Sewaktu saya dihantar belajar ke Korea awal tahun 2011, saya bersyukur sebab sampai-sampai di sana, saya diperkenalkan dengan Persatuan Pelajar di sana, ada kakak-kakak senior yang solehah tolong kami pelajar baharu dari A sampai Z.

Pada awalnya, saya ingatkan saya tidak mengalami sebarang culture shock, kawan-kawan ada sentiasa di sisi, senior sentiasa ada kalau perlukan pertolongan dan ada halaqah (usrah) setiap minggu juga untuk pelajar baru di sana.

Memang tak sempat nak culture shock pun, dikelilingi biah soleh di Korea, alhamdulillah. (Ada masa nanti, saya akan kongsikan mengenai kenapa di negara Kpop itulah bi’ah pelajar di Korea soleh & solehah).

Tapi, rupa-rupanya culture shock saya ialah lebih kepada BRANDING.

Kejutan Budaya Di Korea

Mana taknya, first time pegang duit banyak-banyak dalam hidup. Dah lah baru umur 18 tahun, duit dalam bank (pada hal duit tajaan) banyak berkepuk.

Anggaran duit perbelanjaan masa itu, lebih kurang RM1800/bulan. Tapi compared to other countries, Korea paling rendah within the living cost. Kalau di Korea, RM1800 ini around 600 ringgit.

Branding-CULTURE-shock:

Maksudnya ialah saya gemarkan membeli barang di tempat-tempat dan barangan yang berjenama, berbanding kedai dan barangan biasa. Pada awalnya, saya tidak sedar langsung habit saya ini.

Tapi lama kelamaan saya perasan dan tidak dapat ubah sebab persekitaran pada masa itu memang gilakan branding. Maksud saya ialah persekitaran Korea tersebut.

Dari bawah sampai ke atas, barangan yang saya pakai mestilah ada brand. Dari sekecil-kecil brand baju, kasut, beg, dan sebagainya.

2012, iphone 4s fever in Korea. Boleh nampak kan semua pakai ip4s, termasuklah yang pakai tudung tu.

Baru second year, tapi dah pakai COACH memang tak kena la kan?

Tak masuk makanan lagi, saya selalu pilih kedai-kedai yang ada class dan disebabkan saya coffe-holic haruslah coffee shop yang ada brand di Korea,

Antaranya, Toms Toms, Cafe Bene, Gongcha, Hollys Cafe, dan Pascucci Cafe. Brand cafe ini kira macam ‘Setabak Coffee’ lebih kurang, and the fact is kat Korea, depa tak layan sangat Setabak, sebab Coffee mereka lagi best.

1. Kasut mestilah ikut trend sana, ada satu kasut New Balance yang sangat limited masa tu saya sanggup tunggu dan beli sebab nak ikut gaya dan trend sana.

Keluar kasut Onitsuka Tiger, terus beli tak fikir panjang. Kasut Vans berapa biji saya beli. And the list goes on.

2. Beg memang selalu update, tengok perempuan Korea pakai beg tu cantik, terus cari kat online shopping letak dalam cart. Beg sekolah, beg travel mesti ada jenama, North Face. Boleh kira berapa banyak semua duit dihabiskan.

Elaun masuk terus click click dan tadaa siap. Di Korea sendiri, online shopping memang sangat efisien, order harini esok petang terus sampai.

3. Pakaian mestilah berjenama, Uniqlo, H&M, Zara, Forever 21. Untuk pelajar tahun pertama pakaian sebegini dikira berjenamalah. Hujung bulan nak masuk elaun mesti tengok website online shopping siap sedia nak beli.

4. Gajet jangan cerita la, memang Apple maniac. Laptop Macbook, Handphone Iphone la. Ada iPad dulu masa tengah famous iPad. Ada iPod masa famous iPod.

5. Winter (spring, autumn) coat haruslah ikut musim. Musim spring, autumn, winter memang masa saya shopping habis-habis. Suka dengan fesyen sana.

Masalahnya, 5 tahun musim berubah, 5 kalilah bertukar jaket/pakaian. End up, nak balik back for good sedekahkan semua kepada junior.

Gaya hidup di Korea memang mempengaruhi saya banyak dari segi branding. Nasib baiknya ialah tak terpengaruh dengan ke”obses”an mereka dalam plastic surgery.

Tahu Cari Sumber Kewangan Sendiri

Hidup dikelilingi budak-budak Korea yang hari-hari update branding item sampaikan saya terpengaruh sekali.

Tapi dalam masa berboros tersebut, memang tak pernah kesuntukan duit, sebab saya buat part timer sebagai tour guide juga. Jangan risau, pelajaran memang saya jaga, pointer memang jaga dan tak pernah dapat GPA teruk. Alhamdulillah.

Ditambah pendapatan jadi tour guide ini, lagilah over. Dapat duit terus fikir nak beli apa untuk ditunjuk kepada kawan-kawan Korea.

Kalau dikira memang mampu pun sebenarnya, tak kacau duit elaun pun. Kenapa nak risau kan? Dah kerja penat-penat mestilah nak reward diri sendiri dengan barangan best-best, tapi kalau dah lebih kepada kehendak bukan keperluan, kena fikir balik.

