Nota Editor: Catatan Kembara Trans Afrika ini telah dikongsikan oleh Bijan M Baki, ekslusif di Vocket. Kami ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau  yang telah melalui pengembaraan Trans Afrika ini bersama sahabat beliau Kim Eng dan Sim Poh Chuan.  Semoga catatan ini turut memberi inspirasi kepada anda untuk keluar mengembara dan melihat indahnya dunia ciptaan tuhan yang Esa.

bijan-1

Pondok yang didiami oleh kebanyakan penduduk di Malawi. Kebiasaannya tingkap-tingkap hanya ditutupi kain tanpa cermin tanpa kemudahan elektrik dan air.

Maka tamat sudah perjalanan tanpa perancangan aku ke Benua Afrika.
Perjalanan yang membawa aku merentasi 11 negara selama 6 bulan. Bermula dari London ke Sepanyol ke Mesir ke Sudan kembali ke Mesir akibat kegagalan mendapatkan visa Ethiopia.

Memaksa aku bangun dari kekecewaan untuk melihat keunikan Ethiopia, lalu mengubah perancangan asal dan terbang terus ke Kenya, kemudian kembali meneruskan perjalanan darat ke Tanzania menuju Malawi, Zambia, Zimbabwe, Botswana, Namibia dan akhirnya Afrika Selatan.

Baca: Road Trip Keliling Dunia, Gadis Malaysia Ini Berkongsi Kisah Tersekat Di Sudan

bijan-3

Mula – mula tengok, aku hairan kenapa kanak – kanak ni tarik tali dari arah tasik. Berat sangat nak tarik dari air macam tu. Rupanya diorang tengah menarik pukat ikan yang sangat besar. Sekarang aku faham kenapa kaum lelaki di Malawi kebanyakkan berbadan sasa.

Aku merentas lebih dari 15,000 km dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan. Dari Garisan Sartan yang terletak di bahagian utara bumi ke garisan lintang Khatulistiwa yang terletak di latitud 0˚, garisan tengah yang membahagikan bumi kepada 2 hemisfera.

bijan-5

Merentasi Tropic of Capricorn (Garisan Jadi) di Namibia

Aku meneruskan perjalanan menuju ke selatan dan merentas garisan Jadi di Namibia. Menandakan aku semakin hampir di penghujung perjalanan, semakin menghampiri destinasi terakhir.

bijan-11

Di Kyela, Mbeya, Tanzania.

Dari musim sejuk di London dan Sepanyol, aku kemudian merasai kepanasan gurun Sahara di Sudan. Meneruskan perjalanan ke Tanzania dan Malawi, aku kembali merasai iklim Khatulistiwa. Pokok-pokok rendang menghijau di sepanjang perjalanan mengingatkan aku pada kampung halaman di Malaysia.

bijan-7

Sangat meningatkan aku pada kampung halaman. Rasa macam berada di Malaysia. Bezanya, penduduk tempata berkulit hitam je.

bijan-6

Jalan raya di Namibia di bahagikan kepada beberapa gred. Gred A dan B merupakan jalan yang berturap dan hanya terdapat 2 jalan gred A dan B di Namibia. Manakala jalan di dalam gambar adalah gred C yang berbatu tapi lebih elok dari jalan gred D dan E.

Tiada kemudahan kenderaan awam menghubungkan kawasan terpencil di Namibia. Pilihan terbaik adalah menyewa 4×4 untuk menjelajah Namibia, menjadikan ia salah satu negara termahal untuk dilawati di Afrika.

Semakin jauh ke selatan, semakin sejuk cuaca yang aku alami, akhirnya aku kembali berjaket tebal di Namibia hingga ke Afrika Selatan yang mengalami musim sejuk bermula dari bulan May.

Aku mempelajari bahasa baru hampir setiap bulan. Dari bahasa Spanish di Sepanyol ke bahasa Arab di Mesir dan Sudan. Swahili di Kenya dan Tanzania, bertukar ke Chichewa di Malawi, Tonga di Zambia, Shona di Zimbabwe, Setswana di Botswana dan Afrikaans di Namibia dan Afrika Selatan.

bijan-9

Penduduk di kepulauan Zanzibar di Tanzania adalah beragama Islam. Sangat mesra walau mungkin kakak kat sebelah tu tak pasti itu kamera betul atau kamera mainan.

Dari Hello ke Hola di Sepanyol. Belum puas memberi salam di Mesir dan Sudan aku bertukar sapaan ke hujambo di Tanzania, mo-ni muli-mwanji menjadi pembuka kata di Malawi.

bijan-17

Sebelum sampai ke benua Afrika ni, aku fikir Afrika ni murah je. Maklum la tak buat research apa pun, main redah je. Aku agak mungkin ala-ala sama dengan Asia. Masa sampai kat Egypt, memang terbukti murah. Tu yang boleh duduk kat Egypt sampai dekat 2 bulan tu. Dah la air jus Egypt sangat lazat, murah pulak tu. Bila masuk Sudan, wah tak menahan sikit punya mahal.

