Baru-baru ini kecoh di ruangan media sosial apabila Ismail bin Mail atau nama timangannya Mail yang merupakan rakan kepada Upin dan Ipin dalam siri animasi popular itu sebenarnya mempunyai seorang abang.

Buat anda yang tidak mengikuti animasi ini, Mail selalunya dianggap sebagai anak tunggal kerana beliau selalu menolong ibunya berniaga seorang diri tanpa pertolongan adik beradik yang lain.

Video berdurasi 41 saat itu mendapat perhatian ramai terutamanya para peminat apabila Mail memperkenalkan abangnya, Izham ketika didatangi kawan-kawannya sewaktu berniaga di pasar.

Bagaimanapun, menurut laman Upin Dan Ipin Fandom, Mail sebenarnya memang dinyatakan mempunyai seorang abang, namun ini mungkin kali pertama beliau membuat kemunculan secara langsung dalam animasi berkenaan.

Bukan sahaja muncul dengan abangnya secara tiba-tiba, Mail dalam episod kali ini juga menjual keropok rumpai laut, berbeza dengan kebiasaannya apabila dia hanya menjual ayam goreng.

Rata-rata netizen yang menonton video tersebut pada mulanya terkejut akan informasi baharu tersebut namun mereka tetap memberi tindak balas positif akan perkongsian video tersebut.

‘Baru tahu Mail ada abang’

“Wow setelah bertahun-tahun menonton siri Upin dan Ipin, tak tahu pun yang dia ada abang? Watak lain pun tidak pernah tunjuk yang mereka mempunyai adik beradik,” komen netizen.

Perkara ini bukan sahaja telah mendapat tindak balas yang positif dari netizen, malah mereka turut berasa teruja untuk melihat watak abang Mail di dalam salah satu episod baharu Upin dan Ipin.

Bukan itu sahaja ada juga netizen yang meninggalkan komen di mana mereka lebih gemar abang Izham ditakdirkan dengan Kak Ros, iaitu kakak kepada Upin dan Ipin.

“Nanti abang Mael mesti akan kahwin dengan Kak Ros,” luah netizen.

“Saya dapat rasakan yang pasti ada seseorang yang menulis mengenai abang Iz dan kak ros,” kata netizen.

Setakat ini masih belum diketahui sama ada penampilan watak abang Izham tersebut akan terus muncul di dalam siri animasi Upin dan Ipin ataupun tidak.

Tetapi perkembangan terbaru dan penambahan watak ini sudah semestinya akan menambahkan lagi kemeriahan dalam siri animasi popular kegilaan rakyat Malaysia ini.

Pasti akan lebih banyak adegan-adegan lucu dan mencuit hati yang akan berlaku dengan kemunculan abang kepada Mail ini jika ianya dikekalkan dalam siri animasi ini.

Baca juga perkongsian kami sebelum ini mengenai Les Copaque yang menghasilkan videp permohonan maaf Fizi terhadap Upin dan Ipin. Baca lebih lanjut pada pautan di bawah.

Les’ Copaque Hasilkan Video Khas Permohonan Maaf Fizi Kepada Upin Dan Ipin

Animasi Dari Indonesia Tiru Upin Dan Ipin?