Aku dah kongsikan separuh daripada pengembaraan aku selama 3 jam di penjara kejam ini. Hari ni aku nak sambung lagi separuh. Sebab walapun hanya 3 jam saja kau kat sini, ia cukup buat aku sedar dalam dunia ni memamng wujud manusia yang berperangai lebih daripada haiwan.

Jika korang belum baca part 1, boleh lah baca kat sini

Inilah Gambaran Ngeri Dan Kejam Yang Aku Lihat Sewaktu Di Kem Tahanan Nazi Di Poland

Kemudian kami dibawa ke salah satu berek yang mengandungi bilik tahanan dan seksaan tawanan. Ada satu tingkat tu yang tak dibenarkan tangkap gambar untuk menghormati mangsa.

Pihak NJ ada pelbagai seksaan bagi tawanan dan salah satunya adalah berdiri dalam standing room. Bayangkan bilik yang besar sedikit daripada tandas kapal terbang dan disumbatnya 4 orang dewasa dalam tu. Mereka selalunya terus dibawa masuk ke bilik yang gelap dan kecil tu lepas bekerja sehari suntuk. Disebabkan keadaan bilik yang terlalu sempit, mereka tak dapat tidur, selalu sesak nafas dan pagi esoknya dipaksa bekerja berjam-jam semula.

Terdapat hukuman kebulur sampai mati yang dijatuhkan kepada mana-mana 10 tawanan bagi sesiapa yang berjaya melepaskan diri daripada kem ni. Salah seorang daripada tawanan yang dijatuhkan hukuman meraung menangis mengenangkan anak-anak dan isterinya yang masih hidup. Maka pada masa tu ada seorang paderi Franciscan yang bernama Maximilian Kolbe menawarkan diri untuk menggantikan tempat laki tu.

Maximilian berjaya bertahan selama 2 minggu tanpa air dan makanan, malah dia seorang saja yang berjaya bertahan berbanding tawanan yang lain. Akhirnya pihak NJ menyuntik racun untuk membunuh Maximilian kerana mereka mahu kosongkan bilik tu.

Maximilian akhirnya diangkat sebagai St Maximilian Kolbe di atas pengorbanan beliau. Sebelum ditangkap, dia juga sering membantu dan menyelamatkan orang Yahudi semasa penaklukan NJ dan akhirnya ditangkap dan dibawa ke kem A I.

Di lapangan ni merupakan tempat hukuman tembak sampai mati bagi tawanan. Bendera yang dikibarkan tu menyerupai uniform tawanan bagi memperingati mangsa yang terkorban.

Ini tingkap di sebelah kanan lapangan yang menempatkan tawanan yang akan dihukum mati di lapangan tadi. Tingkapnya terbuka agar tawanan lain boleh melihat bakal nasib mereka.

Ini pula bangunan sebelah kiri lapangan tadi yang mana tingkapnya ditutup dan tawanan tak dapat lihat apa yang berlaku. Pihak NJ sering melakukan pembunuhan di tempat tersembunyi tapi tentulah tawanan lain dapat mendengar bunyi tembakan. Hal ni membuatkan tawanan lain semakin gelisah.

Ni salah satu bangunan yang ditukar menjadi hospital di A I, ada 3 semuanya. Ironinya, hospital tidak digunakan untuk merawat orang malah dijadikan tempat persembunyian untuk melakukan uji kaji manusia.

Selain uji kaji kembar yang dijalankan oleh Dr Josef, terdapat doktor psiko yang lain yang menjalankan uji kaji sterilization pada manusia yang didana oleh syarikat farmaseutikal. Kebanyakan uji kaji gagal tanpa hasil dan ramai yang terkorban ekoran uji kaji ni.

Selepas beberapa tahun kem ni ditubuhkan pihak NJ mahu melakukan hukuman terbuka di khalayak ramai. Maka tiang ni disediakan berdekatan dengan tempat tinggal tawanan untuk menggantung 10 orang sampai mati bagi sesiapa yang berjaya melarikan diri daripada kem ni. Hukuman ni bertujuan untuk menakutkan sesiapa yang mahu melarikan diri.

Papan tanda Halt ataupun terjemahannya ‘Berhenti’ diletakkan berdekatan pondok pengawal agar tiada tawanan yang datang dekat. Sesiapa yang datang dekat akan ditembak mati serta-merta.

Pagar dawai tu pulak ada arus elektrik yang akan merenjat mati sesiapa yang ingin melarikan diri. Namun, tawanan kadangkala sengaja menggunakan cara ni untuk membunuh diri.

Di sebalik pokok tu terletaknya rumah agam yang didiami Rudolf dengan isterinya. Isterinya dikatakan sangat gembira tinggal di sini kerana dia boleh dapat apa sahaja yang dia mahukan. Kem ini syurga baginya.

Malangnya isterinya terlepas dan tidak dihukum. Rumah agam ni pulak dipercayai milik peladang Poland sebelum dirampas oleh pihak NJ.

