaman dan bukan untuk merekodkan keterangan daripada anak-anak itu.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kronologi kes Bella, kanak-kanak yang didera tanpa simpati oleh penjaganya. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Kronologi Kes Bella, Kanak-Kanak Yang Didera Tanpa Simpati Oleh Penjaganya

Che Puan Khaleeda Ikrar Mahu Bantu Tuntut Keadilan Untuk Bella

Rasa ‘Dikhianati’, Nurul Zahid Sekeluarga Dedahkan Tidak Mahu Bersubahat Dengan Siti Bainun