Ditulis Oleh:
Nazim Efendy
February 7, 2017 4:18 PM

Setelah tamat pengajian di Airlangga University di Surabaya, Indonesia pada September lalu saya dan kawan merancang untuk melakukan pengembaraan di Eropah sambil membawa misi keamanan. Ditambah pula kami masih menganggur. Jadi kenapa tidak kami habiskan waktu bersama dunia yang semakin hari makin sakit ini.

Ditambah lagi dengan media massa dan media sosial yang berulang-ulang memaparkan cerita duka tentang dunia. Kami sangat tersentuh dengan cerita Syria. Negara yang dulu aman kini kacau, rakyat yang dulu bahagia kini sengsara, rumah yang dulu indah kini roboh dan jasad yang dulu bernyawa kini mati.

Berjuta rakyat Syria telah menjadi pelarian dan mencari perlindungan di negara-negara sempadan mahupun negara Eropah. Waktu terluang, lagi pun fizikal kami  tidak menghalang, kami tekad untuk membantu walaupun mungkin hanya sedikit.

Kami memulakan pengembaraan yang akan mengambil masa 2 bulan ini. Ia bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Paris, Peranchis dengan penerbangan transit di Ho Chi Minh, Vietnam.

Dari Paris kami meneruskan perjalanan melalui negara-negara Eropah Barat, Timur dan Selatan seperti Belgium, Netherlands, Germany, Austria, Slovakia, Hungary, Romania dan Bulgaria.

Kami sempat bermalam sekitar 2-3 malam di setiap negara yang kami singgah. Malangnya, tiada pelarian Syria yang memerlukan bantuan dan khidmat sukarelawan. Kebanyakan mereka sudah pun memulakan hidup baru. Ditambah pula kehidupan mereka di sini lebih terjamin.

Setelah 3 minggu perjalanan, kami tiba di Thessaloniki, Greece. Kami berada di sini selama satu minggu dengan melakukan kerja sukarelawan diketuai oleh seorang rakyat Palestin-Jerman yang berpengaruh.

Beliau sudah membantu beratus keluarga pelarian di sekitar Greece tanpa sebarang organisasi berdaftar. Beliau bekerja secara underground dan saya amat kagum dengan semangat kemanusiaannya. Hats off my brother Mohammed!

Keadaan kem di sini tidaklah berapa teruk dimana mereka tidur di dalam container dan banyak bantuan yang datang dari UN dan EU. Tetapi kesengsaraan mental dan sosial mereka yang sangat membimbangkan. Melihat keadaan anak-anak pelarian yang tidak mengenal huruf, tidak tahu membaca dan menulis.

Di sini kami berjaya membuka satu sekolah untuk mereka di mana saya ditugaskan untuk mengajar asas Bahasa Inggeris. Setelah mengajar, saya akan menemani mereka pulang ke kem dan kadangkala singgah di kedai untuk membeli jajan.

Pengalaman seminggu mengajar, bermain, bergelak ketawa bersama mereka akan menjadi memori indah dalam hidup saya. Berat hati untuk meniggalkan mereka tetapi demi misi yang belum selesai kami teruskan juga.

Baca: ‘See You In Jannah’ Ucap Pelarian Syria Kepada Sukarelawan Malaysia Di Perancis

Kami meneruskan perjalanan dari Thessaloniki, Greece ke negara terakhir dalam pengembaraan iaitu Turki. Sempat bermalam selama 3 hari di Istanbul kami meneruskan perjalanan ke Adana yang terletak di Selatan Turki.

Di Adana ini terdapat ratusan atau ribuan kem pelarian Syria yang dalam keadaan yang menyedihkan. Ribuan rakyat Syria di sini yang tidak dipandang oleh media, badan bantuan, badan sukarelawan malah kehidupan dhaif mereka dibiarkan begitu sahaja.

Pertama kali melihat dengan mata sendiri keadaan kehidupan mereka di kem yang teramat daif membuatkan diri ini terasa jahil. Jahilnya kerana sanggup membiarkan saudara semanusia, seagama, seakidah hidup dalam keadaan begitu.

Dalam cuaca musim sejuk yang suhunya boleh mencapai dibawah paras beku, bayangkan kehidupan mereka di dalam khemah yang tiada pemanas, beralaskan tanah dan berbumbungkan canvas. Ada kejadian di kem di mana bayi meninggal kerana kesejukan.

Makanan seharian mereka adalah roti yang dibuat sendiri, menunggu bantuan tepung jika ada, makanlah mereka. Jika tidak, berlaparlah. Bagaimana pula dengan bayi di sana? Bekalan susu dan pampers? Kami pernah membawa bantuan pampers ke sebuah kem, berebut ibu-ibu sambil mendukung bayi mereka dan ada yang tidak dapat.

Lokasi kem-kem pelarian di sini yang berada di pinggir kampung dan kawasan lapang yang langsung tiada pusat ekonomi untuk mereka bekerja. Ada di antara mereka berjalan berkilometer untuk bekerja di ladang-ladang.

Baca: Jurugambar Dedahkan Di Mana Pelarian Kanak-Kanak Syria Tidur

 

Saya masih berada di Turki. Sekarang saya di kem pelarian Reyhanli di perbatasan Turki-Syria. Lokasi kem yang berdekatan dengan sempadan Syria membuatkan saya berasa agak gementar kerana di dalam perjalanan ke sini sekali-sekala kelihatan jet pejuang di udara.

Tetapi apalah sangat dengan hanya melihat jet pejuang dibandingkan dengan mereka yang rumahnya telah dibom, keluarga dibunuh dan terpaksa melarikan diri berjalan berbatu-batu demi mendapatkan perlindungan.

Kami bergerak secara sendiri, self-organized, self-funded dan di Turki kami berdaftar di bawah badan sukarelawan dari United Kingdom. Selama kami di sini kami dijaga oleh seorang rakyat Syria yang berpengalaman yang juga bekerja dibawah organisasi tersebut sambil dipantau dari UK. Kami adalah sukarelawan tunggal dari Asia.

Buat rakyat Malaysia yang ingin membantu pelarian Syria di sini, bolehlah menghubungi saya. Masih ramai pelarian disini yang memerlukan bantuan. Percayalah, mereka hidup dalam keadaan yang sungguh daif sekali. Mereka memerlukan perhatian kita, kasih kita, waktu kita dan doa kita. Bantulah semampu mungkin walaupun dengan semudah berdoa.

Saya menulis ini dengan satu harapan untuk membuka mata dunia yang ada manusia, raja, pemimpin, orang kaya, orang miskin, lelaki, wanita. Lihatlah manusia sesama kita, tiada bezanya. Yang bezanya adalah hati dan jiwa.

Saya Muhammad Nazim Efendy dan kawan baik saya dari Indonesia, Oce Ocktaman sekarang berada di kem pelarian Syria di Turkey. Saya berharap perkongsian saya ini dapat membuka mata anda.

Kami mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada anda buat pelarian Syria di sini. Anda boleh hubungi saya di akaun Facebook Nazim Efendy untuk sebarang pertanyaan berkaitan.

Terima kasih.

Nazim,
Reyhanli, TR

Baca lagi: Bagaimana Travel Cara Backpacking Dorong 3 Anak Muda Ini Sertai Satu Misi Besar

Artikel di atas disumbangkan oleh Nazim Efendy. Boleh ikuti beliau di sini.