Ada satu status di FB pakar kewangan yang buatkan saya sangat-sangat sentap;

“Ramai orang panik bila dengar-dengar ekonomi Malaysia akan gawat tak lama lagi. Viral terus weih! Forward sana, forward sini.

Tapi ramai orang tak kisah pun dengan ekonomi sendiri yang dah memang gawat sejak bertahun-tahun dulu tu. Haha. Petanda ekonomi sendiri tengah gawat adalah takda duit simpanan dan bertambah-tambah hutang jahat.

Please take note,” catatan Harith Faisal.

Okay, berbalik kepada cerita, masa itu jangan haraplah nak fikir menyimpan. Satu sen pun tak pernah simpan. Hari-hari study di Cafe Bene, hari-hari beli kopi mahal. Padahal kopi 3 dalam 1 pun boleh je, sebab habit nak kena study tempat mahal, sanggup tu.

Perkara ini berlarutan sampailah saya masuk tahun ketiga universiti.

Kendalikan Usrah Junior

Tahun ke-3, saya diberi amanah oleh senior untuk pegang usrah adik-adik yang baru sampai ke Korea. Pada awalnya memang saya tolak atas banyak sebab, tapi lepas fikir masak-masak semua, saya terima juga walaupun berat.

Amanah untuk jadi seorang dai’e banyak perkara perlu dikorbankan.

Apabila dah pegang usrah, apabila dah baca bahan-bahan untuk dibentangkan, banyak perkara saya muhasabah. Tapi, masih boros dalam belanja.

Tuntutan sebagai dai’e yang menuntut pengorbanan wang dan masa masih belum menyedarkan saya mengenai pentingnya rancang kewangan sebaiknya.

Sampailah satu hari, dalam bulan Ramadhan 2014. Saya perasan duit dalam bank saya hanya ada 5,000 won (RM18) sahaja, pada hal saya masih ada 1 minggu plus di Korea sebelum pulang beraya di Malaysia.

Masa tu saya memang sangat-sangat malu untuk minta tolong kawan-kawan, saya mula sedar dan menyesal atas segala perlakuan boros saya.

Saya sangat-sangat malu sebab saya seorang dai’e kepada adik-adik, tapi saya sendiri boros berbelanja mengikut nafsu, mengikut gaya trending orang sekeliling.

Malam tu, saya menangis pertama kali menyesal. Untuk menceritakan kepada family jauh sekali, saya tidak akan sekali-kali menyusahkan mereka mengenai masalah kewangan.

Esoknya, saya dapat mesej dari seorang kakak A, dia berada jauh nun di Busan, dia tanyakan akaun bank saya. Bila saya tanyakan kenapa, dia diamkan sahaja. Saya turutkan sahaja mungkin dia ada nak minta tolong.

Malam selepas habis program iftar dengan adik-adik, saya tergerak hati nak check duit dalam bank saya, dan sangat-sangat terkejut bila tengok ada berpuluh-puluh ribu won (beratus-ratus ringgit) dan bila tengok nama, memang kakak tersebut yang masukkan ke dalam akaun.

Saya call kakak tersebut, dan dia cakap dia sekadar membayar zakat sebab saya masih pelajar.

Allah.. Saya menangis kesyukuran. Dan dari hari itulah, TURNING POINT kepada satu kehidupan saya yang baru. Bermula dari semester kedua tahun ketiga sehingga graduate sebagai pelajar di sana, saya belajar mengenai kehidupan berdisiplin terhadap wang.

Sedar Kepentingan Pengurusan Wang

Saya mula dari zero mengenai perancangan wang, kawan-kawan saya mungkin sudah lama menyimpan untuk tabung selepas grad, tapi saya baru bertatih.

Disebabkan saya ini otaknya agak berbisnes, saya mulakan bisnes jual tudung di Korea, saya mulakan pakej travel juga. Melalui dua bisnes sembunyi-sembunyi ini, saya plan dan atur kewangan saya.

Makan memang jaga, shopping branded items tiada lagi. Kalau dahulu duit dari hasil part-timer saya habiskan dengan beli beg branded, kasut branded, minum di coffe shop mahal, makan makanan mahal, selepas tragedi tersebut tidak lagi.

Habis kelas pagi, terus ke market cari fabrik untuk jual tudung. Ada masa lapang, balas mesej pelanggan bertanyakan pakej ke Korea. Ada waktu free lepas kelas pagi, sempat buat kerja ajar mengaji al-Quran anak pegawai Embassy.

Teringat pulak makan nasi segera beli 1 dozen untuk buat bekal, makan dengan serunding atau sardin. Nak jimat.

Dapat duit hasil bisnes, saya asingkan dan ikut currecny exchange semasa RM jatuh, saya tukar untuk dapatkan kadar RM yang banyak.

Saya buat simpanan di bank yang memang tak boleh swipe guna kad (주택청약종합), setiap bulan akan ditolak dari elaun. Alhamdulillah, duit ini saya namakan sebagai bekal duit BFG (back for good). Disiplinkan diri aliran perbelanjaan setiap minggu.