Bila merancang safari kat Serengeti ni, mula-mula macam takleh nak hadam harganya. Tapi lepas tu, takpe la sekali seumur hidup.

Bertanya khabar adalah perkara biasa di Afrika, rata-rata orang yang aku temui tidak kira ketika di kedai membeli makanan, di pasar – pasar, konduktor bas, pemandu teksi dan sesiapa saja akan bertanya khabar dan bertanyakan kembali keadaan mereka adalah umpama satu pujian yang sangat menggembirakan mereka.

bijan-20

Kami pergi budget camping trip je ke Serengeti. Itupun kena beratus-ratus USD jugak seorang. Mula-mula kami tak nak pun pergi safari sebab budget terhad. Bila orang tanya, jawapan sentiasa ‘no money for safari’.

Tapi dalam perjalanan dari Nairobi ke Arusha, pemandangan teramat la cantik. Kena pulak Godwin (tour guide kami) tunjuk gambar-gambar safari dia, terkesan jugak kat hati nak pergi.

bijan-21

Masa berbincang meja bulat dengan Kim dan Sim, arguement Sim memang bole diterima pakai. Sim cakap disebabkan kita dah skip Ethiopia dan tak buat apa-apa pun kat Kenya, kita dah save banyak duit. Jadi sangat afdallah jika kita leburkan segala duit yang ada dengan pergi berfoya-foya bersafari bagai.

Belum pun sempat nak menghafal kadar tukaran wang aku sudah bertukar ke matawang baru. Dari Euro ke Egyptian Pound ke Sudanese Pound ke Kenyan Schilling ke Tanzanian Schilling ke Malawian Kwacha ke Zambian Kwacha.

Dikejutkan pula dengan kepupusan matawang Zimbabwean Dolar yang kini berurusan dengan American Dolar. Kembali ke matawang tempatan yang di panggil Pula di Botswana, Dolar di Namibia dan Rand di Afrika Selatan.

bijan-8

Kebanyakkan kenderaan awam di Afrika adalah van-van yang digunakan sebagai bas mini. Masa kat Zanzibar, lori-lori yang digunakan sebagai kenderaan awam. Bahagian belakang di letak kerusi panjang di kiri kanan dan bumbung rendah. Bahagian atas bumbung menjadi tempat meletak kargo.

Dari sistem pengangkutan awam yang efisyen di Sepanyol ke jalan raya hiruk pikuk dan bas-bas mini yang sentiasa padat di Kaherah. Aku juga berpeluang menggunakan perkhidmatan Metro di Kaherah yang sangat murah, hanya EGP1 (RM0.50) untuk satu perjalanan.

Menaiki bas ekspres buat kali pertama di Mesir untuk perjalanan dari Kaherah ke Siwa memberikan satu pengalaman baru buat aku, berkongsi bas dengan hampir kesemua penumpang adalah lelaki Arab dari suku Badwi terasa agak menggentarkan, diperhatikan dari atas ke bawah oleh mereka.

bijan-4

Kanak – kanak di Afrika selalunya akan meloncat riang bila nampak orang asing. Tak kira bangsa, semua akan di jerit dengan panggilan ‘mzungu’ yang bermaksud orang putih. Semua orang asing pada mereka adalah ‘mzunggu’. Memang mereka semua berkaki ayam. Kalau kanak – kanak memang pasti berkaki ayam, orang dewasa segelintir pun berkaki ayam di mana – mana.

Bas juga akan berhenti beberapa kali untuk diperiksa oleh tentera-tentera Mesir. Berulang kali turun naik supaya mereka boleh memeriksa beg-beg yang disumbat dibawah bas, demi memastikan tiada senjata mahupun alcohol di bawa bersama.

bijan-18

The West Bank – this must be the pharaoh playground

Passport yang selalunya disimpan di tempat tersembunyi, kini hanya disimpan di poket agar mudah untuk aku tunjukkan kepada tentera-tentera yang kerap kali datang memeriksa.

bijan-19

Kuil Karnak, Mesir

Bermula dari Tanzania aku berhimpit-himpit pula menaiki van yang digunakan sebagai bas mini. Sebaris kerusi diduduki hingga 4 atau 5 penumpang. Yang paling merisaukan adalah apabila aku dalam perjalanan dari sempadan Malawi menuju ke Bandar terdekat, Mzuzu.

