Sawadee-kap! Thailand merupakan negara ASEAN keenam saya jejaki. Agak lambat sebenarnya berbanding negara-negara lain walaupun jaraknya paling dekat dan tanahnya tidak terpisah dengan Semenanjung Malaysia. Sebabnya, takut.

Ya, takut dengan letupan bom yang sering berlaku di wilayah selatan. Tiga wilayah selatan iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat bergolak disebabkan permusuhan antara orang Islam dan pihak berkuasa yang dikatakan menekan dan menafikan hak-hak mereka.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dengan prinsip travel bajet dan ‘Travel Like A Local’, saya memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Hat Yai dengan menaiki bas selama 9 jam berharga RM60. Perancangan awal untuk menaiki kereta api dengan sleeper-bed terus ke Thailand terbatal kerana operasi itu telah dihentikan empat hari sebelumnya.

Pilihan yang ada ialah menaiki kereta api laju ETS dari KL Sentral ke Padang Besar, Perlis kemudian menukar kepada shuttle train ke Hat Yai, atau menaiki bas sahaja. Bas berhenti di CIQ Bukit Kayu Hitam, Kedah sekitar jam 6 pagi untuk urusan pemeriksaan passport dan barang-barang persendirian perlu dibawa turun dari bas.

Hat Yai, Songkhla

Pemandangan Bandar Hat Yai dari puncak Gunung Kho Hong
Pemandangan Bandar Hat Yai dari puncak Gunung Kho Hong

Saya tiba di Hat Yai jam 8 pagi dan tidak akan bermalam di sini. Jadi untuk tidak merugikan masa yang ada, saya sewa tuktuk dengan harga THB400 untuk ke tempat-tempat pelancongan di sini. Saya ke Chang Puak Camp iaitu taman santuari gajah yang tidak mengenakan bayaran masuk, cuma beberapa bayaran berbeza dikenakan jika ingin bermain atau mandi bersama gajah, memberi makan dan bergambar dengan gajah.

Saya kemudian ke Hat Yai Park yang menempatkan kereta kabel ke puncak Gunung Kho Hong, Big Buddha (Phra Buddhamongkolmaharacha), Guan Yin Statue, Chinese Gods and Goddesses, dan Hat Yai Ice Dome. Kereta kabel dan Ice Dome sahaja yang dikenakan bayaran, yang lain percuma untuk dilawati.

Satun

Saya ke Satun bersama lima rakan lain menaiki trak pikap. Adalah menjadi pemandangan biasa menaiki trak pikap beramai-ramai di sini. Satun merupakan sebuah wilayah selatan Thailand yang berjiran dengan Wilayah Trang, Songkhla dan Phatthalung, dan bersempadan dengan Perlis di bahagian selatan.

Aktiviti berkayak di Tha-oi Viewpoint, Satun
Aktiviti berkayak di Tha-oi Viewpoint, Satun

Satun turut dikenali sebagai ‘Town of Little Penang’ kerana bentuk geografinya yang mempunyai pulau di Laut Andaman. Kami ke Tha-oi Viewpoint, Thungwa Satun dan bermalam di chalet terapung di muara sungai yang dikelilingi hutan paya bakau.

Chalet terapung berlatarbelakangkan hutan paya bakau
Chalet terapung berlatarbelakangkan hutan paya bakau

Chalet ini terkenal di kalangan lokal untuk berehat bersama keluarga dan kawan-kawan dengan kadar THB300 satu malam per kepala yang turut menyediakan aktiviti berkayak untuk orang ramai.

Pintu masuk Stegodon Sea Cave
Pintu masuk Stegodon Sea Cave

Saya juga berpeluang berkayak menyelusuri Stegodon Sea Cave dengan kadar THB300. Gua air masin terpanjang di Thailand ini asalnya disebut Kluay Cave, tetapi ditukar nama selepas penemuan fosil gajah stegodon pada 2008 di dalam gua tersebut.

Suasana berkayak di dalam gua
Suasana berkayak di dalam gua

Setelah selesai aktiviti berkayak, kami pulang ke chalet dan menikmati ikan bakar yang ditangkap sendiri di sangkar depan chalet. Terbaik!

