Semasa kami merancang perjalanan kembara ke wilayah Balkan, kami mendapat berita promosi tiket penerbangan murah dari Belgium ke Jordan.

Jadi, kami membuat keputusan untuk merebut promosi tiket tersebut, lalu menyusun perjalanan kami dari wilayah Balkan sehingga ke Belgium sebagai destinasi terakhir pengembaraan kami selama 27 hari.

Kerana ingin meminimumkan perbelanjaan, kami bergilir diantara tidur di hostel dan juga tidur di stesen bas apabila mengambil perjalanan malam, terutama di negara Eropah tengah yang begitu mahal kos perbelanjaannya.

Tetapi, kami juga mengambil kira soal keselamatan, dengan memastikan stesen bas atau kereta api yang menjadi tempat kami berteduh selesa dan selamat kerana semasa di negara Eropah Tengah cuaca mula sejuk.

Pada jam 4 pagi kami tiba di destinasi terakhir kembara kami di stesen bas Brussels setelah melalui perjalanan selama 8 jam dari Frankfurt. Suasana agak sunyi dan hari masih gelap.

Baca: Pengalaman Cemas Lelaki Ini Dan Rakannya Diculik Dan Dirompak Sehari Lepas Tiba Di Vietnam

pengalaman-disamun-ketika-mengembara-2

Kami berlegar-legar di sekitar stesen bas itu, bagi mencari tempat untuk berehat sementara menunggu waktu subuh dan hari mulai terang. Kami memilih untuk berehat di tempat duduk yang terdapat ramai orang di situ.

Kelihatan juga beberapa pengunjung lain yang tidur dan berehat juga di sekitar stesen itu.

Setelah itu, dua orang daripada kami mengambil peluang untuk berehat seketika di kerusi setelah merasakan tempat itu selamat. Sementara saya pula berjaga kerana ingin menunggu waktu subuh sambil menghubungi keluarga bagi bertanya khabar ibu saya di tanah air.

Sedang saya leka berborak di talian, tidak jauh dari tempat kami berehat, saya terlihat kelibat seorang lelaki yang mencurigakan berhampiran kawan saya yang sedang tidur.

Saya perhatikan gerak gerinya dari jauh dalam keadaan samar-samar kerana hari masih gelap. Setelah mendapati ‘Line Clear’ Lelaki tersebut mula bergerak ke arah kawan-kawan saya yang sedang lena tidur dan mengambil Iphone milik seorang kawan saya yang diletakkan di sampingnya. Kemudian tangannya mencapai sebuah beg yang berisi kamera DSLR.

Tanpa membuang masa, saya terus melangkah laju mengejar pencuri itu yang tidak jauh daripada saya. Beliau kelihatan terkejut dengan kehadiran saya, lantas menyerah dan memulangkan semula barang kami yang dicuri setelah saya mengugut untuk memukulnya.

Dari raut wajahnya saya dapat mengenal pasti, pencuri tersebut adalah orang Arab kerana saya banyak bergaul dan mempunyai ramai kenalan Arab di tempat pengajian saya di Jordan. Setelah saya pastikan barang-barang yang dicurinya telah dipulangkan kesemuanya, saya lepaskan pencuri itu dengan memberi amaran kepadanya.

Kerana kekecohan daripada kejadian itu, kawan-kawan saya pun terjaga lalu saya menceritakan kejadian tersebut kepada mereka yang kelihatan masih sugul dengan kejadian yang tidak disangka itu.

Kemudian mereka memeriksa barang-barang lain, jika ada yang dicuri tanpa disedari. Ternyata, terdapat sebuah backpack sebesar 60 liter milik salah seorang daripada kami telah lesap dicuri.

Kami mengesyaki pencuri tadi yang mencuri beg tersebut yang berisi pakaian dan juga terdapat sedikit duit di dalamnya. Lantas, kedua orang kawan saya pergi mengejar pencuri tadi. Sementara saya menjaga barang.

Tiba-tiba mereka dihalang oleh seorang pemuda Arab, bertanyakan soalan dan menunjukkan gaya simpati dan ingin membantu kami. Beliau mencadangkan agar tidak mengejar pencuri tersebut, tetapi pergi ke bahagian keselamatan untuk melihat cctv.

Saya mengesyaki pemuda Arab itu adalah salah seorang daripada kumpulan pencuri tadi. Kerana, beliau tiba-tiba muncul dan seperti sudah tahu beg kami disamun sebentar tadi.

Apabila hari sudah agak terang, kami berpindah ke sebuah kafe tidak jauh dari tempat kejadian. Di situ kami bertemu dengan seorang rakyat Malaysia yang mengembara secara solo.

Kami menceritakan kejadian yang menimpa kami sebentar tadi, lalu beliau pun mengakui yang di situ terdapat ramai pencuri yang berlegar-legar di sekitar stesen itu. Kerana beliau juga hampir menjadi mangsa ragut, namun beliau cepat menyedari dan lebih berwaspada selepas itu.

Sedang kami berbual, tidak jauh dari tempat duduk kami terdapat satu keluarga dari Filipina yang mundar mandir dalam keadaan resah di sekitar kafe itu seperti mencari barang yang hilang. Lalu, kami bertanya apa yang mereka cari? Mereka menceritakan kepada kami, yang beg mereka yang berisi passport baru saja hilang dicuri semasa mereka sedang leka di kafe itu.

Terkejut kami mendengar cerita keluarga itu, kerana kejadian itu berlaku tidak lama selepas kami disamun. Kami pun mengambil keputusan untuk membuat laporan polis bersama keluarga tersebut.

Kejadian itu membuatkan mood travel kami sedikit down dan rasa ingin pulang segera.

pengalaman-disamun-ketika-mengembara-1

Oleh itu, saya ingin kongsikan beberapa tips keselamatan berikut :

1. Study taktik scammer membuat aktiviti mereka dan kenal pasti tempat-tempat yang hot dengan scammer.

2. Walau di mana dan siapa sahaja kita temui semasa travel, jangan mudah-mudah menaruh kepercayaan selagi kita tidak benar-benar mengenali mereka.

3. Jangan terlalu ingin berjimat, sehingga menggadaikan keselamatan dan menyebabkan perjalanan travel kita menjadi tidak menyeronokkan.

4. Barang dan dokumen penting seperti passport, duit tunai dan kad debit / kredit, simpan di dalam pouch bag kecil yang tersembunyi dan pastikan sentiasa berada dengan kita setiap masa.

5. Sentiasa berwaspada walau berada di tempat yang kita rasa selamat. Kerana penyamun ada di mana-mana dan gerak geri kita sentiasa diperhatikan.

6. Jika travel berkumpulan, buat giliran berjaga jika mahu berehat di tempat awam dan di waktu malam.

7. Bawa alat yang boleh digunakan ketika berhadapan dengan penyamun, seperti spray atau alat getaran eletrik terutama traveler wanita.

8. Jangan terlalu menunjuk yang kita kaya dengan mendedahkan barang berharga di tempat awam.

9. Simpan nombor pejabat kedutaan negara yang kita lawati, jika berlaku masalah dan memerlukan bantuan kita tahu siapa yang boleh dihubungi.

10. Akhir sekali, jangan lupa berdoa dan meminta restu daripada kedua orang tua semasa travel. Yang ini, ramai yang pandang remeh. Tetapi, inilah faktor yang saya rasa telah menyelamatkan saya daripada disamun.

Baca lagi: Dirompak Sewaktu Travel Di Eropah Dan Ini Yang Telah Berlaku Ke Atas Saya