Ada banyak sebab seseorang suka travel. Tapi selalunya untuk berehat dan lari sebentar dari rutin seharian, mencari pengalaman baru di samping menambah kenalan, dan ada juga untuk melihat keindahan sesuatu tempat.

Tapi berbeza pula dengan Afzan Yusuf. Lelaki berusia 41 tahun dan sangat meminati sejarah Nusantara ini mengembara kerana misi berbeza. Afzan telah ke Pulau Jawa, Indonesia selama sebulan bersama 2 rakan untuk menjejaki lokasi bersejarah di sana.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menurut Afzan, “Misi asal kembara ini sebenarnya untuk melawat tinggalan sejarah di sepanjang laluan yang telah dikenal pasti seperti candi-candi lama, lokasi bersejarah, beberapa buah makam dan muzium tetapi setelah 2 rakan lain ingin turut serta, misi perjalanan turut ditambah dengan berjumpa beberapa tokoh dan lawatan ke pesantren kaligrafi yang terdapat di sepanjang laluan. Kerana itu moto kembara kami ialah ‘Dari Candi Ke Pesantren'”.

afzan-yusuf-2
Hari ke-18: Ambarawa. Aku di Museum Keretapi Ambarawa.
afzan-yusuf-10
Poster kembara

Ikuti temubual kami bersama beliau di bawah:

Vocket: Apakah yang mendorong Afzan untuk ke lokasi bersejarah di Indonesia?

Afzan: Sebagai seorang pencinta dan aktivis sejarah, membaca kisah dan penceritaan sejarah sahaja tidak cukup. Saya merasakan ada keperluan untuk membuat tinjauan ke atas lokasi bersejarah ini.

Lawatan tapak selalunya memberi perspektif yang berbeza seperti bentuk muka bumi, gaya hidup masyarakat setempat, hubungan lokasi tapak dengan lokasi penting lain, bahasa pertuturan dan sebagainya. Saya dapati lokasi seperti Trowulan dan Yogyakarta amat unik dan istimewa sekali.

Vocket: Ada peta route atau laluan yang dilakukan sepanjang sebulan travel ini? Jika ada boleh kongsikan?

Afzan: Saya telah melakukan kajian route ini selama beberapa bulan untuk memastikan perjalanan lancar dan memaksimakan lokasi yang boleh dilawati. Route perjalanan bermotosikal kami ialah:

Kudus – Jepara – Banyumanis – Rembang – Lasem – Tuban – Paciran – Lamongan – Mojokerto – Trowulan – Sidoarjo – Lawang – Malang – Batu – Pare – Kediri – Blitar – Gunung Kelud – Tulungagung – Trenggalek – Pacitan – Yogyakarta – Selo – Ambarawa – Gunung Unggaran – Semarang – Kudus. Dari Kudus saya menaiki kereta api ke Jakarta ditemani Ali Gaban.

Vocket: Afzan travel berapa orang untuk trip kali ini?

Afzan: Asalnya saya bercadang untuk travel solo seperti biasa, tetapi saya merasakan pengembaraan kali ini ada baiknya berteman. Seorang pemuda hipster bernama Zaini Raif mahu turut serta dan seminggu sebelum bertolak, Ali Gaban juga nak ikut. Bertigalah kami akhirnya.

afzan-yusuf-9

afzan-yusuf-4
Hari ke-5: Tuban. Para pengunjung sedang menuju ke Makam Sunan Bonang di Tuban. Pada hari itu dijangka 70,000 pengunjung bakal hadir di sini. Pagi itu lebih 40 buah bas sudah sampai. Dikhabarkan, lagi gelap malam, lagi ramai yang datang.
afzan-yusuf-5
Hari ke-7: Trowulan. Candi Gentong A.
afzan-yusuf-3
Hari ke-11: Petilasan Sri Adji Jayabaya, Kediri. Petilasan ini dikatakan tempatnya Raja Kediri yang paling terkenal dan amat mistis iaitu Raja Sri Adji Jayabaya ‘moksa’… bukan suatu kematian. Saban tahun, pada tanggal 1 Suro atau 1 Hijrah, penganut kepercayaan Kejawen akan berkumpul di Petilasan ini untuk mengadakan upacara keagamaan. Sri Adji Jayabaya memerintah Kediri antara tahun 1135 hingga 1157 Masihi. Penguasa Kediri yang ke-4 yang bersemayam di Panjalu, di zaman beliaulah Kerajaan Kediri dan Jenggaluh disatukan kembali setelah dipisahkan oleh Airlangga pada tahun 1042 Masihi. Kakawin Bhāratayuddha yang terkenal ditulis oleh Mpu Panuluh pada zaman ini juga. Sri Adji Jayabaya sebenarnya terkenal dengan gelaran Nostradamus Jawa kerana ramalan-ramalan beliau yang menjadi kenyataan. Ada kitab yang dikeluarkan di zaman Kesultanan Mataram berkaitan hal ini. Apakah ramalannya? Cerita panjang di www.afzanyusuf.com bakal menyusul nanti.

Vocket: Bagaimana pula dengan jenis kenderaan yang digunakan. Adakah hanya bermotosikal atau ada naik kenderaan lain juga sepanjang trip hampir sebulan ini?

Afzan: Sepanjang perjalanan, kami hanya menggunakan motosikal Honda Vario kerana lebih mudah untuk mengakses lokasi tujuan dan mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Vocket: Sebelum trip ke Indonesia, Afzan juga telah menjejaki lokasi bersejarah di negara lain. Di negara manakah itu? Boleh kongsikan secara ringkas?