Pattani & Yala

Masjid Kerisik, Pattani yang berusia lebih 400 tahun
Masjid Kerisik, Pattani yang berusia lebih 400 tahun

Untuk malam seterusnya saya bermalam di rumah kawan-kawan di Pattani untuk merasai sendiri kehidupan harian mereka. Kami ke Masjid Kerisik (Krue Se) iaitu masjid tertua di Thailand yang dibina pada tahun 1583.

Antara peristiwa paling diingati ialah pada April 2004, seramai 32 orang suspek bersenjata yang berlindung di dalam masjid ini mati dibunuh oleh tentera sebagai tindak balas selepas 10 pondok polis sekitar wilayah selatan diserang oleh militan Islam.

Selesai solat Maghrib dan Isyak di Masjid Kerisik, kami bergerak ke Yala untuk menikmati makan malam yang dipanggil ‘buffet’ atau kita selalu sebut ‘steamboat’ dengan kadar THB170 seorang termasuk nasi, mee, salad, buah potong, cendol, pulut manga dan kuih-muih.

Kafé hipster Bang Nun di Narathiwat
Kafé hipster Bang Nun di Narathiwat

Memang berbaloi! Selepas makan, saya merasai kehidupan orang muda di sini iaitu lepak di café hipster dan bersiar-siar sekitar bandarnya. Kafé hipster di sini tidak mahal dan makanan boleh tahan sedap.

Dalam perjalanan pulang ke Pattani, kami dikejutkan dengan insiden letupan bom berdekatan Fatoni University (FTU) yang menyebabkan seorang anggota polis cedera parah. Alhamdulillah kami terselamat. Semasa di Pattani, saya sempat melawat FTU, sebuah universiti yang dibina dan diuruskan dengan dana waqaf sepenuhnya.

Narathiwat

Keesokannya, kami ke Wilayah Narathiwat atau nama asalnya “Menara” sebelum ditukar oleh Raja Rama VI pada tahun 1915. Kami sempat menziarahi bapa kepada seorang rakan di Sai Buri yang dimasukkan ke hospital akibat demam sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Pacho Waterfall yang terletak di Budo – Sungai Padi National Park.

Pintu masuk kawasan air terjun Pacho
Pintu masuk kawasan air terjun Pacho
Air terjun tebing tinggi
Air terjun tebing tinggi

Air terjun Pacho terkenal di kalangan lokal untuk mandi manda dan berkelah kerana airnya yang sejuk dan pemandangan tebing tingginya yang mengujakan. Kami kemudiannya bergerak ke Pantai Narathat untuk menikmati pemandangan matahari terbenam sebelum menuju ke Masjid Besar Narathiwat untuk solat Maghrib dan Isyak.

Selesai solat kami membeli nasi bajet berlauk ayam goreng dengan harga THB20 dan lepak di café hipster lagi. Jangan risau, kedai makan di sini kebanyakan halal termasuk di pasar malam sebab majoriti penduduknya beragama Islam.

Kerana kesuntukan masa, kami tidak sempat ke Gunung Silipat di Betong, Yala yang menjanjikan pemandangan berkabus waktu pagi yang memukau.

Makan malam yang dimasak sendiri, aroiii!
Makan malam yang dimasak sendiri, aroiii!

Sebelum saya pulang ke Malaysia melalui Hat Yai, kami singgah di sebuah restoran yang dikatakan ‘nasi minyak paling sedap’ di Hat Yai. Rasanya, boleh tahan, kurang berminyak berbanding di Malaysia.

Jika ke Thailand, antara makanan yang patut anda cuba ialah keng som, som tam, tom yam kung, kao yam (nasi kerabu), mee celup, green curry, dan pulut mangga. Memang aroi!

Travel bersama lokal, makan dan tidur seperti lokal

Perasaan takut sebelum ini telah hilang malah saya berasa selamat dan sangat dekat dengan lokal di sini walaupun ad insiden letupan bom. Ini kerana mereka sangat ramah dan lemah lembut walaupun baru berkenalan.

Di samping Bahasa Thai, mereka juga boleh bercakap Bahasa Melayu dialek Kelantan, jadi tidak susah untuk berkomunikasi.

Info tambahan, kebanyakan restoran mempunyai wifi dan kata laluannya ialah no telefon restoran tersebut. Saya tidak membeli simkad, jadi saya hanya menggunakan wifi percuma di restoran yang kami singgah untuk keep updated.

Kop krun kap.