Sehingga tahun 2015, seramai 365,577 orang OKU telah didaftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM). Jumlah ini sebenarnya tidak melambangkan jumlah sebenar OKU di Malaysia. Ini kerana OKU tidak diwajibkan mendaftar, dan dibuat atas dasar sukarela.

Namun begitu, tahukah anda terdapat pelbagai kemudahan dan keistimewaan yang disediakan oleh pihak JKM kepada OKU berdaftar?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kemudahan & keistimewaan OKU berdaftar

Antaranya:

1. Bantuan am
2. Elaun pekerja cacat
3. Geran pelancaran
4. Bantuan alat tiruan/ sokongan
5. Pusat pemulihan dalam komuniti
6. Institusi penjagaan dan pemulihan JKM
7. Bengkel terlindung
8. Pendaftaran dan pengeluaran kad kenal diri OKU
9. Khidmat nasihat dan kaunseling
10. Bantuan bagi OKU yang tidak berupaya (BTB).
11. Bantuan penjagaan OKU terlantar (BPOKUT).
12. dan, Keistimewaan lain seperti pengecualian cukai.

Untuk maklumat lanjut, sila lihat PAUTAN.

Selain itu pendaftaran OKU adalah amat digalakkan kerana ia membantu pihak JKM mencapai beberapa objektif.

Objektif

1. Mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di negara ini bagi maksud merancang program berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi, latihan serta perkhidmatan.

2. Merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU.

3. Membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian menurut keperluan berdasarkan tahap kefungsian / ketidakupayaan mereka.

Sebelum saya menerangkan tentang prosedur pendaftaran OKU, ada baiknya anda fahami dulu definisi OKU.

Definisi OKU

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008: OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

Kategori OKU

Terdapat 7 kategori OKU yang boleh dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), iaitu:

oku

1. Kurang Upaya Pendengaran

Tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan pendengaran.

2. Kurang Upaya Penglihatan

Tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad di kedua-dua belah mata walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan seperti cermin mata atau kanta sentuh.

3. Kurang Upaya Pertuturan

Tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi dengan sempurna dan tidak boleh difahami oleh mereka yang berinteraksi dengannya.

Keadaan ini adalah kekal atau tidak akan sembuh. Bagi kanak -kanak mestilah berdasarkan penilaian pada umur lima tahun ke atas.

4. Kurang Upaya Fizikal

Ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan atau tiada suatu anggota atau ketidakupayaan di mana-mana bahagian badan yang mengakibatkan mereka tidak dapat melakukan aktiviti asas seperti penjagaan diri, pergerakan dan pertukaran posisi tubuh badan.

5. Masalah Pembelajaran

Masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikal.

Mereka yang tergolong dalam kategori ini adalah lewat perkembangan global, Sindrom Down, dan kurang upaya intelektual.

Kategori ini juga merangkumi keadaan yang menjejaskan kemampuan pembelajaran individu seperti Autisme (Autistic Spectrum Disorder), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran spesifik seperti (Dyslexia, Dyscalculia dan Dysgraphia).

6. Kurang Upaya Mental

Keadaan penyakit mental yang teruk yang telah diberi rawatan atau telah diberi diagnosis selama sekurang-kurangnya dua tahun oleh Pakar Psikiatri.

Akibat daripada penyakit yang dialami dan telah menjalani rawatan psikiatri, mereka masih tidak berupaya untuk berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat.

7. Pelbagai (Multiple Disabilities)

Kurang Upaya Pelbagai (Multiple Disabilities)- mempunyai lebih daripada satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak sesuai diklasifikasikan dalam kategori satu hingga enam.

Seterusnya, kepada maklumat utama.

Langkah-langkah pendaftaran

1. Muat turun borang Borang Permohonan Pendaftaran Orang Kurang Upaya BPPOKU (Pindaan 1/2012). Sila lihat PAUTAN.

2. Isi maklumat di Bahagian A & B.

3. Serahkan BPPOKU kepada doktor yang merawat.

Doktor akan mengisi Bahagian D, E, F, G, H, I, J dan K. Setelah itu borang akan diserahkan kembali kepada pemohon.

Bagi masalah kurang upaya mental, ia perlu diisi oleh doktor psikiatri.

4. Serahkan BPPOKU yang sudah dilengkapkan berserta dokumen sokongan seperti salinan sijil kelahiran atau Kad Pengenalan dan 4 keping gambar berukuran passport, ke mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian.

5. Proses pendaftaran dan pengeluaran kad OKU mengambil masa 1-3 bulan.

Tambahan

Walaupun OKU tidak diwajibkan berdaftar, ada beberapa perkara yang menyebabkan OKU perlu mendaftar pada JKM.

Contohnya; tanpa kad OKU, OKU tidak boleh memohon lesen memandu OKU dan mendapat kelulusan pengubahsuaian kenderaan OKU daripada Jabatan Pengangkutan Jalan.

Kempen pendaftaran OKU

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengadakan Kempen Pendaftaran OKU pada 10 Oktober 2016 (hari ini), bermula jam 8 pagi di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Jika ada ahli keluarga atau rakan kurang upaya yang masih belum mendaftar sebagai OKU, boleh datang ke HRC. JKM akan buka kaunter pendaftaran dan pertanyaan.

oku-02

oku-berdaftar

Pautan

1. Muat turun BPPOKU: Sini

2. Keistimewaan dan kemudahan untuk OKU berdaftar: Sini

3. Faedah kepada OKU berdaftar: Sini

Ikuti saya jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang prosedur pendaftaran lesen memandu OKU dan permohonan pengubahsuaian kenderaan OKU.

Anda juga boleh mengikuti Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan di #MedTweetMY.