Berbekalkan wang sebanyak US$300 pada usia 20 tahun dengan beraninya dia melangkah keluar dari kampung halaman dan berhijrah jauh ke barat. Dia merupakan seorang insan yang percaya bahawa seseorang boleh melakukan apa sahaja dan mencapai kejayaan di mana sahaja asalkan ada kesungguhan dan keazaman.

Kini, dia telah berjaya menjadi seorang pereka fesyen terkenal di dunia. Para pelanggannya tidak teragak-agak membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk membeli bukan sehelai pakaian tetapi satu almari pakaian dalam satu transaksi pembelian.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ini adalah kisah Zang Toi, anak kelahiran Kelantan, Malaysia. Dia dilahirkan di tingkat dua kedai runcit di sebuah kampung kecil di Kuala Krai, Kelantan pada 11 Jun 1961. Dia adalah anak bongsu daripada 6 orang anak pasangan peruncit.

Pada 1981, Zang Toi ke Kanada dan kemudian berpindah ke bandar New York, Amerika Syarikat untuk menyambung pelajaran dan minatnya di Parsons School of Design. Dia menjadi apprentice kepada pereka fesyen Mary Jane Marcasiano dan Ronaldus Shamask. Pada waktu itu dia merupakan salah seorang daripada beberapa orang pereka berketurunan Asia yang berharap menempa nama di Amerika Syarikat.

Toi belajar sambil bekerja bagi menampung kos sara hidup di Amerika. Dia bekerja separuh masa dengan pereka-pereka kecil di Soho. Hasil pendapatannya itu digunakan untuk membeli mesin jahit dan bahan pelajaran. Pada tahun kedua di Amerika, Toi bekerja sepenuh masa dan hanya tidur 3 jam sehari bagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai pelajar dan pekerja.

Walaupun Toi minat melukis sejak kecil dan memilih untuk belajar fesyen, dia sebenarnya perlu berusaha 3 kali ganda berbanding rakan sekelas agar tidak ketinggalan di dalam pelajaran kerana Toi tiada asas kemahiran menjahit. Itulah antara sebahagian cabaran yang perlu dihadapi Toi bagi menggapai impian.

Selepas 8 tahun tamat belajar dan bekerja di Soho, Toi berjaya membuka sebuah studio cum bengkel fesyen pada Ogos 1989 dan tidak lama kemudian Ketua Editor U.S Vogue, Anna Wintour mengetengahkan Zang Toi di dalam isu Mac 1990.

Nampaknya impian Zang Toi mencipta nama di Amerika Syarikat hampir menjadi kenyataan pada detik itu. Ini kerana Toi merupakan salah seorang pereka Asia pertama yang diperkenalkan oleh editor yang ternama seperti Anna Wintour dan Frank De Caro (Newsday) menyatakan Zang Toi: “If anyone is THE NEXT BIG THING, it’s him.”

Anugerah pertama Zang Toi, Mouton-Cadet Young Designer Award telah dikurniakan kepadanya pada 1990. Ia mengiktiraf Zang Toi sebagai salah seorang pereka terbaik dan muda di Amerika Syarikat pada tahun tersebut. Sejak itu Zang Toi mendapat perhatian industri fesyen di Amerika Syarikat dan hasil kerjanya dipaparkan oleh penerbitan besar seperti Financial Times, Newsweek, The New York Times, Vogue, Vanity Fair, Time, dan lain-lain.

“Datang dengan tiada wang – tidak ada satu sen pun pada namanya – sekarang dia (Zang Toi) mempunyai empayar ini,” kata Nicholas Gruber, socialite New York.

Zang Toi Sebagai Pereka Fesyen Terkenal

Zang Toi umpama duta tidak rasmi Malaysia apabila dia dikenali sebagai pendatang dari Malaysia yang berjaya mengubah nasib miskin menjadi kaya di Amerika Syarikat. Dia turut dikenali sebagai seorang yang masih mengekalkan kerendahan hati dan memiliki sifat kemanusiaan yang tinggi walaupun telah menjadi pereka terkemuka.

Zang Toi menjalani kehidupan glamor dan ia dapat dilihat dalam koleksi-koleksi rekaannya. Rekaannya terkenal dengan elemen kemewahan dan beliau gemar menampilkannya dengan warna yang berani dan terang bersama dengan tona warna permata.