Bila pembebasan kem bermula, seramai 90% dalang genosid ni gagal ditangkap. Namun Komandan Pertama Auschwitz iaitu Rudolf Höse berjaya ditangkap, dibicarakan dan dijatuhkan hukuman. Dia dihukum gantung sampai mati di kawasan ini yang berdekatan dengan rumah agamnya.

Ni rupa gas chamber (bilik gas) dari luar. Terdapat satu serombong yang digunakan untuk menyebarkan gas Zyklon B. Gas chamber ni cuba disorokkan agar tidak dibom oleh musuh dan juga bertindak sebagai tempat perlindungan bom di ambang kekalahan rejim Nazi.

Ni rupa gas chamber dari hadapan.

Inilah rupa gas chamber yang membunuh ramai orang.

Ni pulak tempat pembakaran mayat dari gas chamber.

Gambar yang lebih terperinci bagi tempat pembakaran.

Ni salah satu memorial yang ditulis dalam bahasa Inggeris bagi memperingati mangsa. Terdapat pelbagai memorial dalam bahasa negara Eropah yang lain. Batu yang diletakkan di atas memorial ni merupakan adat orang Yahudi semasa menziarahi kubur.

Ni salah satu daripada 3 gas chamber yang dibom pihak NJ sebelum berundur bagi menghapuskan bukti. Semasa kem dibebaskan, kacau-bilau berlaku kerana NJ ingin melenyapkan bukti kekejaman deorang dan deorang tak sempat memusnahkan kem A I maka kem AB II yang 3 kali ganda lebih besar dari A I ni tak mempunyai banyak bangunan yang dalam keadaan asal.

Memorial ni dibina sempena memperingati kematian tawanan di sini. Bentuk tiga segi di tengah tu melambangkan tiga segi yang dijahit pada uniform tawanan manakala bentuk lain mewakili keadaan mangsa yang mati dan tidak ditanam.

Disebabkan kekurangan tempat bertakung untuk membuang abu mangsa, maka pihak NJ menggali beberapa tasik buatan manusia bagi memudahkan kerja mereka membuang mayat ke dalam air untuk menghapuskan bukti.

Ni tempat membasuh dan mandi bagi tawanan wanita. Sama seperti di A I, mereka hanya diberi masa untuk mandi dan basuh baju sekali selang beberapa minggu, kadangkala sampai beberapa bulan.

Sepatutnya ada gambar tandas tapi keadaannya teruk sangat kerana masih dalam proses pembaikan (kami dapat intai dari luar je). Pada mula kem ni dibina dengan keringat para tawanan sendiri, tiada tandas yang dibina maka najis ada di merata-rata tempat dan mengakibatkan penyakit berbahaya yang membunuh tawanan.

Ni antara gambar keadaan berek di AB II.

Lapangan ni diberi nama lapangan maut atau courtyard of death di mana bangunan tu menempatkan tawanan yang akan dihukum mati. Namun, bangunan ni sentiasa sesak dengan tawanan sampaikan ada yang terpaksa tidur di luar sepanjang musim sejuk atau panas lantas membawa maut.

Ni antara katil yang dibina dalam bangunan ni. Katil 3 tingkat ni sering menempatkan 3-4 tawanan pada setiap katil.

Kebanyakan katil ni tak ada tingkap atau sistem pengudaraan yang baik dan disebabkan mereka sering bersesak-sesak, ada yang mati sesak nafas sebelum dihukum.

Bila sampai ke penghujung tour ni aku teringat soalan Rika-san (sensei bahasa Jepun) masa kami berbincang tentang kekejaman penaklukan tentera Jepun di Malaysia dan China. “How could these people be so cruel?”

Aku masih tertanya-tanya.

Inilah landasan kereta api yang menghubungkan antara kem Auschwitz I dengan kem Auschwitz-Birkenau II untuk mempercepatkan lagi pemindahan tawanan antara kedua-dua kem tersebut.

Inilah watch tower yang biasanya diletakkan penembak hendap yang akan menembak sesiapa yang disyaki mahu lari daripada kem ini.

Kalau nak tahu inilah model sebenar gerabak kereta api yang digunakan untuk menyumbat seramai tawanan yang mungkin di dalamnya.

Maka iktibar yang boleh diambil dari kunjungan ini adalah mangsa kancah peperangan ini tidak mengenal siapa. Sungguh pun mangsa utama Holocaust ialah orang Yahudi dan kini Yahudi zionis pula bertindak menindas penduduk di Palestin lantas dilakar sebagai penjenayah dunia orang Islam, namun janganlah sesekali kita menafikan kejadian Holocaust ini. Sesungguhnya orang yang melupakan sejarah akan dihukum untuk mengulanginya. Semoga kita mendapat iktibar dan pengajaran daripada apa yang telah berlaku.

Dan akhir sekali, mudah-mudahan kita terhindar daripada keburukan sebegini.