Disebabkan saya ini suka travel, saya aim masa itu nak pergi Turki lepas habis belajar, jadi saya start simpan duit sikit-sikit. 1 tahun setengah dapat cover semua, hasil duit 3 kerja tersebut.

Banyak penat jerih saya lalui pada masa tersebut, saki baki setahun lebih untuk saya tebus balik perbelanjaan yang saya boroskan dulu.

Masa tersebut memang masa paling sibuk dalam sejarah saya, sampai junior-junior boleh panggil “akak menteri besar”. Sibuk mengalahkan MB kata mereka (rindu adik-adik SKK)

Sebab kehidupan selepas grad sangat-sangat menakutkan dan menuntut wang yang banyak.

Alhamdulillah, saya rasa sangat-sangat bersyukur, saya disedarkan dari kelekaan dan kelalaian ketika saya masih bergelar seorang pelajar.

Saya tak dapat bayangkan sekiranya, sampai bekerja pun saya masih amalkan perbelanjaan boros, nak ikut trending setempat, biar papa asal bergaya huhu

Setahun setengah antara kesibukan bergelar student final year, dan kesibukan cari duit tabung untuk BFG (back for good), Allah banyak mudahkan rezeki saya.

Terus terang saya katakan, bajet semua travel saya ke Turki ialah dari simpanan saya sejak dari kisah turning point tersebut.

Dan saya tak malu untuk mengatakan bahawa, hasil jimat cermat, berkat pengurusan wang hanya setahun setengah saya mampu bawa pulang cash lebih dari lima belas ribu ringgit ke Malaysia.

Plus duit yang memang sedia ada dalam dollar, dan juga cash won. Subhanallah. Let say kalau saya mula dari awal, mungkin saya mampu kumpul 4 kali ganda daripada jumlah tersebut. (15*4= RM60000) Wah, boleh buat modal beli rumah terus!

Impak Pengalaman Di Korea Dalam Kehidupan

Sejujurnya, kisah saya ini memang memberi kesan kepada saya sampai ke hari ini. Walaupun saya baru sahaja bekerja, dan bulan ini merupakan bulan pertama gaji penuh, saya sampai tak boleh tidur, memikirkan cara untuk saya urus atur kewangan semasa bekerja ni.

Hidup dengan gaji sebanyak ini di kota metropolitan hanyalah berstatus miskin di KL, kalau di KB dah boleh hidup mewah. Bayangkanlah sewa bilik sahaja dah cecah RM450. 1/3 lagi kecil dari bilik saya di kampung.

Saya godek-godek blog dan follow orang-orang bijak perancangan kewangan supaya kewangan saya juga mampu diurus elok, sekarang nak kongsi memang zero. Kena tunggu 3 bulan gaji dahulu baru boleh tengok macam mana jadinya.

Satu sahaja harapan saya, saya mahu contohi ayah dan mak saya, sangat bijak dalam pengurusan kewangan walau bergaji bukanlah berpuluh ribu, mampu sediakan kami 6 adik beradik harta dan tanah untuk masa depan kami. Sedangkan dia yang bekerja penat lelah, semuanya demi anak-anak dan generasi akan datang.

Adat kita, harta yang kita ada sekarang ini, hasil dari mak nenek kita dulu, simpan duit beli tanah untuk diwariskan. Terus sampai ke generasi ayah. Kita.?

Sebab tu, saya juga mahu menyediakan sesuatu untuk anak-anak dan generasi masa depan. Jadi, permulaannya mestilah dari saya sendiri.

Nasihat Buat Anda Yang Masih Belajar

Nasihat saya kepada adik-adik pelajar, belajarlah menyimpan dari zaman anda masih belajar, nescaya bila anda sudah masuk alam pekerjaan, anda tidak akan terpengaruh dengan kemewahan di sekeliling.

Menyimpan di sini, bukanlah bererti ikat perut (tak keluar ke mana-mana, tak makan sedap sebulan sekali, jadi kedekut). Bukan, tapi dalam konteks berjimat mengikut keperluan sahaja.

Terutama di oversea, dapat cuti memang nak jalan-jalan travel kan, alang-alang dok sana. Yup, saya faham, sebab hobi kita sama.

Saya dah travel semua pelusuk Korea sepanjang di sana, 1 kali semasa zaman buta kewangan, dan 1 kali selepas kembali ke pangkal jalan. SANGAT BANYAK BEZANYA.

Menabung, berjimat bukan sahaja amalan yang dititik beratkan dalam Islam, tetapi untuk kesenangan diri sendiri dan generasi kita seterusnya.

Sayalah bekas pelajar yang buta ilmu kewangan, juga bekas pelajar oversea yang BOROS!

Ini kisah saya, semoga menjadi ikhtibar buat semua rakan-rakan, adik-adik terutama di luar negara (saya tak tahu macam mana keadaanya pelajar di dalam negara, jadi saya khaskan untuk luar negara dahulu).

p/s: Untuk adik-adik di Korea, saya cabar anda simpan lagi banyak dari saya supaya anda balik boleh terus beli kereta second hand!

Rindu musim luruh di Korea.
2013