“Ia adalah koleksi yang boleh dipakai. Ia mempunyai elemen bergaya dan agak misteri, dan memiliki hasil kerja yang cantik,” kata penari balet Irina Deorovenko.

Koleksi Zang Toi boleh didapati di The House of Toi. Selain itu, Toi turut mereka pakaian untuk bintang dan selebriti Hollywood seperti Farrah Fawcett, Ivana Trump, Gong Li, Sharon Stone, isteri Bill Gates dan Fergie Black Eye Peas. Dermawan kaya dan kerabat diraja turut menggemari hasil kerja Zang Toi.

Tidak menghairankan koleksi busana mewah Zang Toi menjadi pilihan golongan atasan dan terkenal. Pakar fesyen Amerika, Sheila Joseph mengakui fesyen rekaan Zang Toi tidak luput di makan zaman dan rekaannya itu membuatkan wanita kelihatan elegan dan glamor.

Bagi Zang Toi, di kota metropolitan seperti bandar New York ini isu diskriminasi tidak menjadi cabaran besar buat dirinya kerana di sini individu dihargai dan diberi ganjaran untuk kerja keras dan prestasi mereka, bukan kerana latar belakang etnik semata-mata.

NY Daily News
NY Daily News

Di atas kepercayaan itu, Zang Toi pernah diberikan tanggungjawab membuat gaun busana mewah bernilai US$30,000 untuk Fashion Week Fall 2011. Dia melakukannya sendiri dari awal hingga akhir.

Selain The House of Toi, bagi mengekalkan kompetitif dan mencipta “product synergies”, Zang Toi mengusahakan beberapa bisnes lain seperti perniagaan kafe bersama abangnya, Zang Toi Cafe. Ia ada di The Pavilion, Kuala Lumpur: Zang Toi’s West 57th St. Cafe. Zang Toi turut melancarkan produk kosmetik bersama Amazing Cosmetics pada tahun 2013. Dan terbaru, greeting cards.

Perkembangan Pereka Asia Di Amerika Syarikat

Zang Toi bangga melihat perkembangan pereka Asia masa kini terutamanya di Amerika Syarikat yang terlibat dengan New York Fashion Week 2015 di mana 16 dari 72 penyertaan rasmi adalah pereka Asia atau Asia-Amerika, berbanding 13 penyertaan pada tahun lepas. Persembahan kumpulan besar yang ditaja oleh China dan Korea turut mewakili 21% daripada jumlah tawaran.

“Amazing, amazing,”…”Sebagai orang Asia, ia adalah satu detik yang boleh dibanggakan oleh saya. Saya masih ingat ketika datang ke sini 33 tahun lalu. Pada waktu itu ramai pereka Asia yang berbakat, tetapi mereka tidak ke hadapan. Mereka hanya bekerja di belakang pentas.” kata Zang Toi dalam temubual bersama NBC News.

Toi berharap perkembangan ini akan membuka lebih banyak cabang peluang di dalam industri fesyen.

“Mudah-mudahan ini adalah cara untuk pereka Asia untuk [memberi laluan] kepada pereka [dari] latar belakang etnik yang lain,”…”Fesyen dan kecantikan, seperti dalam kehidupan, ianya harus tahu tiada sempadan. Tiada sempadan [berdasarkan] warna. Bakat adalah bakat.” jelas Zang Toi lagi.

Rumah Zang Toi di Amerika Syarikat

Gambar: "American Fashion Designers at Home"/Assouline
Gambar: “American Fashion Designers at Home”/Assouline

Dengan kemewahan hidup yang dimilikinya, Zang Toi masih mahu orang mengenalinya sebagai seorang yang rendah diri dari Malaysia. Ini terbukti apabila kebanyakan rumah di dalam buku “American Fashion Designers at Home” oleh Council of Fashion Designers of America bersaiz 5000 kaki persegi, rumah Zang Toi hanya berkeluasan kurang dari 1,500 kaki persegi.

Walaupun kecil ia masih kelihatan bergaya dan mewah sepertimana rekaan busananya.

“Ini adalah orang yang taksub dengan Paris,”…”Ruang mempunyai satu tema, dimaksimakan seekstrim mungkin, tetapi ia sangat baik dilakukan.”…”Dia tidak takut dengan sedikit bulu atau labuci..” kata Suqi.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram