Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Semalam kecoh apabila Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing mengeluarkan kenyataan kontroversi terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang dikatakan “takut mati” kerana tidak turun padang ke Sabah untuk memantau situasi semasa COVID-19 di sana.

Kenyataan yang dibuat Tiong di sidang Dewan Rakyat pada malam semalam bukan sahaja menimbulkan kekecohan dan menyaksikan pertikaman lidah antara ahli parlimen namun turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat selepas ianya dibuat.

Tidak mahu kenyataan tersebut terus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham pada sidang media petang semalam dengan tenang menjawab perkara berkenaan.

Beliau menjelaskan telah turun padang ke Sabah pada pengakhiran Ogos lalu untuk melihat kesiap-siagaaan pihak kementerian kesihatan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini.

Malah timbalannya Dr. Chong Chee Kheong juga telah ke Sabah pada minggu lalu selain Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, penasihat khas kepada perdana menteri mengenai kesihatan awam turut turun padang pada dua minggu yang lalu.

Tiada isu takut mati

Mengulas mengenai kenyataan terdahulu yang mengatakan beliau ‘takut mati’, Dr Noor Hisham menjelaskan tiada isu mengenai perkara itu dan membacakan sebahagian ayat al-Quran.

“Jadi tidak timbul isu yang kita takut mati, kalau kita lihat –membaca potongan ayat al-Quran– kita sebagai orang Islam kita terima kematian itu di mana-mana akan berlaku, bukan hanya turun padang atau tidak.

“Apa yang penting adalah kita pasangkan niat kita untuk melaksanakan tugas kita dan niat kita adalah untuk memutuskan rantaian COVID-19 dalam negara kita. dan inilah tujuan utama untuk kita,” katanya dalam sidang media itu.

Tambah beliau lagi, mereka juga terbuka kepada perselisihan pendapat tetapi apa yang penting ketika ini adalah untuk memutuskan jangkitan COVID-19 dan mengelakkan peningkatan kes serta kadar kematian di negara ini.

Ahli parlimen berkenaan bagaimanapun dalam satu laporan yang terbit di Malaysiakini pada tengah malam tadi menjelaskan dia tidak mempunyai niat jahat terhadap Dr Noor Hisham.

Sebaliknya, kenyataan itu menurutnya adalah untuk mengetengahkan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kelemahan kerajaan dalam memberikan respons terhadapan penyebaran COVID-19.

Turut tidak ketinggalan memberikan reaksi mengenai perkara itu juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Melalui ciapannya di Twitter, beliau juga berharap agar kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli parlimen Bintulu itu ‘bukan maksud sebenar beliau’.

Selain memuji usaha yang dilakukan ketua pengarah kesihatan itu, beliau juga dalam ciapannya turut berkongsikan kisah Sahabat Nabi SAW, Abu Ayyub al-Ansari radhiallahu ‘anhu ketika Muslim berperang dalam rangka menawan kota Konstantinopel.

Berdasarkan kisah berkenaan, itulah semangat yang dimiliki oleh ketua pengarah kesihatan dan keseluruhan petugas barisan hadapan jelasnya.

“Tak ada apa-apa yang boleh mengganggu fokus kita dalam usaha ini.

“Justeru, tidak timbul isu ‘takut mati’,” kongsinya.

Anda boleh membaca perkongsian penuh beliau mengenai kisah sahabat itu melalui pautan di bawah.

Baca juga jawapan Dr Noor Hisham sebelum ini mengenai dakwaaan oleh rakyat Malaysia di London yang mengatakan hospital kita serba kekurangan melalui pautan di bawah. 

Dakwa Hospital Kerajaan ‘Serba Kurang’, Kenyataan Rakyat Malaysia Di London Ini Undang Perhatian DG Hisham

‘Sapu Air Matamu, Bangkit Dan Terus Berjuang’- Pesan Dr Noor Hisham Buat ‘Frontliners’

Mufti Gesa KKM Pastikan Vaksin COVID-19 Berkesan, Selamat Dan Halal

Anda Mungkin Suka