Afzan: Tumpuan kembara saya buat masa ini lebih tertumpu kepada negara-negara ASEAN. Antara negara yang telah saya lawati ialah Indonesia, Cambodia, Laos, Thailand, Singapura, Vietnam, Brunei, Taiwan dan UAE. Hampir kesemuanya bertemakan sejarah, budaya dan keindahan alam.

Vocket: Adakah misi dan trip kali ini berjaya mencapai objektif Afzan?

Afzan: Alhamdulillah, misi tercapai walaupun berdepan beberapa insiden di dalam pengembaraan.

Vocket: Ada pengalaman cemas atau ngeri yang ingin di kongsikan?

Afzan: Selain daripada kejadian ‘near-miss’ sewaktu menunggang motosikal yang sudah menjadi kebiasaan harian di jalanan, peristiwa cemas yang saya lalui ialah ketika kehilangan 80% wang tunai, pasport, geran asli motosikal dan kad ATM pada hari ke-5 perjalanan.

Masalah ini tidak menganggu jadual perjalanan secara keseluruhannya walaupun ada sedikit kekecewaan dalam diri. Zaini dan Ali ada mengalami peristiwa cemas apabila brek motosikal mereka tidak berfungsi ketika menuruni lereng Gunung Unggaran dan hanya menggunakan kaki untuk memperlahankan motosikal mereka.

Alhamdulillah, sebelum masuk ke jalan besar, mereka sempat membelok ke sebuah parkir dan berjaya memberhentikan motosikal tersebut di celah-celah bas yang diparkir di situ.

Vocket: Bagaimana pula pengalaman manis?

Afzan: Pengalaman manis sudah pastinya bertemu dengan Pak Kalend Osen, seorang aktivis Bahasa Inggeris yang memulakan kursus asas Bahasa Inggeris (BEC) di Pare berpuluh tahun yang lalu.

Kini terdapat sekitar 200 kursus Bahasa Inggeris ini di Desa Tulungrejo Desa Pelem. Beliau adalah pengasasnya! Bertemu beberapa teman di Karangploso dan Trowulan juga mengujakan saya.

Vocket: Pengalaman lain, mungkin kejadian lucu jika ada?

Afzan: Suasana Petilasan Hayam Wuruk begitu mistik sekali kerana kedudukannya dan bau wangian setanggi yang menusuk hidung. Petilasannya amat gelap dan di dalamnya ada payung besar, potret Hayam Wuruk serta bekas kemenyan.

Saya mengambil beberapa keping gambar di dalam petilasan itu dan beredar secepat mungkin tetapi apabila dirujuk kembali, gambar-gambar itu telah hilang daripada kamera. Seram sejuk saya dan Zaini dibuatnya.

Sepanjang perjalanan tiada sepatah perkataan pun yang terucap. Hanya ketika berada di Petilasan Tribuana Tunggadewi baru saya sedar, gambar-gambar itu diambil menggunakan telefon bimbit dan bukannya kamera. Saya menjadi bahan jenaka sehari suntuk. Namun, tidaklah saya nak masuk Petilasan Hayam Wuruk itu sekali lagi!

afzan-yusuf-8
Hari ke-5: Tuban. Ali dan Zaini di Alun Alun Kota Tuban yang panas lit lit.
afzan-yusuf-6
Day 08: Pasuruan. Candi Gunung Gangsir outskirts of Sidoarjo, near the neighbourhood.

Vocket: Berapa lama masa diambil untuk merangka route bagi trip kali ini?

Afzan: Route perjalanan mengambil masa 3 bulan untuk disiapkan. Semuanya bergantung di mana ada insan yang sanggup menyewakan motosikal kepada kami. Mendapatkan motosikal untuk disewa dalam tempoh masa yang lama adalah masalah utama kami.

Vocket: Dari segi penginapan, adakah tinggal di hotel / hostel atau ada masa tinggal di rumah kenalan dan penduduk tempatan?

Afzan: Saya ada menginap di hostel di Kota Tua, Jakarta. Namun, sepanjang perjalanan bermotosikal saya hanya menginap sama ada di rumah kenalan atau hotel bajet.

Vocket: Apakah pengajaran atau perkara positif yang diperolehi daripada trip kali ini?

Afzan: Banyak pengajaran yang saya dapat dalam pengembaraan ini. Antara yang berbekas di hati ialah kesantunan dan peri laku orang Jawa yang amat mesra dan amat membantu sepanjang perjalanan ini.

Seperkara lagi, adalah pentingnya berfikiran positif dan mencari solusi jika berhadapan dengan saat sukar seperti ketika saya kehilangan wang dan dokumen penting seperti yang dinyatakan sebentar tadi.

Pesanan buat pembaca

Pesanan saya, buatlah sedikit bacaan dan kajian ringkas tentang sejarah dan lokasi yang hendak dituju. Sekurang-kurangnya anda tahu apa yang anda perlu lihat dan ambil tahu apabila tiba di lokasi bersejarah tersebut. ​

Seperkara lagi, jangan lupa ambil insurans perjalanan.

afzan-yusuf-1
Kembara JatengTim 2017. Hari ke-25: Museum Wayang, Kota Tua. Bangunan tinggalan Belanda yang kini menjadi Museum Wayang.
afzan-yusuf-7
Day 08: Mount Penanggungan. Me and Candi Jolotundo.

Buat anda yang ingin membaca kisah kembara Afzan dengan lebih lengkap termasuk bagaimana beliau hilang pasport sewaktu trip ini, layari website afzanyusuf.com dan Instagram SoulloBackpackerz. Buat Afzan, terima kasih dan teruskan berkongsi kisah kembara sejarah anda.