Pemimpin PAS mungkin akan membuka semula panggung wayang di Kelantan tidak lama lagi selepas kerajaan negeri berkata bahawa usaha untuk berbuat demikian adalah “sangat positif”. Difahamkan ini semua disebabkan kesan filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof yang telah mendapat sambutan luar biasa.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Menteri Besar negeri Kelantan Datuk Ahmad Yakob, beliau berkata kerajaan negeri masih dalam perbincangan mengenai cadangan untuk membuka semula panggung wayang di Kelantan, sambil menambah ia akan dilakukan secara berperingkat.

Perkara ini didedahkan berikutan sambutan besar-besaran terhadap filem Mat Kilau, di mana ia memecahkan rekod box office tempatan dan dipuji sebagai antara filem tempatan yang baik. Sebelum ini, kebanyakan rakyat Kelantan terpaksa memandu jauh ke negeri lain untuk menonton filem Mat Kilau disebabkan tiadanya perkhidmatan wayang gambar di negeri terbabit.

Ahmad berkata kerajaan negeri juga sedang meneliti maklum balas mengenai seni dan budaya Kelantan, sambil menambah bahawa pendapat sedemikian adalah penting dalam pemeliharaannya.“Selain input daripada penggiat seni dan industri, kita juga akan mengambil pandangan ulama dan Jabatan Mufti Negeri berhubung isu agama,” katanya.

Pada Jun lalu, Pemuda PAS dituduh hipokrit apabila menghadirkan diri menonton filem Mat Kilau di pawagam yang terletak di tengah-tengah ibu kota. Tindakan ini dikatakan ‘cakap tak serupa bikin’ selepas rakyat Kelantan dilarang menonton wayang, disebabkan takutnya berlaku maksiat. Tetapi Pemuda PAS sendiri bersusah payah hadir ke Kuala Lumpur untuk menonton filem Mat Kilau.

Selain Netizen, Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan, pada 24 Jun turut menempelak PAS kerana tidak tetap pendirian selepas mengajak orang ramai ke panggung wayang untuk menonton filem terbaru pengarah terkenal Syamsul Yusof. Menurut Hazmi, PAS seperti keliru dan hilang punca kerana mereka dulu mengharamkan pembukaan pawagam di Kelantan.

Dalam salah satu hantaran di Facebook, Pemuda PAS tampil menjawab kritikan mengenai pengharaman pawagam di Kelantan.

Mereka menjelaskan bahawa sekiranya filem yang ditayangkan itu mempunyai barisan pelakon yang menutup aurat dan penonton yang menjaga batas serta jalan cerita tersebut tidak menjurus kepada maksiat, ia tidak dianggap haram.