Sudahlah berhimpit di dalam van yang disumbat dengan seramai-ramai penumpang, dibahagian kaki pula dipenuhi dengan tong-tong berisi petrol/diesel. Betapa risaunya aku andai kata perkara buruk terjadi, pasti kami terbakar hangus tanpa sempat menyelamatkan diri.

bijan-13

Penduduk kampung di Nhotakhota berkumpul di tepi tasik untuk membahagikan hasil tangkapan. Sejak beberapa tahun ni, ikan di Tasik Malawi semakin menurun akibat aktiviti menangkap ikan yang tak terkawal. Yang tinggal hanya anak-anak ikan yang di bahagi sama rata antara mereka. — di Nkhotakota, Malawi.

Aku menyelusuri Tasik Malawi dengan salah satu dari dua ferry yang mneghubungkan pulau-pulau kecil di Malawi dan Mozambique. Ferry yang memulakan perjalanan dari selatan menuju ke utara tasik, perjalanan yang memakan masa seminggu, membawa keperluan penting untuk penduduk yang mendiami pulau-pulau terpencil ini.

bijan-14

Setiap orang hanya dapat seplastik ikan kecil. Bagaimana kita tidak insaf bila melihat suasana macam ni? — di Nkhotakota, Malawi.

Memandangkan aku hanyalah pengembara berbajet terhad, aku memilih tiket paling murah dan duduk dicelah-celah binatang ternakan dan ikan-ikan yang telah dikeringkan di bahagian kargo.

Kami menunggu hampir 5 jam dari subuh hari hingga hampir tengahari untuk ferry ini siap memunggah barangan kargo dibantu penduduk tempatan, memandangkan mereka tidak mempunyai kemudahan jetty, sebaliknya menggunakan tenaga empat kerat untuk mengangkut kargo ke dalam ferry.

Baca: Travel Hampir Setahun, 2 Gadis Berkongsi Kisah Suka Duka Pengembaraan Mereka

bijan-12

Di Nkhata Bay

Kami menaiki bas-bas ekspres berkerusi lima untuk perjalanan sepanjang di Tanzania hingga ke Zambia, memaksa kami duduk tegak sambil berhimpit dengan penduduk tempatan. Kami juga buntu mencari jalan untuk merentasi sempadan Botswana dan Namibia.

Prinsip aku, selagi ada penduduk tempatan di kawasan tersebut, pasti ada cara untuk kita bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Akhirnya aku memilih untuk menaiki bas hingga ke bandar terdekat di sempadan Botswana, kemudian hitchhike merentasi gurun Kalahari yang terbentang luas menuju ke Windhoek, ibu negara Namibia.

bijan-22

Di Ngorongoro Crater National Park

Namibia dan Botswana adalah 2 negara yang mempunyai jumlah penduduk paling rendah, hanya sekitar 3 juta orang sahaja. Kebanyakkannya pula memilih untuk tinggal di bandar-bandar besar. Untuk menumpang kendaraan yang menuju kearah yang sama seperti aku adalah sangat sukar dan mengambil masa yang lama.

Kami menyaksikan keindahan tamadun Islam di bumi Andalusia dan tinggalan Firaun serta jejak jejak para anbiya di bumi Mesir. Aku hanya mampu berdiri di tepi Laut Merah, memandang sayup-sayup gunung-ganang di bumi Saudi yang tidak dapat aku jejaki ketika di Dahab.

bijan-10

Lelaki tu adalah dari suku kaum Maasai yang mendiami bahagian utara Tanzania hingga ke selatan Kenya. Mereka adalah pengembala lembu yang hebat, mampu memiliki hingga 1000 ekor lembu.

Melihat dengan mata kepala sendiri keunikan suku-suku kaum di negara-negara Afrika ini. Kehebatan kaum Maasai yang merupakan pengembala lembu yang hebat, yang bangga mengenakan pakaian tradisi mereka di mana-mana.

bijan-2

Kaum wanita di Afrika mengendong bayi-bayi mereka dengan melilitkan kain ke badan.

Kehebatan wanita Afrika yang mengendong bayi-bayi mereka dengan hanya melilit sehelai tuala di badan mereka. Melihat bagaimana kemiskinan dan kekayaan membentuk kehidupan mereka.

Betapa hebat dan uniknya Benua Afrika ini. Bahagian dunia yang sering dimomokkan dengan penduduk yang ganas dan bahaya, penyakit-penyakit merbahaya yang sukar diubati, rupanya sangat kaya dengan pelbagai tradisi dan keindahan alam serta penduduk yang ramah dan mesra.

bijan-15

Di Victoria Falls, Zimbabwe.

Bagaimana aku mampu berkongsi segala 1001 pengalaman yang hebat ini dengan hanya satu artikel pendek? Betapa dunia ini sangat luas, sangat kaya dengan bermacam-macam perkara, menanti untuk diterokai oleh kita.

Baca lagi: Setelah Setahun Travel, Gadis Ini Berkongsi Rahsia Bagaimana Beliau Menabung

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram